Sunday, October 25, 2009

MENGHITUNG DETIK MENUNGGU BALA..

Sama ada kita sedar atau tidak,malam ini,pada jam 8 malam, bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil sepatutnya akan berlangsungnya sebuah konsert yang menampilkan Beyonce Knowles sebagai penyanyi utamanya. Walaubagaimanpun,pada saat-saat akhir konsert yang sememangnya mendapat bantahan daripada pelbagai pihak ini telah ditunda. Kenyataan akhbar menyebut konsert itu ditunda disebabkan Beyonce sendiri, bukan kerana faktor-faktor lain walaupun penganjurannya telah diberikan kelulusan dan keizinan oleh pihak kerajaan melalui kementeriannya, Kementerian Penerangan,Komunikasi,Keseniaan dan Kebudayaan.



Tulisan ini bukanlah bertujuan mengajak pembaca untuk membenci kerajaan sebaliknya menyedari dan membenci kemungkaran yang berlaku. Sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah,kita mesti berasa sensitif dengan perkara mungkar sepertimana disebut di dalam hadis yang bermaksud;


'Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, jika tidak mampu, hendaklah mengubah dengan lisan,jika tidak mampu juga,maka hendaklah mengubahnya dengan hati(membenci perbuatan itu)dan itulah iman yang paling lemah'.

Malang sekali kerana kita hanya mampu berada di tahap selemah-lemah iman kerana tidak berkuasa menghentikan kemungkaran di depan mata.


Di saat saudara-saudara kita berhempas pulas menyabung nyawa,meneruskan kehidupan setelah ditimpa bencana yang maha dahsyat, rakyat di Malaysia seolah-olah tidak endah akan musibah yang melanda. Tidak dinafikan,ramai rakyat Malaysia yang sangat pemurah menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka,namun penganjuran konsert yang jelas tiada manfaat itu tidak relevan dengan keadaan semasa. Hakikatnya, sebarang konsert yang melalaikan tidak wajar diadakan pada bila-bila masa sekalipun.

Justeru, menjadi tanggungjawab mereka yang sedar akan kepincangan yang berlaku untuk menyatakan bantahan walaupun dipandang sepi oleh sesetengah pihak. Terdapat golongan masyarakat yang berpendapat bahawa menonton konsert adalah hak individu untuk berhibur. Harus diingat, Islam tidak melarang umatnya berhibur jika kena dengan caranya yakni mengikut syariat yang digariskan. Apa yang dikesalkan ialah konsert yang dijadualkan pada malam ini menampilkan artis Barat yang terkenal sebagai artis wanita paling seksi. Sebelum ini sahaja menyaksikan artis-artis Barat yang lain yang pernah membuat persembahan di Malaysia seperti Rihanna,Avril Lavigne dan ramai lagi.

Ironinya, dalam usaha pihak kerajaan menyemai kefahaman Islam yang syumul dalam kalangan masyarakat, terdapat juga anasir lain yang ingin merosakkannya khususnya generasi muda. Begitu aneh apabila kita berasa bimbang dengan gejala sosial yang berlaku dan dalam masa yang sama,kita tidak menutup pintu-pintu kejahatan itu malah membuka seluas-luasnya ruang untuk mereka melakukan apa sahaja perkara yang diingini tanpa memikirkan kesan negatif akibat perbuatan tersebut.

Maka,tidak hairanlah mengapa masalah sosial yang berlaku sejak dahulu hingga kini seolah-olah tiada penghujungnya. Apakah kita semua ingin menunggu bala dari Allah untuk membuat perubahan? Tidak cukupkah kejadian Tsunami lima tahun yang lalu sebagai isyarat dan peringatan untuk kita? Apakah apabila kita menerima nasib yang serupa dengan saudara kita di Padang,Indonesia baru kita akan berubah,insaf? Na`uzubillah..Sama-sama kita fikir-fikirkan dan renung-renungkan..

DUA PROGRAM TERTANGGUH DI’HIDUP’KAN KEMBALI

Alhamdulillah…dua program yang tertangguh suatu ketika dahulu telah Berjaya di’hidup’kan semula setelah sekian lama. Program tersebut ialah Idul Qura' kali ke-10(SIDIQ) dan SUKFAZ. Program yang sepatutnya berlangsung pada 10-14 Ogos (SIDIQ) dan 15-22 Ogos (SUKFAZ)itu tertangguh dek kerana influenza type A H1N1 yang melanda negara ketika itu.

Tanggal 23-24 Oktober merupakan tarikh 'keramat' bagi koordinator-koordinator SIDDIQ dan segala penat lelah mereka telah berakhir kerana sambungan baki pertandingan dan Majlis Penutup diadakan pada tarikh tersebut. Majlis yang gilang gemilang itu diserikan dengan kehadiran al-Fadhil Ustaz Mohd Tahir b Abdul Manap sebagai perasmi majlis penutup.

Insya Allah, kalau tiada aral melintang Program SUKFAZ pula akan menyusul pada 02-07 November 2009. Majulah sukan untuk Islam...

Wednesday, October 21, 2009

MAHU BERHENTI MEROKOK?


Mulakan berhenti merokok dengan YAKIN DIRI bahawa anda pasti boleh melakukannya. Langkah-langkah berikut boleh membantu anda memulakan penghidupan baru sebagai seorang bukan perokok.


Langkah 1: BERSIHKAN
Buangkan semua rokok yang ada dalam simpanan. Sembunyikan atau buangkan saja bekas abuk rokok dan pemetik api yang ada dalam rumah, dalam kereta dan di tempat kerja.

Langkah 2: BUAT NOTA PERINGATAN DAN GALAKAN
Buat suatu nota menyatakan bahawa anda sekarang bukan seorang perokok. Lekatkan nota tersebut di setiap bahagian dalam rumah, kereta atau tempat kerja anda, terutama di sudut di mana anda biasanya merokok. Buatkan juga nota tersebut dalam bentuk kad kecil yang boleh dimasukkan dalam saku baju untuk dibuat peringatan.

Langkah 3: LAKUKAN SAHAJA
Untuk kebanyakkan orang cara yang paling berkesan ialah dengan berhenti secara mengejut atau cara “ cold turkey “. Pada hari yang telah anda tetapkan untuk berhenti merokok, anda terus tidak merokok. Sebaiknya, beberapa minggu sebelum tiba hari yang ditetapkan anda telah mula mengurangkan sedikit demi sedikit bilangan rokok yang dihisap.

Langkah 4: TUMPUKAN PERHATIAN PADA HARI YANG DILALUI
Tumpukan perhatian anda pada hari yang anda sedang lalui tanpa merokok. Berilah pujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok.

Langkah 5: BERFIKIRLAH SECARA POSITIF
Fikirkan diri anda sebagai seorang bukan perokok sebaik sahaja anda mula berhenti merokok dan sentiasa peringatkan diri anda sedemikian. Sekiranya ada orang mempelawa anda rokok, katakanlah terima kasih, saya tidak merokok. Ingatlah bahawa anda telah membuat pilihan positif untuk tidak merokok.

Langkah 6: DAPATKANLAH SOKONGAN
Berikanlah peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan sekerja yang anda telah berhenti merokok dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada mereka. Mintalah rakan-rakan anda yang merokok supaya tidak mempelawa atau merokok berhampiran anda.

Langkah 7: MELAWAN KEINGINAN MEROKOK
Keinginan untuk merokok akan kembali sebaik sahaja anda mula berhenti merokok. Ini memang biasa berlaku, terutamanya pada masa dan situasi yang lazimnya anda merokok. Ingatlah bahawa setiap kali anda berjaya melawan keinginan untuk merokok, anda telah maju kehadapan untuk mencapai status bukan perokok. Katakan pada diri anda, setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok, anda akan merasa lebih yakin dan lebih berupaya untuk melawan keinginan untuk merokok pada hari-hari yang berikutnya. Lama kelamaan keinginan untuk merokok akan hilang buat selama-lamanya.

AMALAN 4M - PETUA MENGATASI KEINGINAN MEROKOK
• MELENGAHKAN-LENGAHKAN
Lengahkan tindakbalas ke atas keinginan merokok seperti melambat-lambatkan mencari rokok. Seandainya rokok ada di tangan, jangan nyalakan terus, tunggu sekurang-kurangnya 5 minit. Keinginan untuk merokok ini kesudahannya akan hilang juga. Katakan pada diri anda ” nanti ” setiap kali anda ingin merokok.
• MENARIK NAFAS PANJANG.
Tariklah nafas panjang-panjang tiga kali dengan perlahan-lahan.
• MINUM AIR.
Minum air banyak-banyak, sebaik-baiknya air galian atau air masak suam. Jangan minum air yang mengandungi kafin seperti kopi atau teh, kerena minuman ini biasanya membuatkan anda lebih teringin merokok seepas minum.
• MEMBUAT SESUATU
Buatlah sesuatu yang boleh mengalihkan fikiran anda daripada merokok. Contohnya membaca al Quran, bersiar-siar, makan angin, membaca buku, membuat silangkata, berkebun dan bersenam.

Selamat mencuba dan semoga dirahmatiNYA dalam usaha yang murni ini...

Saturday, October 17, 2009

DISKUSI HUFFAZ : PERJUMPAAN ANTARA WAKIL PERKEMAT DQ DAN WAKIL MTQN



Bersempena Sambutan Ihtifal Ilmi Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Darul Quran baru-baru ini, pihak Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran ( PERKEMAT DQ ) mengambil kesempatan ruang masa untuk mengadakan satu perjumpaan bersama para wakil pimpinan pelajar Maahad-maahad Tahfiz Al-Quran Negeri ( MTQN ). Pertemuan 14 Oktober 2009 yang melibatkan para wakil pimpinan PERKEMAT DQ dan para wakil pimpinan pelajar MTQN tersebut diadakan di Dewan Syura Darul Quran bermula jam 5:15 petang dan berakhir pada jam 6:30 petang. Perjumpaan diantara pimpinan pelajar maahad-maahad tahfiz yang diadakan pertama kalinya itu mempunyai satu objektif jangka panjang iaitu ke arah mencetuskan satu perhubungan dan rangkaian sesama para pimpinan pelajar maahad-maahad tahfiz negeri se-Malaysia secara khususnya dan sesama seantero golongan huffaz di Malaysia secara umumnya.

Para wakil pelajar MTQN yang terlibat di dalam pertemuan itu terdiri daripada para wakil pimpinan pelajar daripada 7 buah maahad tahfiz negeri yang bertapak di semenanjung Malaysia iaitu MTQN Perlis, MTQN Pahang, MTQN Negeri Sembilan, MTQN Melaka, MTQN Johor, MTQN Kelantan dan MTQN Terengganu. Pertemuan yang bermula dengan satu sesi suai kenal itu memiliki dua agenda penting iaitu perkongsian isu-isu para huffaz di kampus masing-masing dari aspek yang pelbagai dan perbincangan resolusi bagi membentuk beberapa tindakan awal terhadap isu-isu yang diperbincangkan tersebut. Isu yang diperbincangkan merangkumi tiga kategori penting iaitu isu kualiti akademik para huffaz, isu akhlak golongan Al-Quran, dan isu perhubungan dan rangkaian antara maahad-maahad tahfiz.


Permasalahan kualiti Al-Quran dan pencapaian akademik para huffaz di tempat masing-masing tidak banyak perbezaannya dan permasalahan-permasalahan itu hampir serupa walaupun waqi’nya adalah berbeza. Permasalahan-permasalahan tersebut dilontarkan dalam bentuk yang pelbagai bermula dari sudut sistem pengurusan pengajian oleh pentadbiran, sistem pengajaran dan pembelajaran, kualiti hafazan Al-Quran dan penguasaan bahasa para huffaz, masalah silibus pengajian dan kitab-kitab pengajian, sehinggalah permasalahan yang berkaitan dengan sistem peperiksaan dan pensijilan. Isu yang juga hangat diperbincangkan adalah berkenaan retaknya akhlak dan adab para golongan Al-Quran di tempat masing-masing. Berkaitan dengan perhubungan dan rangkaian antara maahad-maahad tahfiz, masing-masing melontarkan masalah kesukaran perhubungan sesama para pelajar maahad-maahad tahfiz se-Malaysia lantaran kekangan peraturan tempat masing-masing dan juga tiada medium yang sesuai untuk digunakan dalam perhubungan.



Beberapa resolusi yang dilontarkan berhubung dengan isu akademik umpamanya adalah kerjasama sesama pelajar maahad-maahad tahfiz dalam pengurusan kitab-kitab pengajian dan perkongsian silibus-silibus pengajian, dan juga cadangan membentuk dan menghantar satu memorandum yang berhubung kait dengan isu akademik kepada pihak pentadbiran maahad tahfiz pusat berkenaan permasalahan akademik yang dibincangkan secara umum. Berhubung isu akhlak para huffaz, satu cadangan yang telah dicetuskan oleh Yang Di Pertua PERKEMAT DQ adalah mentarbiyah para huffaz melalui sistem usrah sebagaimana yang telah dilaksanakan di Darul Quran. Oleh itu, resolusi berkaitan akhlak adalah menyelaraskan sistem pentarbiyahan semua maahad tahfiz negeri dengan Darul Quran berlandaskan sistem tarbiyah PERKEMAT DQ. Resolusi hebat terhadap permasalahan perhubungan adalah mewujudkan satu rangkaian blog huffazul Quran dan untuk peringkat awal ini pihak PERKEMAT DQ mencadangkan agar laman web proksi ini dijadikan pautan pusat di antara maahad-maahad tahfiz negeri. Amat mengejutkan juga akan cetusan satu gagasan yang dilontarkan oleh iaitu ingin membentuk satu badan bukan kerajaan ( NGO ) yang menggabungkan para huffaz dan golongan Al-Quran se-Malaysia lebih-lebih lagi di peringkat mahasiswa.

Perjumpaan singkat dan padat ini mudah-mudahan mampu mencetuskan satu penjanaan yang barangkali ledakannya tidak kelihatan pada generasi awal ini, tetapi kami mendoakan agar cebisan idea pemikir-pemikir Al-Quran ini mampu menjadi satu teori yang bakal direalisasikan dan disambung oleh generasi mata-mata rantai perjuangan Al-Quran kelak.

PERTANDINGAN DEBAT, MULTIMEDIA INTERAKTIF MENAMBAHKAN KEHANGATAN SUASANA IHTIFAL





Pertandingan bermula seawal 8.30 pagi dengan acara debat Bahasa Arab separuh akhir kategori banin. Menemukan dua kumpulan dari Darul Quran JAKIM dan MTQN Pahang. Kemudian di teruskan dengan kategori sebelah banat yang masing-masing mewakili.




Kemudian, di Dewan Muktamar berlangsungnya pertandingan Multimedia Interaktif. Sebanyak sembilan kumpulan (banin + banat) berentap untuk merebut tempat pertama. Secara keseluruhannya, semua peserta menggunakan perisian Microsoft Power Point sebagai main software. Walaupun begitu, persembahan mereka sangat menarik seolah-olah menggunakan flash software. Syabas dan tahniah di ucapkan kepada semua peserta yang terlibat. Di samping itu, mereka menggunakan Adobe Photoshop untuk meng’edit’ gambar gambar supaya memberi effect yang lebih menarik.



Pidato Bahasa Melayu bagi banat bermula pada sebelah petang bertempat di Auditorium Syeikh Mohd Noor. Pada sebelah malamnya pula, ihtifal ini diserikan lagi dengan pertandingan nasyid. Antara syarat pertandingan nasyid ini adalah setiap kumpulan yang bertanding hendaklang mendendangkan dua buah lagu iaitu satu lagu ciptaan sendiri dan satu lagi mana-mana lagu yang pernah di terbitkan. Pertandingan ini disertai oleh lapan MTQN kategori banin , termasuk satu kumpulam dari tuan rumah. Kemudian Sembilan kumpulan sebelah banat. Semoga penonton yang menyaksikan nasyid tersebut dapat menghayati lirik-lirik lagu yang di sampaikan sama ada yang tersurat mahupun yang tersirat. Ameeen

Wednesday, October 14, 2009

Hafazan, Tilawah Berqiraat Pembuka Tirai Ihtifal Ilmi 2009







Ihtifal yang berlangsung selama tiga hari tiga malam ini telah membuka tirainya bermula dengan acara Hafazan al Quran banin dan banat (kategori 1-5 juzuk) pada pukul 08.30 pagi di Masjid indah Darul Quran JAKIM. Pada waktu yang sama, pertandingan debat Bahasa Arab berlangsung di Dewan Muktamar dengan penyertaan hanya sebanyak empat kumpulan sahaja iaitu kumpulan dari tuan rumah sebanyak dua kumpulan dan dua kumpulan lagi masing-masing dari MTQN Pahang dan Johor.

Seterusnya, acara hafazan banin dan banat (kategori 1-15 dan 1-30 juzuk) diteruskan pada sebelah petang hari yang sama. Kemudian, pertandingan Tilawah al Quran berqiraat juga berlangsung pada masa yang sama yang menyaksikan tujuh orang peserta berentap.

Pada sebelah malamnya, pertandingan diteruskan selepas solat isyak iaitu acara pidato Bahasa Melayu banin di Auditorium Syeikh Mohd Noor dan Nasyid kategori banat di Dewan Muktamar.




Tuesday, October 13, 2009

IHTIFAL ILMI PERINGKAT KEBANGSAAN KALI - 1 '2009'

Pada 12 Oktober 2009 telah berlangsung satu majlis perasmian ILTIFAL ILMI PERINGKAT KEBANGSAAN KALI-1 TAHUN 2009. Majlis yang bermula pada jam 9.00 malam ini dipengerusiakan oleh ustaz mohamad fadhlah dan dirasmikan oleh ustaz Che Ibrahim che man, Pengarah Darul Quran JAKIM.

Iltifah Ilmi adalah merupakan saru program anjuran Darul Quran JAKIM yang julung-julang kali diadakan di darul quran, program yang akan berlang selama 4 hari ini adalah pertandingan yang melibatkan pelajar-pelajar daripada Darul Quran dan Maahad Tahfiz Quran Negeri (MTQN). Antara mtqn yang terlibat adalah Institut Tahfiz Alquran Negeri Terengganu (IQT), Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Institut Tahfiz Alquran Negeri 9 (ITQAN), Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Maahad Tahfiz Alquran Negeri Perlis, Markas Addirasat Al islamiah Wal Arabiah Johor (MARSAH) dan Maahad Tahfiz Alquran Negeri Kelantan.

Antara pertandingan yang akan diadakan adalah pertandingan Hafazan, debat (bahasa arab), tilawah (qiraat), pidatao (bahasa melayu), Multimedia Interaktif dan nasyid.

Semoga dengan berlangsungnya Ihtifal Ilmi ini akan merapatkan lagi silaturrahim antara Darul Quran dan seluruh MTQN yang terlibat.

BARAKALLAHUFEEKUM...

Wednesday, October 7, 2009

Kesan Tarbiyah Ramadhan


Allah swt berfirman:

"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam. (Ali Imran: 102)

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.." (Al-Ahzab: 70 - 71)

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan segala kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Anfal: 29)


Amalan puasa itu antara salah satu daripada amalan yang mampu meletakkan kerohanian seseorang ke darjat ketaqwaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan kewaspadaan.

Sebagai contoh, jika sebelum Ramadhan seseorang itu lazim dengan sikapnya yang sering mengumpat, mencemuh orang lain, membuat fitnah ataupun mengadu domba, maka tatkala berakhirnya Ramadhan itu semua sifat mazmumah tadi luput dari jiwa yang zulumat itu. Dan Nabi SAW pernah bersabda yang mafhumnya barang siapa yang melalui Bulan Ramadhan kemudian apabila berakhirnya ramadhan dirinya tetap seperti sebelumnya maka celakalah ke atasnya. Mereka yang terkesan dengan ruh Ramadhan ini akan lebih berhati-hati dalam setiap tingkah laku mereka dan sentiasa berusaha mempertingkatkan keazaman diri demi mencapai hadaf ramadhan yang dikhabarkan oleh Allah dan Nabi S.A.W kepada kita.

Jika semua ini tercapai, maka lahirlah sikap suka menegakkan kebenaran, menyatakan yang benar di depan pihak berkuasa, kerap muhasabah tentang bekalan akhirat dan lain-lain ciri ketaqwaan yang lain.