Wednesday, October 21, 2009

MAHU BERHENTI MEROKOK?


Mulakan berhenti merokok dengan YAKIN DIRI bahawa anda pasti boleh melakukannya. Langkah-langkah berikut boleh membantu anda memulakan penghidupan baru sebagai seorang bukan perokok.


Langkah 1: BERSIHKAN
Buangkan semua rokok yang ada dalam simpanan. Sembunyikan atau buangkan saja bekas abuk rokok dan pemetik api yang ada dalam rumah, dalam kereta dan di tempat kerja.

Langkah 2: BUAT NOTA PERINGATAN DAN GALAKAN
Buat suatu nota menyatakan bahawa anda sekarang bukan seorang perokok. Lekatkan nota tersebut di setiap bahagian dalam rumah, kereta atau tempat kerja anda, terutama di sudut di mana anda biasanya merokok. Buatkan juga nota tersebut dalam bentuk kad kecil yang boleh dimasukkan dalam saku baju untuk dibuat peringatan.

Langkah 3: LAKUKAN SAHAJA
Untuk kebanyakkan orang cara yang paling berkesan ialah dengan berhenti secara mengejut atau cara “ cold turkey “. Pada hari yang telah anda tetapkan untuk berhenti merokok, anda terus tidak merokok. Sebaiknya, beberapa minggu sebelum tiba hari yang ditetapkan anda telah mula mengurangkan sedikit demi sedikit bilangan rokok yang dihisap.

Langkah 4: TUMPUKAN PERHATIAN PADA HARI YANG DILALUI
Tumpukan perhatian anda pada hari yang anda sedang lalui tanpa merokok. Berilah pujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok.

Langkah 5: BERFIKIRLAH SECARA POSITIF
Fikirkan diri anda sebagai seorang bukan perokok sebaik sahaja anda mula berhenti merokok dan sentiasa peringatkan diri anda sedemikian. Sekiranya ada orang mempelawa anda rokok, katakanlah terima kasih, saya tidak merokok. Ingatlah bahawa anda telah membuat pilihan positif untuk tidak merokok.

Langkah 6: DAPATKANLAH SOKONGAN
Berikanlah peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan sekerja yang anda telah berhenti merokok dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada mereka. Mintalah rakan-rakan anda yang merokok supaya tidak mempelawa atau merokok berhampiran anda.

Langkah 7: MELAWAN KEINGINAN MEROKOK
Keinginan untuk merokok akan kembali sebaik sahaja anda mula berhenti merokok. Ini memang biasa berlaku, terutamanya pada masa dan situasi yang lazimnya anda merokok. Ingatlah bahawa setiap kali anda berjaya melawan keinginan untuk merokok, anda telah maju kehadapan untuk mencapai status bukan perokok. Katakan pada diri anda, setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok, anda akan merasa lebih yakin dan lebih berupaya untuk melawan keinginan untuk merokok pada hari-hari yang berikutnya. Lama kelamaan keinginan untuk merokok akan hilang buat selama-lamanya.

AMALAN 4M - PETUA MENGATASI KEINGINAN MEROKOK
• MELENGAHKAN-LENGAHKAN
Lengahkan tindakbalas ke atas keinginan merokok seperti melambat-lambatkan mencari rokok. Seandainya rokok ada di tangan, jangan nyalakan terus, tunggu sekurang-kurangnya 5 minit. Keinginan untuk merokok ini kesudahannya akan hilang juga. Katakan pada diri anda ” nanti ” setiap kali anda ingin merokok.
• MENARIK NAFAS PANJANG.
Tariklah nafas panjang-panjang tiga kali dengan perlahan-lahan.
• MINUM AIR.
Minum air banyak-banyak, sebaik-baiknya air galian atau air masak suam. Jangan minum air yang mengandungi kafin seperti kopi atau teh, kerena minuman ini biasanya membuatkan anda lebih teringin merokok seepas minum.
• MEMBUAT SESUATU
Buatlah sesuatu yang boleh mengalihkan fikiran anda daripada merokok. Contohnya membaca al Quran, bersiar-siar, makan angin, membaca buku, membuat silangkata, berkebun dan bersenam.

Selamat mencuba dan semoga dirahmatiNYA dalam usaha yang murni ini...

0 comments: