Sama ada kita sedar atau tidak,malam ini,pada jam 8 malam, bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil sepatutnya akan berlangsungnya sebuah konsert yang menampilkan Beyonce Knowles sebagai penyanyi utamanya. Walaubagaimanpun,pada saat-saat akhir konsert yang sememangnya mendapat bantahan daripada pelbagai pihak ini telah ditunda. Kenyataan akhbar menyebut konsert itu ditunda disebabkan Beyonce sendiri, bukan kerana faktor-faktor lain walaupun penganjurannya telah diberikan kelulusan dan keizinan oleh pihak kerajaan melalui kementeriannya, Kementerian Penerangan,Komunikasi,Keseniaan dan Kebudayaan.
Tulisan ini bukanlah bertujuan mengajak pembaca untuk membenci kerajaan sebaliknya menyedari dan membenci kemungkaran yang berlaku. Sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah,kita mesti berasa sensitif dengan perkara mungkar sepertimana disebut di dalam hadis yang bermaksud;
'Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, jika tidak mampu, hendaklah mengubah dengan lisan,jika tidak mampu juga,maka hendaklah mengubahnya dengan hati(membenci perbuatan itu)dan itulah iman yang paling lemah'.
Malang sekali kerana kita hanya mampu berada di tahap selemah-lemah iman kerana tidak berkuasa menghentikan kemungkaran di depan mata.
Di saat saudara-saudara kita berhempas pulas menyabung nyawa,meneruskan kehidupan setelah ditimpa bencana yang maha dahsyat, rakyat di Malaysia seolah-olah tidak endah akan musibah yang melanda. Tidak dinafikan,ramai rakyat Malaysia yang sangat pemurah menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka,namun penganjuran konsert yang jelas tiada manfaat itu tidak relevan dengan keadaan semasa. Hakikatnya, sebarang konsert yang melalaikan tidak wajar diadakan pada bila-bila masa sekalipun.
Justeru, menjadi tanggungjawab mereka yang sedar akan kepincangan yang berlaku untuk menyatakan bantahan walaupun dipandang sepi oleh sesetengah pihak. Terdapat golongan masyarakat yang berpendapat bahawa menonton konsert adalah hak individu untuk berhibur. Harus diingat, Islam tidak melarang umatnya berhibur jika kena dengan caranya yakni mengikut syariat yang digariskan. Apa yang dikesalkan ialah konsert yang dijadualkan pada malam ini menampilkan artis Barat yang terkenal sebagai artis wanita paling seksi. Sebelum ini sahaja menyaksikan artis-artis Barat yang lain yang pernah membuat persembahan di Malaysia seperti Rihanna,Avril Lavigne dan ramai lagi.
Ironinya, dalam usaha pihak kerajaan menyemai kefahaman Islam yang syumul dalam kalangan masyarakat, terdapat juga anasir lain yang ingin merosakkannya khususnya generasi muda. Begitu aneh apabila kita berasa bimbang dengan gejala sosial yang berlaku dan dalam masa yang sama,kita tidak menutup pintu-pintu kejahatan itu malah membuka seluas-luasnya ruang untuk mereka melakukan apa sahaja perkara yang diingini tanpa memikirkan kesan negatif akibat perbuatan tersebut.
Maka,tidak hairanlah mengapa masalah sosial yang berlaku sejak dahulu hingga kini seolah-olah tiada penghujungnya. Apakah kita semua ingin menunggu bala dari Allah untuk membuat perubahan? Tidak cukupkah kejadian Tsunami lima tahun yang lalu sebagai isyarat dan peringatan untuk kita? Apakah apabila kita menerima nasib yang serupa dengan saudara kita di Padang,Indonesia baru kita akan berubah,insaf? Na`uzubillah..Sama-sama kita fikir-fikirkan dan renung-renungkan..
0 comments:
Post a Comment