Bersempena Sambutan Ihtifal Ilmi Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Darul Quran baru-baru ini, pihak Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran ( PERKEMAT DQ ) mengambil kesempatan ruang masa untuk mengadakan satu perjumpaan bersama para wakil pimpinan pelajar Maahad-maahad Tahfiz Al-Quran Negeri ( MTQN ). Pertemuan 14 Oktober 2009 yang melibatkan para wakil pimpinan PERKEMAT DQ dan para wakil pimpinan pelajar MTQN tersebut diadakan di Dewan Syura Darul Quran bermula jam 5:15 petang dan berakhir pada jam 6:30 petang. Perjumpaan diantara pimpinan pelajar maahad-maahad tahfiz yang diadakan pertama kalinya itu mempunyai satu objektif jangka panjang iaitu ke arah mencetuskan satu perhubungan dan rangkaian sesama para pimpinan pelajar maahad-maahad tahfiz negeri se-Malaysia secara khususnya dan sesama seantero golongan huffaz di Malaysia secara umumnya.
Para wakil pelajar MTQN yang terlibat di dalam pertemuan itu terdiri daripada para wakil pimpinan pelajar daripada 7 buah maahad tahfiz negeri yang bertapak di semenanjung Malaysia iaitu MTQN Perlis, MTQN Pahang, MTQN Negeri Sembilan, MTQN Melaka, MTQN Johor, MTQN Kelantan dan MTQN Terengganu. Pertemuan yang bermula dengan satu sesi suai kenal itu memiliki dua agenda penting iaitu perkongsian isu-isu para huffaz di kampus masing-masing dari aspek yang pelbagai dan perbincangan resolusi bagi membentuk beberapa tindakan awal terhadap isu-isu yang diperbincangkan tersebut. Isu yang diperbincangkan merangkumi tiga kategori penting iaitu isu kualiti akademik para huffaz, isu akhlak golongan Al-Quran, dan isu perhubungan dan rangkaian antara maahad-maahad tahfiz.
Permasalahan kualiti Al-Quran dan pencapaian akademik para huffaz di tempat masing-masing tidak banyak perbezaannya dan permasalahan-permasalahan itu hampir serupa walaupun waqi’nya adalah berbeza. Permasalahan-permasalahan tersebut dilontarkan dalam bentuk yang pelbagai bermula dari sudut sistem pengurusan pengajian oleh pentadbiran, sistem pengajaran dan pembelajaran, kualiti hafazan Al-Quran dan penguasaan bahasa para huffaz, masalah silibus pengajian dan kitab-kitab pengajian, sehinggalah permasalahan yang berkaitan dengan sistem peperiksaan dan pensijilan. Isu yang juga hangat diperbincangkan adalah berkenaan retaknya akhlak dan adab para golongan Al-Quran di tempat masing-masing. Berkaitan dengan perhubungan dan rangkaian antara maahad-maahad tahfiz, masing-masing melontarkan masalah kesukaran perhubungan sesama para pelajar maahad-maahad tahfiz se-Malaysia lantaran kekangan peraturan tempat masing-masing dan juga tiada medium yang sesuai untuk digunakan dalam perhubungan.
Beberapa resolusi yang dilontarkan berhubung dengan isu akademik umpamanya adalah kerjasama sesama pelajar maahad-maahad tahfiz dalam pengurusan kitab-kitab pengajian dan perkongsian silibus-silibus pengajian, dan juga cadangan membentuk dan menghantar satu memorandum yang berhubung kait dengan isu akademik kepada pihak pentadbiran maahad tahfiz pusat berkenaan permasalahan akademik yang dibincangkan secara umum. Berhubung isu akhlak para huffaz, satu cadangan yang telah dicetuskan oleh Yang Di Pertua PERKEMAT DQ adalah mentarbiyah para huffaz melalui sistem usrah sebagaimana yang telah dilaksanakan di Darul Quran. Oleh itu, resolusi berkaitan akhlak adalah menyelaraskan sistem pentarbiyahan semua maahad tahfiz negeri dengan Darul Quran berlandaskan sistem tarbiyah PERKEMAT DQ. Resolusi hebat terhadap permasalahan perhubungan adalah mewujudkan satu rangkaian blog huffazul Quran dan untuk peringkat awal ini pihak PERKEMAT DQ mencadangkan agar laman web proksi ini dijadikan pautan pusat di antara maahad-maahad tahfiz negeri. Amat mengejutkan juga akan cetusan satu gagasan yang dilontarkan oleh iaitu ingin membentuk satu badan bukan kerajaan ( NGO ) yang menggabungkan para huffaz dan golongan Al-Quran se-Malaysia lebih-lebih lagi di peringkat mahasiswa.
Perjumpaan singkat dan padat ini mudah-mudahan mampu mencetuskan satu penjanaan yang barangkali ledakannya tidak kelihatan pada generasi awal ini, tetapi kami mendoakan agar cebisan idea pemikir-pemikir Al-Quran ini mampu menjadi satu teori yang bakal direalisasikan dan disambung oleh generasi mata-mata rantai perjuangan Al-Quran kelak.
0 comments:
Post a Comment