Wednesday, May 4, 2011

Rombongan Pimpinan Pelajar Maahad Tahfiz Sains Kelantan Bertemu Dengan Pimpinan PERKEMAT

27 April 2011 - Darul Quran, 40 orang pelajar lelaki dari Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah Kelantan yang terdiri daripada barisan kepimpinan sekolah telah berkunjung ke Darul Quran bagi mengadakan pertemuan bersama barisan kepimpinan Persatuan Kebajikan Maahad Tahfiz (PERKEMAT) DQ. Ketibaan mereka pada jam 9.00 pagi telah disambut oleh Pegawai Perhubungan Awam Darul Quran dan Penasihat PERKEMAT, Ustaz Abd. Aziz bin Abd Samad bersama Pimpinan Tertinggi PERKEMAT di Pusat Islam Darul Quran.

Lawatan akademik yang diadakan ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar tentang pengurusan persatuan dan aktiviti yang dianjurkan oleh badan kepimpinan dalam membentuk sahsiah para pelajar dari kalangan para huffaz. Para pelajar telah diberikan taklimat daripada Pegawai Perhubungan Awam berkenaan Darul Quran dan diselangi dengan sesi soal jawab para pelajar ternyata begitu berminat dengan Program Pengajian yang ditawarkan di Darul Quran.

Ustaz Abd. Aziz bin Abd Samad selaku Penasihat PERKEMAT telah menyampaikan ceramah motivasi kepada para pelajar tentang kepentingan pengurusan dan kepimpinan yang baik bagi membina jati diri huffaz. Pertemuan yang bermakna itu dipenuhi dengan perbincangan dua hala di antara dua badan kepimpinan huffaz beserta tayangan yang disediakan oleh pihak PERKEMAT. Di samping mendapat informasi berkenaan Darul Quran, mereka turut didedahkan dengan kemahiran berpersatuan dan organisasi. Majlis berakhir dengan sesi penyampaian cenderahati dan sesi fotografi kenang-kenangan di perkarangan Masjid Darul Quran.

0 comments: