Program 8TH AGM 2011 merupakan program anjuran Intellectual Quranic Generation Club (I.Q.RaC) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ) dan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) Darul Quran, JAKIM Program ini melibatkan semua siswa, siswi Persijilan DQ/UIAM khususnya dan warga Darul Quran amnya.
Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan ke Hadrat Ilahi, program yang berlangsung pada tanggal 1 April 2011 bersamaan 27 Rabiulakhir 1432H ini dapat dijalankan dengan jayanya seperti yang telah dirancang. Dengan partisipasi dan kekuatan ahli jawatankuasa seramai 16 orang, program ini dapat berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Lokasi program AGM ini ialah di Auditorium Sheikh Mohd Noor dan dijalankan selama sehari iaitu pada hari Jumaat, 1 April 2011.
AGM dimulakan dengan sesi pendaftaran ahli Intellectual Quranic Generation Club (I.Q.RaC) di Auditorium Sheikh Mohd Noor pada pukul 2.30 petang. Pada pukul 2.45 petang, majlis yang dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, diserahkan kepada Pengerusi IQRaC 2010/2011, yang kemudiannya melantik pencatat minit mesyuarat. Selepas ahli mesyuarat menerima dan mengesahkan minit Mesyuarat Agong Tahunan IQRAC ke-7, pengerusi kelab menyampaikan ucapan dasarnya di hadapan ahli kelab yang lain. Selepas itu, video aktiviti IQRaC ditayangkan dan diikuti oleh pembentangan laporan aktiviti tahunan daripada setiap biro IQRaC 2010/2011.
Bagi menarik minat ahli mesyuarat, tayangan video gimik Perwakilan 2011/2012 dibuat sebelum disusuli oleh pembentangan laporan aktiviti tahunan IQRaC oleh Setiausaha dan laporan kewangan IQRaC oleh Bendahari IQRaC 2010/2011. Hal-hal berbangkit menjadi agenda terakhir sebelum majlis bersurai pada pukul 5.00 petang dan ditangguhkan ke sesi malam.
Pada pukul 9.00 malam, pelajar Persijilan DQ-UIAM mula memenuhi Auditorium diikuti oleh kehadiran tetamu jemputan 15 minit berikutnya. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis dan tayangan video korporat Perwakilan IQRaC 2010/2011. Perwakilan yang kemudiannya duduk di atas pentas berhadapan dengan ahli IQRaC yang lain menyampaikan ucapan dan kata-kata terakhir sebelum meletakkan jawatan masing-masing. Selepas itu, Pengerusi IQRaC mengetuai barisan Perwakilan yang lain secara rasminya melepaskan jawatan sebagai Perwakilan IQRaC 2010/2011 dan kembali ke tempat duduk masing-masing di bawah pentas. Video aktiviti IQRaC seterusnya ditayangkan. Akhirnya, detik kemuncak yang ditunggu-tunggu tiba jua, Penasihat IQRaC sesi 2010/2011, Ustaz Ikmal kemudiannya mengumumkan barisan Perwakilan IQRaC 2011/2012. Pengerusi IQRaC yang baru mengetuai bacaan ikrar perwakilan sesi 2011/2012, seterusnya meneruskan slot pembentangan usul dan cadangan. Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian sijil penghargaan kepada mantan Perwakilan IQRaC 2010/2011 dan bacaan doa. Majlis tamat pada jam 11.30 malam dan diakhiri dengan tasbih kaffarah dan surah Al-‘Asr.
Kami di barisan urusetia program amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan kelancaran program ini. Walaupun wujud juga sedikit kelompangan masalah sepanjang program ini berjalan, namun masalah tersebut tidaklah mendatangkan kecacatan yang besar kepada program ini.
Secara prioriti dan kesimpulannya, program yang berpaksikan kepada beberapa matlamat dan objektif penting ini, bertujuan utama melahirkan generasi huffaz yang mampu menjadi pemimpin dan ikon masyarakat di samping lahir sebagai modal-modal insan yang bersinergi, seterunya mencorak ummah pada masa yang akan datang. Jutaan terima kasih diungkapkan buat semua pihak yang bertungkus-lumus dalam menjayakan Program 8TH AGM 2011 . Semoga segenap usaha yang dicurahkan diganjari oleh Allah S.W.T. Sekian.
0 comments:
Post a Comment