PERUTUSAN YANG DIPERTUA PERKEMAT DQ
SEMPENA SESI PENGAJIAN 2010/2011
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran terus dipanjatkan kepada Yang Maha Esa kerana dengan izin-Nya kita masih lagi dipanjangkan umur berbekalkan nikmat iman dan Islam. Segala puji bagi Allah juga kerana masih lagi mengizinkan kita untuk memulakan sesi pengajian yang baru bagi tahun 2010.
Sedar ataupun tidak, Darul Quran JAKIM dan beberapa buah institusi pengajian tinggi tahfiz negeri yang lain telah pun menerima kemasukan pelajar baru bagi sesi 2010/2013. Ucapan tahniah buat siswa dan siswi baru yang berjaya melepasi ujian temuduga dan telah memilih Darul Quran JAKIM khususnya sebagai destinasi meneruskan jihad ilmiah. Barisan kepemimpinan PERKEMAT DQ sesi 2009/2010 mengalu-alukan kedatangan generasi baru huffaz. Harapan kami agar generasi ini merupakan generasi yang bakal lahir sebagai sebuah generasi Al-Quran yang unik.
Umum mengetahui, saban tahun Malaysia melahirkan begitu ramai hafizul Quran. Satu persoalan yang perlu dijawab oleh setiap di kalangan kita. Kenapa perlu menghafaz Al-Quran? Adakah untuk mengejar gelaran sebagai seorang hafiz? Ataupun kita bercita-cita menjadi imam besar Masjid Negara? Ataupun kita ingin dimegahkan sebagai seorang penghafaz Al-Quran? Persoalan ini berkait rapat dengan kehidupan kita sebagai seorang khalifah Allah di muka bumi.
Firman Allah s.w.t di dalam suarah Al-Baqarah, ayat 30. Mafhumnya;
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang membuat kerosakan dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?” Dia berfirman, “Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
Dalam firman-Nya yang lain, Allah telah menjelaskan kepada umat manusia tentang kedudukan amanah dan kesediaan makhluk Allah yang lain termasuk manusia dalam memikul tanggungjawab ini. Firman-Nya dalam surah Al-Ahzab, ayat 72-73, mafhumnya;
“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang. Tetapi semuanya enggan memikul amanah itu dan mereka khuatir tidak akan melaksanakannya (berat), lalu dipikullah amanah itu oleh manusia. Sungguh manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh. Sehingga Allah mengazab orang munafiq lelaki dan perempuan, orang musyrik lelaki dan perempuan. Dan Allah akan menerima taubat orang mu’min lelaki dan perempuan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Allah telah memberi tanggungjawab kepada kita untuk dipikul. Amanah yang diberikan ini akan dipersoalkan di akhirat kelak. Lantas dengan itu, amanah ini perlu dilaksanakan dengan semampu yang mungkin. Allah menjadikan kita sebagai khalifah-Nya di atas muka bumi ini supaya bumi ini dimakmurkan dengan segala undang-undang dan peraturan-Nya.
Sabda Nabi s.a.w dalam sebuah hadith, mafhumnya;
“Setiap di kalangan kamu adalah pengembala (pemimpin) dan kamu akan dipertanggungjawabkan (disoal) akan apa yang kamu gembalai (pimpin)…”
Rasulullah s.a.w yang dibangkitkan untuk umat akhir zaman telah memainkan peranan yang cukup penting dalam menjelaskan segala hukum dan undang-undang yang terkandung di dalam Al-Quran. Perjuangan yang diasaskan Baginda telah Berjaya melahirkan “Al-Quran bergerak” pada zaman tersebut. Mereka mempelajari Al-Quran daripada Baginda untuk terus disevarkan dan diamalkan.
Para sahabat ridhwanullahi ‘alaihim juga memainkan peranan penting dalam menterjemahkan apa yang telah dibawa oleh Baginda s.a.w. Mereka berusaha menjadikan Al-Quran itu sebagai rujukan utama dan tertinggi dalam segenap aspek kehidupan. Perjuangan yang diasaskan itu diteruskan oleh para pejuang Islam di era khilafah Islamiyyah dan melalui merekalah dunia ini subur dengan roh Islam. Merekalah generasi Al-Quran yang unik yang telah melebar luaskan kejayaan yang dicipta Baginda s.a.w sehingga Islam terus digeruni musuh kerana kekuatan yang ada pada Islam.
Akhirnya kejayaan yang gemilang itu dirobek oleh sekumpulan iblis yang bertopengkan manusia. Merekalah munafiq yang menjadi punca kepada kejatuhan empayar Islam. Kejayaan yang pernah tercipta dinodai dengan begitu rakus pada tahun 1924 masihi. Ketika itu dunia menjadi gelap dek kerana kehilangan petunjuk dari Al-Quran.
Pada saat itu jugalah para ulama’ yang menjadi pewaris anbiya’ dipinggirkan dan tidak dijadikan sebagai tempat rujukan. Empayar diktator telah menjadikan Al-Quran hanya berperanan untuk membuka majlis, dibacakan dengan berlagu dan wajah qiraat yang pelbagai. Al-Quran pada mereka hanyalah untuk majlis-majlis tilawah, acara-acara keagamaan, bahkan ada yang hanya membaca ketika seseorang itu sedang menghadapi sakaratul maut. Al-Quran pada mereka bukan lagi sebagai tempat rujukan. Bukan sahaja dalam aspek kehidupan, bahkan dalam urusan pentadbiran negara juga tidak berpandukan Al-Quran.
Lihat sahaja gejala sosial yang semakin membuncah di kalangan masyarakat pada hari ini. Keadaan dunia pada hari ini diibaratkan seperti Islam tidak pernah wujud di atas muka bumi. Keadaan mereka persis jahiliyyah yang pernah melanda masyarakat arab ribuan tahun yang lalu. Wabak sekularisme dan kronisme dalam urusan kepimpinan negara, sistem dualisme dalam pendidikan, penyakit kapitalisme di dalam sistem ekonomi telah menjadi bukti yang kuat untuk menyatakan dunia hari ini di dalam kucar-kacir dan hilang pedoman.
Usaha-usaha untuk mengembalikan Al-Quran pada kedudukannya yang asal tidak dipandang serius oleh sesetengah manusia, bahkan mereka memandangnya hanya sebagai satu usaha yang sia-sia. Musuh Islam sedang bersorak gembira dengan kejayaan mereka yang bakal mengundang musibah ke atas mereka.
Nah, inilah tugas kita! Tugas kita adalah mengembalikan Al-Quran itu berada di tempatnya. Tugas kita adalah memahamkan masyarakat akan kepentingan dan kewajipan untuk kembali kepada Al-Quran. Tugas kita adalah menterjemahkan semula apa yang terkandung di dalam Al-Quran. Tugas kita bukanlah tugas yang mudah. Tugas kita memerlukan persediaan yang rapi dan tersusun. Tugas kita adalah tugas mulia.
Sabda Nabi s.a.w di dalam sebuah hadith, mafhumnya;
“Sebaik-baik di kalangan kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya”
Sabda Nabi s.a.w dalam sebuah hadith yang lain;
“Sebaik-baik manusia adalah mereka yang member manfaat kepada manusia yang lain”
Kita adalah penuntut Al-Quran. Kitalah yang mempelajari Al-Quran. Untuk mengajarkannya bukan sahaja dari sudut bacaan bertajwid, berlagu dan berqiraat. Bahkan pengajaran terbesar yang mampu memberi faedah yang besar kepada umat manusia adalah dengan menterjemahkan semula apa yang terkandung di dalam Al-Quran serta menyeru manusia beramal dengannya.
Semoga Allah memberi taufiq dan inayah-Nya untuk kita melaksanakan misi yang besar ini. Semoga Allah memelihara iman dan jiwa kita di dalam dakapan rahmat dan maghfirah-Nya. Semoga Allah memberi pertolongan dan memudahkan kita untuk beramal dengan Al-Quran. Mudah-mudahan kitalah generasi Al-Quran yang unik yang sedang dinanti-nantikan kemunculannya oleh umat manusia!
“HUFFAZ MEMACU PERUBAHAN”
“KE ARAH PEMBENTUKAN GENERASI AL-QURAN YANG UNIK”
Sekian.
Yang Dipertua
Persatuan Kebajikan Pelajar
Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ) sesi 2009/2010
Darul Quran JAKIM
0 comments:
Post a Comment