Friday, May 22, 2009

MAJLIS PELANCARAN USRAH PELAJAR DIPLOMA 09/12

“dari mana semut melata, dari bata turun ke titi,dari mana datangnya cinta, dari mata turun ke hati, dari mana punai melayang, dari paya turun ke padi, dari mana datangnya sayang, dari mata turun ke hati..”, Antara kata yang diungkapkan oleh ketua unit usrah, saudara Abdul Hadi bin Jusoh bersempena malam pelancaran usrah bagi pelajar diploma 09/12 yang diadakan pada 21 MEI 2009M bersamaan 26 JAMADILAWAL 1430H.
Program yang berlangsung di dewan Auditorium Shiekh Mohd Noor ini bermula pada jam 9.30pm dan berakhir pada jam 11.30pm. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al quran secara bertaranum oleh salah seorang naqib diploma 09/12, majlis diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan oleh exco Lajnah Dakwah dan Tarbiyah, saudara Mohammad Farid Faizi bin Azizan dan ucapan daripada Yang Dipertua Perkemat 08/09, Saudara Ahmad Qutaibah bin Mohamed seterusnya merasmikan majlis tersebut. Majlis disusuli pula dengan penyerahan watikah perlantikan kepada semua para nuqaba’ diploma 09/12. Dan akhir sekali majlis diserahkan kepada ketua unit usrah bagi menerangkan kepentingan usrah dan kata-kata semangat kepada adik diploma 09/12.
Semoga dengan terbentuknya usrah pertama pada malam tersebut, jalinan ukhwah antara naqib/ah dengan ahli usrah dapat disuburi dengan kasih sayang yang berterusan seterusnya merealisasikan matlamat usrah yakni membentu fardu muslim, sehingga tercapainya daulah islamiyah di muka bumi ini.

BARAKALLAHUFEEKUM..

INDUKSI NUQABA' 09


Pada 15-17 MEI 2009M bersamaan 20-22 JAMADILAWAL 1430H, pihak Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ) di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiyah telah mengadakan INDUKSI NUQABA’ DIPLOMA 08/11. Seramai 60 orang peserta yang terlibat dalam program ini, 30 peserta banin dan 30 peserta banat. Peserta terdiri dikalangan naqib/ah persijilan 09/10 dan bakal naqib/ah diploma 09/12.

Program yang berlangsung selama 3 hari dua malam ini diadakan di dewan Auditorium Sheikh Mohd Noor. Tujuan program induksi nuqaba’ ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para nuquba’ mengenai cara pengendalian usrah yang bakal mereka kendalikan. Antara objektif program ini dijalankan adalah sebagai salah satu wasilah dalam memastikan keberlangsungan@survival tarbiyah di Darul Quran, seterusnya memastikan biah solehah terus kekal dan terpelihara di bumi barakah Darul Quran.



Antara aktiviti menarik yang dijalankan adalah public speaking, ini bertujuan untuk menanam sifat keyakinan yang tinggi(self-confident) dalam diri para nuqaba’, apa yang lebih menarik dan mencabar peserta perlu berada dalam keaadan yang sentiasa bersedia kerana para peserta akan dipanggil secara on the spot dan tajuk yang diberikan adalah dalam pelbagai situasi.
Semoga dengan berlangsungnya program ini, terlahirlah para nuqaba’ yang kental hatinya dan kuat imannya demi memastikan kelangsungan usrah di bumi barakah darul quran.
BARAKALLAHUFEEKUM…

KERANA ISLAM TERCINTA, AL QURAN TERSEMAT DIDADA..

Pada 8-10 MEI 2009M bersamaan 13-15 JAMADILAWAL 1430H, pihak Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran 08/09(PERKEMAT DQ) telah mengadakan program MAFATIHUL MAHABBAH DIPLOMA 09/12. Program yang di adakan di kem Lembah Genting ini disertai oleh pelajar-pelajar kemasukan baru diploma 09/12 seramai 204 orang, 121 peserta banin dan 83 peserta banat.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk meyemai ukhwah di kalangan pelajar yang datang dari seluruh pelusuk negeri dan latar belakang yang berbeza. Selain itu juga ia bertujuan untuk memperkenalkan kepimpinan pelajar iaitu Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran(PERKEMAT DQ).
Program yang bermotifkan ukhwah ini amat menekankan ketepatan masa dan displin diri yang tinggi. Walaupun kebanyakan peserta berasa tertekan dengan tindakan urusetia pada awalnya, mereka dapat memahami makna ‘Mafatihul Mahabbah’ yang sebenar pada malam muhasabah bersama alumni DQ.
Secara keseluruhannya, para peserta telah menjalani program tarbiyah di peringkat awal ini dengan jayanya. Semoga segala pengisian yang dijalankan dapat dijadikan pedoman oleh para peserta yang bakal mengharungi kehidupan sebagai HAMLATUL QURAN, bukan sekadar untuk 3 tahun di Darul Quran, bahkan untuk bekalan di sepanjang kehidupan..INSYAALLAH

Tuesday, May 19, 2009

HALUAN SISWA DIPLOMA 09/12 : MUQADDIMAH DI BUMI BARAKAH



Sabtu : 2 mei 2009

Sejak 7.45 pagi lagi, perkarangan Darul Quran telah dipenuhi oleh para mahasiswa baru dan ahli keluarga mereka yang telah ditawarkan menyambung pengajian diploma ke Darul Quran JAKIM. Selesai acara dewan yang diadakan bagi menyambut kedatangan mereka kira-kira jam 12.00 tengahari, mereka mula bergerak ke Dewan Makan untuk menjamu selera dan seterusnya mendaftarkan diri di asrama.






Usai pendaftaran asrama pada jam 4 petang, mereka dimaklumkan untuk berkumpul pada jam 5 petang. Maka, bermulalah program Haluan Siswa anjuran Jabatan hal Ehwal Pelajar Darul Quran bagi siswa Diploma 09/12 iaitu bermula 2 Mei sehingga 7 Mei. Untuk program Haluan Siswa kali ini, sebanyak 11 LDK telah disusun. Bagi LDK 1 mereka, mereka diminta berkumpul di Dewan Muktamar selepas menunaikan solat Isya’ berjemaah di masjid. LDK 1 merupakan sesi ta’aruf bersama urusetia dan fasilitator diikuti pembahagian kumpulan yang terdiri daripada 9 kumpulan banin dan 6 kumpulan banat. Setelah itu, mereka dibenarkan pulang dan diminta berkumpul pada jam 5 pagi keesokan harinya di dataran masjid untuk qiyamullail.

Ahad : 3 Mei 2009

Selesai qiyamulllail, solat subuh berjemaah dan khidmat diri, mereka beriadah yang dikelolakan oleh wakil daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar.dan seterusnya menikmati sarapan pagi di perkarangan bawah Maktabah Darul Quran. Ini adalah rutin mereka setiap pagi sepanjang berlangsungnya program Haluan Ssiwa.

LDK seterusnya dan LDK 3 dimulakan pada jam 8.30 pagi yang mengehendaki mereka untuk saling berta’aruf antara satu sama lain. Caranya yang pelbagai sememangnya mencabar ingatan peserta. Antaranya mereka diminta untuk mengingati tempat asal, tarikh lahir, makanan kegemaran,berat badan,saiz kasut dan pelbagai lagi. Di sebalik mengenali sahabat-sahabat dengan lebih dekat, aktiviti ini sebenarnya secara tidak langsung berperanan melatih minda para peserta untuk lebih cekap dalam menghafaz yang merupakan satu kewajipan buat mereka sebagai bakal Huffazul Quran.

LDK 4 yang dijalankan selepas solat Zohor dan makan tengahari adalah aktiviti yang dinamakan ’Si Celik dan Si Buta’. Si celik memimpin si buta untuk membantu menongkah pelbagai gangguan yang dibuat oleh urusetia sekeliling. Sebenarnya aktiviti ini merupakan satu simbolik yang menuntut kepentingan ukhuwah iaitu saling bantu membantu antara satu sama lain dan saling melengkapi . Hidup ini juga sebenarnya mengkehendaki setiap manusia untuk sentiasa untuk hidup bermasyarakat dan bekerjasama. Tidak siapa pun mampu untuk menghadapi hidup bersendirian kerana apabila bersendirian, kita seakan biri-biri yang mendedahkan diri kepada serigala yang ingin membaham iman kita. Namun begitu dalam mencari kebenaran, kita mesti pandai memilih apakah jenis masyarakat atau kumpulan atau jema’ah agar tidak tersilap memilih kepada yang membawa kerosakan. Maka si celik adalah simbolik orang yang berilmu atau berpengetahuan lebih dalam pengalaman hidup menghadapi pelbagai mehnah. Oleh itu si buta mestilah mencari orang atau kumpulan masyarakat yang tepat untuk membimbing mereka.

Usai riadah, makan petang,kendiri, dan solat maghrib berjemaah di masjid, kuliah maghrib diadakan yang bertajuk ”Kelebihan dan Adab Menghafaz al-Quran” oleh ustaz Shuib bin Abu al-Hafiz. Ceramah tersebut seperti tajuknya, memberi motivasi kepada para peserta yang bakal menghafaz al Quran. Tidak dapat disangkal bahawa tazkirah ini amat penting sebagai pembakar semangat dan matlamat para peserta selepas ini agar tidak tersasar arah tujuan mereka dalam menjadi pemelihara satu-satunya mukjizat kekal. Adab juga sangatlah penting untuk ditekankan supaya bakal huffaz sentiasa mendapat barakah al Quran, bukan laknatnya.

Seterusnya, para peserta ke Dewan Muktamar untuk LDK 5 yang merupakan antara LDK paling menarik sepanjang program ini iaitu Hayya Bil A’rabiah. Slot ini mengehendaki para peserta untuk menonjolkan bakat mereka dalam berbahasa Arab. Mereka diberi tugasan yang berlainan. Ada di antara mereka yang diminta untuk berbual dalam Bahasa Arab, ada juga bernasyid (banin sahaja) mahupun berlakon! Objektifnya sudah tentulah membiasakan para peserta dengan Bahasa Arab kerana sememangnya hampir semua subjek yang bakal dipelajari adalah dalam Bahasa Arab.

Isnin : 4 Mei

Setelah menjalani rutin biasa yang dilakukan setiap pagi, para peserta bergerak ke Dewan Muktamar untuk mendengar taklimat 1 oleh pegawai daripada Jabatan Hal Ehwal Dalaman (HEP)berkenaan dengan peraturan Darul Quran dan prosuder berurusan dengan HEP. Setelah kudapan, taklimat diteruskan oleh pihak pentadbiran Darul Quran dan kemudian oleh pengurusan asrama. Bagi taklimat 4 selepas solat zohor, ianya disampaikan oleh Jabatan Peperiksaan manakala Jabatan Akademik pula setelah itu. Pada taklimat inilah pemilihan syukbah di buka. Untuk tahun ini, satu lagi syukbah telah ditambah iaitu Hadith daripada 3 syukbah sedia ada iaitu Qiraat, Dakwah dan Syariah.

Pada sebelah malamnya pula, kuliah maghrib bertajuk ”Disiplin dalam Menuntut Ilmu” disampaikan oleh Ustaz Lukman Hakim A. Ghani. Objektifnya adalah bagi mendedahkan kepada para peserta yang tidak lama lagi akan meneruskan pengajian mereka sebagai mahasiswa agar sentiasa berdisplin dalam menuntut ilmu seperti beradab dengan pensyarah.

Hari ini, pelajar diuji mental mereka untuk melihat sejauh mana wawasan mereka terhadap negara. LDK 6 ini adalah pembentangan setiap kumpulan dalam slot Bina Negara. Dalam slot ini, mereka dikehendaki membentangkan apa yang telah mereka rancangkan untuk sebuah negara yang telah mereka bina. Disamping objektif yang telah dinyatakan, mereka sebenarnya diuji ketahanan mereka dalam mempertahankan negara mereka, mempertahankan maruah, keselamatan, dan nama baik negara daripada ancaman luar. Jika diterjemahkan ke dalam kehidupan mereka sebagai seorang pelajar, mereka pada hakikatnya ingin dilatih agar sentiasa ada semangat cintakan kampus mereka, Darul Quran dan akan menjaga nama baik dan maruah Darul Quran.





Selasa : 5 Mei

Tepat pukul 8.30 pagi, mereka mendengar taklimat yang disampaikan pula oleh Jabatan Bahasa, Jabatan pengajian Islam dan Unit Rekod. Setelah menjamu selera, taklimat disambung oleh Pegawai dari Maktabah Darul Quran dan seterusnya dari Unit ICT.
Pada sebelah petang, mereka menyambung kembali pembentangan yang belum diselesaikan oleh beberepa kumpulan pada malam semalam.

Kali ini, kuliah maghrib bertajuk ”Huffaz Pemangkin Khaira Ummah”. Kuliah ini bermatlamatkan memberikan penjelasan kepada para peserta tentang peranan mereka selaku orang yang menghafaz al Quran, kalamullah yang mengandungi panduan hidup yang lengkap. Oleh hal yang demikian, merekalah orang yang bertanggungjawab menyampaikan kandungannya kepada ummat Islam agar menjadi apa yang disebut dalam al Quran sebagai khaira ummah.

Setelah itu, di Dewan Muktamar sekali lagi mereka menyambung kembali pembentangan bina negara yang masih lagi belum selesai. Walaubagaimanapun, LDK 8 merupakan LDK yang terakhir bagi slot ini.

Rabu : 6 Mei

Hari ini merupakan hari kemuncak bagi program Haluan Siswa. Sememangnya setiap tahun, slot inilah yang memahat memori paling mendalam bagi para peserta Haluan Siswa. Slot ini dikenali sebagai Aktiviti Kembara. Mereka telah mengembara ke dalam hutan dan mendaki bukit yang terletak berdekatan Darul Quran. Kembara ini bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 6 petang. Para peserta dengan berpakaian sukan telah melalui 5 check point dan mereka dikehendaki menjaga barang amanah tanpa sebarang kerosakan iaitu bendera kumpulan, biskut, dan kertas majong yang digunakan sepanjang pembentangan program. Selain meredah hutan dan mendaki bukit, mereka juga meredah sungai yang deras pada permulaan pengembaraan mereka lagi. Secara keseluruhannya, slot ini mengajar para peserta untuk sentiasa bersabar dalam menghadapi mehnah dan tribulasi sebagai huffaz apabila mereka rata-ratanya di ’provok’ oleh pensyarah kerana pada realitinya, cabaran yang dihadapi para huffaz adalah sangat mencabar. Selain melihat kebesaran Allah, bagi sesetengah mereka, ada yang mendapat pengalaman menunaikan solat fardhu dalam hutan tanpa kemudahan yang selesa atau sesuai.

Walaupun kepenatan setelah seharian memerah tenaga, mereka tetap meneruskan rutin harian Minggu Haluan Siswa seperti biasa. Kuliah maghrib pada malam itu diteruskan dengan tajuk ”Ihtiram Murabbi: Kaitannya dengan Keberkatan Ilmu ” yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Zuhdi bin Ismail. Tazkirah ini merupakan ceramah khusus bagi mengingatkan para peserta tentang kepentingan menghormati pensyarah dalam menuntut ilmu. Selesai solat isya’ berjemaah, mereka menjalani slot muhasabah sebagai kesinambungan pengambaraan mereka pada siang hari bersama urusetia. Pelbagai lontaran idea dan cetusan pendapat diberikan para peserta namun suara majoritinya melahirkan rasa gembira sepanjang menjalani Minggu Haluan Siswa.

Khamis : 7 Mei

Inilah hari terakhir Minggu Haluan Siswa bagi mahasiswa diploma 09/12. Minggu Haluan Siswa ini menutup tirainya dengan persembahan nasyid oleh banin dan choral speaking oleh banat. Program ini berakhir dengan ucapan perasmian penutup oleh Pendaftar Darul Quran, Ustaz Abdul Kadir bin Sallah.

Para jemputan, para urusetia, dan para peserta kemudian dihidangkan dengan hidangan istimewa oleh Zizwa Cafe. Pada jam 3 petang, Dewan Muktamar yang begitu meriah selama seminggu tersebut telah bertukar sepi meninggalkan bersamanya kenangan yang pastinya tidak akan dapat dilupakan selamanya oleh para peserta...

Friday, May 8, 2009

MALAM PENGENALAN PERKEMAT DQ SESI 08/09 BERLANGSUNG PENUH GILANG-GEMILANG

“ Tak kenal, maka tak cinta..”. Kata-kata yang lazim kita dengar bilamana kita bertemu atau berjumpa dengan sesuatu yang baru dan ingin mengenalinya.
Maka, pada malam 07 Mei 2009, Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran ( PERKEMAT DQ ) telah mengadakan malam pengenalan persatuan tersebut. Majlis yang bermula pada pukul 09.30 malam itu telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Auditorium Syeikh Mohd Noor, Darul Quran JAKIM.
Majlis yang dipengerusikan oleh Saudara Mohd Aizuruddin b. Sabri itu telah dimulakan dengan bacaan al-Fatihah sebagai untuk memberkati majlis. Kemudian, diikuti dengan sesi Ta’aruf sebagai agenda utama. Bermula dengan Timbalan Exco Lajnah Hal Ehwal Siswi ( HEWI ), Saudari Farhanah Bt Mohamed Rafie dan berakhir dengan Saudara Ahmad Qutaibah b. Mohamed selaku Yng Di Pertua persatuan.
Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan dan Salam Taaruf dari Penasihat PERKEMAT DQ 08/09, Ustaz Mohd Sya’bani b. Haji Awang. Banyak mutiara nasihat yang beliau lontrkan. Antaranya, beliau mengingatkan para siswa dan siswi diploma 09/12 agar mereka ini perlu rasa bertuah dengan menjadi ahli persatuan kebajikan ini. Kata beliau lagi, persatuan ini bukanlah sesuatu yang menyusahkan para siswa dan siswi tetapi, ia sentiasa berusaha untuk membantu pelajar di Darul Quran.
Pesan beliau lagi, kita menuntut ilmu mestilah ikhlas. Jangan mencari ilmu dengan tujuan untuk dapatkan pangkat dan kemegahan. Selain itun janganlah ktamencari ilmu untuk mnindas golongan yang bodoh. Kata-kata ini beliau telah petik dari Hujjatul Islam, Al-Imam al-Ghazali Rahimahllahu taala.
Kemudian, majlis di teruskan dengan tayangan video korporat PERKEMAT DQ 08/09 yang disediakan oleh Lajnah Penerbitan dan Informasi ( LATERINFO ). Maka, malam pengenalan PERKEMAT DQ melabuhkan tirai dengan berakhirnya tayangan video itu.
Malam pengenalanPERKEMAT DQ dalam ingatan...

Tuesday, May 5, 2009

SAMBUTAN PELAJAR-PELAJAR BARU PROGRAM DIPLOMA TAHFIZ AL-QURAN WAL QIRAAT SESI 2009/2012

Pada tarikh 2 Mei 2009 bersamaan 7 Jamadil Awal 1430H, telah berlangsungnya majlis sambutan pelajar-pelajar baru program Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat sesi 2009/2012 bertempat di Dewan Muktamar Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan. Majlis ini dirasmikan oleh YB Dato' Haji Wan Mohamad B. Dato' Syeikh Abdul Aziz selaku ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Bilangan pelajar yang mendaftar bagi program diploma ini seramai 202 pelajar yang melibatkan banin 119, manakala banat 92 orang.


Pihak Persatuan Pelajar PERKEMAT mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis sambutan ini. Sekian terima kasih.


Monday, May 4, 2009

MUSAFIR AL-HARAMAIN

Pada 8-21 April, Persatuan Kebajikan Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT) telah mengadakan rombongan ibadah ke tanah suci, Mekah dan Madinah. Seramai 21 pelajar Darul Quran telah menyertai rombongan tersebut dan di ketuai oleh saudara Ahmad Izzudin Bin Zubit selaku Timbalan Yang Dipertua PERKEMAT Darul Quran sesi 08/09.


Perjalanan ini mengambil masa selama 10 jam dengan menaiki pesawat Singapore Airlines ke Jeddah. Para jemaah tiba di Madinah jam tiga pagi bersamaan 9 April 2009. Selepas menunaikan solat subuh, para jemaah dibawa ke madan Uhud sebagai tirai pembukaan destinasi pertama diikuti tempat-tempat bersejarah di Madinah.

Pada 11 April 2009, seramai 21 pelajar Darul Quran telah mengikuti program muqabalah
(temuduga) di Universiti Islam Madinah. Selesai sahaja muqabalah, para jemaah bertolak ke Mekah Mukarramah untuk menunaikan ibadat umrah. Perjalanan dari Kota Madinah ke Kota Mekah memakan masa enam jam. Para jemaah hanya berada di Madinah tiga hari dua malam diikuti di Mekah selama 10 hari.