Sunday, May 13, 2012

RENUNGAN HARI IBU - Si Cacat Di Bawah Lindungan Kaabah



“Abang! Ini adalah takdir Allah s.w.t. Kita terima bang dengan penuh redha.” Ujur si isteri kepada suami sambil meriba anak cacat yang baru dilahirkan itu. “Ahhh!! Begitu mudah kau kata takdir. Ini adalah akibat dirimu yang sial, maka lahirlah anak yang cacat ini…!” jawab suami menafikan kata-kata isterinya.

Si suami terus marah-marah menyalahkan isterinya. Kelahiran anak cacat yang tidak diingini itu kononnya berpunca dari si isteri, isteri yang membawa sial. Isteri bawa malu kepada suami dan seluruh keluarganya.

“Keturunan abang adalah molek-molek belaka. Tak ada yang cacat seperti anak kau ini.” berleter si suami dengan bibir mencebik menghina isteri. Isteri terdiam kaku. Dia tidak mahu bersuara lagi. Dia hanya terus menangis dan terus menangis. Itulah bermulanya detik kepahitan hidup yang dirasai oleh seorang ibu muda. Mimpi indah selama ini telah padam dan diganti dengan kepahitan. Derita dan susah. Dirinya dihina dan dicemuh oleh suami sendiri.

Bayi yang masih merah disisinya itu belum tahu erti penderitaan dalam hidup. Ibunya tidak mahu menyoal kenapa anaknya dilahirkan cacat. Cacat yang belum pernah dialami oleh anak-anak lain dikampungnya. Ccat kurang jari pernah berlaku. Bibir sumbing pernah terjadi.

“Tapi, anakku cacat tak punya kaki, tak punya tangan.” bisik si ibu didalam hati. Hatinya sebak dan dia menangis lagi, sedih dan pilu. “Tak apalah suami ku menghina, jiran-jiran pun turut menghina aku.” bisik hati si ibu dengan sedih dan terus menangis. “Ya Allah! Berilah kesabaran kepadaku…” Dia berdoa sambil menadah tangan.


Si ibu menarik nafas panjang. Alhamdulillah lega sedikit. Sebahagian ruang rumahnya mulai disinari cahaya matahari pagi. Kini dia hanya bersama dengan bayinya. Suaminya telah keluar entah kemana. Wajah bayi yang comel itu ditatapnya dengan penuh kasih sayang. Bayi itu diberi nama Hasan.

“Hasan, anak ku sayang! Aku tetap sayang padamu. Kelahiran mu adalah atas kehendak Allah s.w.t.. Kau ditakdirkan Allah s.w.t. jadi begini. Allah Maha Kaya, nak.” bisik hati si ibu dengan tenang, penuh radha atas ketentuan Ilahi.

“Ya Allah, Kau takdirkan anak ku cacat begini. Aku yakin Engkau jugalah yang akan melimpahkan rahmat dan berkat pada dirinya.” bisik hati si ibu lagi menaruh harapan penuh pada Tuhan Yang Maha Kaya.





Si anak semakin membesar. Kini dia telah berusia dua tahun. Si bapa telah lari entah kemana. Si ibulah yang tetap membelanya dengan penuh kasih sayang. Apabila kepasar, bayi itu dimasukkan didalam periuk. Periuk itu dibimbit kesana-kemari. Ada orang yang bersimpati dan memberi wang, tetapi ramai yang terus mencemuh dan menghina. Ketika si anak masuk usianya lima belas tahun, penderitaan si ibu semakin bertambah berat. Ramai orang, terutama wanita-wanita terus menghina dan mencemuhnya. Akhirnya dia berpakat dengan anaknya untuk menginggalkan kampung halaman.

“Hasan, Ibu ada cadangan.” ujur si ibu kepada anaknya pada suatu pagi. “Cadangan apa ibu?” tanya Hasan. “Kita jual harta pusaka peninggalan atuk dan kita pergi ke Tanah Suci Makkah. Kalau boleh kita terus tinggal disana.” ujur si ibu kepada Hasan. “Elok cadangan ibu tu. Disana kita boleh ibadah banyak-banyak. Bumi Allah s.w.t. ini luas bu…” anak yang lincah dan cerdik iru beri persetujuan.

Alhamdulillah, akhirnya hajat dua beranak itu dimakbulkan Allah s.w.t.. Setelah mohon maaf kepada sanak-saudara, maka keduanya pun berangkatlah ke Tanah Suci Makkah. Meninggalkan kampung halaman yang terletak disalah sebuah wilayah kawasan Melayu diselatan Thailand. Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 50-an.

Bumi Makkah kini telah meriah. Tidak seperti mula-mula dahulu, ketika diteroka oleh keluarga Nabi Allah Ibrahim a.s. Waktu itu sunyi sepi. Tiada manusia yang tinggal disana, tiada air dan tiada tumbuh-tumbuhan. Berkat ketakwaan Siti Hajar dan berkat doa Nabi Ibrahim a.s. kini Makkah menjadi sebuah bandar yang makmur. Ramai penghuninya yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Dan, disana ramai orang-orang yang datang dari tanah Jawi. Maksudnya dari kawasan Tenggara Asia termasuk dari selatan Thailand. Si ibu bersama anaknya yang baru datang itu telah disambut dan diterima dengan baik oleh orang-orang Makkah, khususnya yang berasal dari selatan Thailand yang banyak menetap disana.

“Jangan susah-susah, kak. Tinggallah dirumah kami. Anggaplah kami ini seperti keluarga kakak. Kita sama-sama merantau, mengharap Rahmat dibumi Makkah.” ujur seorang yang berasal dari Yala yang baik hati.


Kedua beranak itu pun tinggal dirumah tersebut. Si ibu membantu kerja-kerja rumah. Anak yang cacat tetapi pandai membaca al-Quran itu mengajar mengaji kepada anak tuan rumah dan anak-anak jirannya. Alhamdulillah, kehidupan mereka berdua benar-benar berubah. Hilang segala penderitaan dan kesusahan bertukar aman tenteram. Rezeki datang tak putus-putus.



.......bersambung

0 comments: