*Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang* “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam tidak mengetahui sesuatu pun, dan dia memberikan kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur,” (An-Nahl : 78) “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan , “ Sesungguhnya jika kamu bersyukur , nescaya Aku akan menambahkan (nikmat) kepadamu , tetapi jika kamu mengingkari (nikmatku) , maka pasti azabKu sangat berat” (Ibrahim : 7) Pujian bagi Allah, Tuhan yang Maha Menyatukan (Al-Jami’) hati para hambaNya yang ikhlas dan mengharapkan keampunanNya. Selawat dan salam kepada junjungan Agung Nabi Muhammad S.A.W., Rasul yang mendidik dan memimpin manusia untuk mengenal dan mencintai Allah sekaligus menyatukan ummah, kaum kerabat baginda, para sahabat, tabi’ien dan para pejuang Islam disepanjang zaman yang telah bertungkus lumus memartabatkan Islam. Hamdan wa syukran lillah kerana kita masih lagi di berikan peluang untuk bernafas pada hari ini bagi merasai nikmat iman dan islam seterusnya meneruskan kehidupan sebagai khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini. Pertamanya, saya mewakili semua barisan kepemimpinan PERKEMAT 10/11 mengucapkan sekalung Tahniah, Congratulation, wa Alfun Mabruuk buat adik-adik Program Persijilan DQ-UIAM semester 1 yang telah berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010. Tidak di lupakan juga kepada warga kampus, banin dan banat semester 2 dan 4 yang baru sahaja menerima keputusan secara online di laman web rasmi Darul Quran barmula pada 24 Mac 2011 yang lepas. Saya yakin dan percaya bahawa dengan berkat kesungguhan dan kegigihan kalian menelaah semua ‘madah’ sebelum memasuki dewan peperiksaan dan di sertai dengan doa yang penuh pengharapan serta tawakkal yang tinggi kepada Allah akhirnya membuahkan hasil yang cemerlang setimpal dengan usaha yang telah di lakukan. Oleh itu, ingin saya mengajak diri saya dan kalian semua untuk senantiasa bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah memberi kita paluang untuk merasai nikmat kemanisan atas kejayaan yang kita peroleh dariNya. Tanpa keizinan dariNya, tiadalah kejayaan itu. Maka benarlah kata dari seorang teman, “ Allah tidak akan sia-sia kan doa hambaNya yang berusaha.” Walaubagaimana sekalipun sahabat-sahabat, ketahuilah bahawa dalam sebuah negara tidak akan semua negeri menerima sinaran mentari yang cerah. Pasti ada yang mendung dan barangkali menerima hujan yang lebat. Yang mendung tidak akan mendung selamanya kerana sinaran mentari yang cerah pasti akan kembali. Dan hujan yang lebat juga pasti akan berhenti pada masa yang telah di tetapkan. Kemudian akan hadirnya mentari beserta pelangi yang indah sekali. Begitulah juga senario kita selepas menerima natijah imtihan. Ada yang berjaya, dan ada juga yang kurang berjaya. Namun begitu, percayalah bahawa setiap ujian, kegagalan, musibah atau apa saja tahap kehidupan yang kita hadapi menjadikan kita lebih matang. Setiap perkara ada gantinya dan setiap perlakuan ada ganjarannya. Setiap kejadian ada hikmah di sebalik kejadiannya. Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela. Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud : “ Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tudak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” Teman seperjuanganku sekalian, kita memerlukan kegelapan untuk melihat bintang. Tiada istilah GAGAL tetapi masih belum menemui cara yang berkesan dan hakikatnya ia adalah kejayaan yang ditangguhkan. Malah kesilapan pun mungkin menjadi perkara penting bagi menjamin kejayaan yang bernilai. Tingkatkankan usaha untuk imtihan akan datang. Semoga beroleh kejayaan yang cemerlang. Akhir kalam, salam juang buat generasi pewaris Kalam Ilahi. Sama-samalah kita mengamalkan segala ilmu yang ada. Jadilah seperti ‘padi’ , semakin berisi semakin tunduk. Ayuh kita berusaha membuktikan bahawa kita adalah produk terbaik Darul Quran yang akan lahir sebagai pembela agama, masyarakat, dan negara. Insya Allah… “Ke Arah Pembentukan Genersi Al-Quran Yang Unik” -BERSAMA MENERAJUI PERUBAHAN- Nur Zianah binti Abdul Kahhar, Naib Yang di-Pertua, PERKEMAT 10/11.
0 comments:
Post a Comment