Tanggal 15 dan 16 Januari 2011, julung-julung kalinya Syukbah Dakwah Semester 4, Dakwah Aspiration Inspiring Entity (D.A.I.E.) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam telah menganjurkan Seminar Perbandingan Agama, Interactive Dakwah Training (IDT) yang bertempat di Dewan Muktamar Darul Quran. Seminar IDT ini telah melibatkan seramai 400 orang peserta yang terdiri daripada semua ahli Semester 4, Integriti Rasyidul Huffaz (IRSYAD), warga Darul Quran daripada semester lain dan peserta-peserta jemputan daripada Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh).
Perjalanan seminar ini bermula pada jam 7.30 pagi hari Sabtu (15 Januari 2011) dengan pendaftaran para peserta dan diikuti dengan Majlis Perasmian program yang dirasmikan oleh Penolong Pengarah Jabatan Akademik, Ustaz Che Mat bin Che Deraman. Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga terhadap pihak penganjur kerana berjaya melaksanakan satu seminar yang bertepatan dengan kehendak semasa dan berharap agar seminar ini berjalan dengan lancar hingga ke penghujungnya.
Seminar ini diteruskan dengan pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh Saudara Lim Jooi Soon dan Saudara Mohd Amin bin Yaacob atau lebih mesra dikenali sebagai Brother Lim dan Brother Amin. Antara kertas-kertas kerja yang dibentangkan ialah, ‘Pentingnya Perbandingan Agama’, ‘Sejarah Perkembangan Agama Kristian’, dan ‘Kepercayaan dan Perayaan Orang Cina’. Seminar ditangguhkan seketika tengahari itu untuk memberi laluan kepada waktu solat Zohor dan makan tengahari. Seterusnya, pada jam 2.30 petang, seminar diteruskan dengan pembentangan kertas kerja mengenai ‘Katolik dan Protestan’, ‘Hinduisme’, dan ‘Bible Study’. Seminar pada hari tersebut berakhir pada jam 5.30 petang.
Berikutan seminar IDT yang dijalankan, satu ceramah yang bertajuk ‘Salah Tanggapan Terhadap Islam’ yang disampaikan oleh Brother Lim telah diadakan pada malam tersebut. Ceramah yang terbuka kepada seluruh warga Darul Quran ini bertempat di Dewan Muktamar dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta serta merupakan sambutan yang berada diluar jangkaan pihak penganjur.
Pada hari terakhir, seminar ini diteruskan lagi dengan pembentangan kertas kerja yang bertajuk ‘Asas-asas Kepercayaan Kristian’ ‘Memahami Cabaran Muallaf’ dan ‘Keaslian Al-Quran’. Bagi memantapkan lagi kefahaman para peserta mengenai keseluruhan pengisian seminar ini, satu sesi soal jawab telah dibuka selama satu jam dan sambutannya amat menggalakkan. Seminar ini seterusnya diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutup yang dirasmikan oleh Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, merangkap Penasihat Syukbah D.A.I.E., Ustaz Shahrulkarnain bin Mohd Nazir. Beliau menyatakan rasa bangga tidak terhingga dengan semangat yang ditonjolkan oleh semua ahli Syukbah D.A.I.E. dalam melaksana dan menjayakan seminar ini yang diketuai oleh Pengarah Program, Saudara Ahmad Zulqarnain bin Muhammad Muchtar.
Seminar IDT ini berakhir pada jam 2.30 petang dengan sesi fotografi barisan koordinator program bersama penceramah jemputan dan perasmi Majlis Perasmian Penutup program. Sebagai pengakhiran, kami di barisan pihak penganjur berasa amat bersyukur kerana seminar yang julung-julung kalinya diadakan ini berjaya dilaksanakan dan berjalan lancar seperti yang dirancang hingga ke akhirnya. Walaupun pelbagai mehnah dan tribulasi terpaksa ditempuhi dalam fasa gerak kerja sebelum dan semasa, namun itulah sebaik-baik pengalaman dan kemanisan sebenar dalam diri seorang D.A.I.E. Kami juga berharap agar para peserta dapat mengaplikasikan input-input dakwah yang disampaikan melalui seminar ini sebagai wasilah meneruskan sunnah dakwah Rasulullah S.A.W. Wallahua’lam, jazakumullahu khairan jazaa’.
0 comments:
Post a Comment