Assalamualaikum warahmatullahi barakatuh..
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita meneruskan kehidupan pada hari ini. Juga selawat dan salam ke atas junjungan kita yang mulia, Nabi Muhammad s.a.w.mudah-mudahan kita semua tergolong dalam kalangan umat yang dianugerahkan syafaat oleh Baginda s.a.w.
Sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Pilihan raya kampus (PRK) Darul Quran 2010 baru sahaja berlalu. Atas kepercayaan dari sahabat-sahabat sekalian, saya dan saf kepimpinan yang lain telah ditaklifkan untuk memikul suatu amanah yang cukup mencabar. Diri kami yang serba kekurangan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat sekalian di atas kepercayaan yang telah diberikan. Insya-Allah,kami di barisan kepimpinan yang baru ini akan berusaha sebaiknya untuk memastikan kebajikan antum dan antunna sebagai ahli PERKEMAT terjaga dan terpelihara.
Dalam kalam ini, bukanlah menjadi niat saya untuk berbicara panjang, sekadar sedikit perkongsian untuk sahabat-sahabat sekalian, dan pastinya sebagai pedoman untuk diri saya sendiri.
Amanah merupakan sesuatu yang amat berat dan payah untuk dilaksanakan. Atas sebab tersebut, tidak hairanlah Imam al-Ghazali ada menyebut bahawa perkara yang paling berat di dunia adalah melaksanakan amanah. Jika dinilai daripada sudut Islam, amanah merupakan antara perkara yang akan dipersoal oleh Allah di akhirat kelak. Dalam sebuah hadith yang mahsyur, Nabi S.A.W ada mengingatkan mengenai amanah, di mana hadith baginda yang berbunyi:
كلكم راع وكلكم مسـئل عن راعيته
Maksudnya: Sesungguhnya setiap daripada kamu adalah pemimpin dan akan dipersoalkan mengenai tanggungannya.(Hadith riwayat Muslim)
Menyedari hakikat ini, kami dibarisan saf kepimpinan PERKEMAT sesi 10/11 sering diperingatkan oleh sahabat-sahabat yang lain agar berhati-hati dengan amanah yang dipikul. Sebagai seorang hamba yang lemah, siapalah kami untuk melaksanakan amanah yang diterima ini secara berseorangan. Justeru, besarlah harapan kami semua agar sahabat-sahabat sekalian dapat membantu kami di saf kepimpinan untuk melaksanakan amanah ini. Malahan, kami mendambakan tunjuk ajar dan teguran berhikmah daripada sahabat-sahabat sekalian dalam usaha memperbaiki kelemahan diri.
Tuntasnya,marilah kita bersama-sama berusaha dan berganding bahu demi menjadikan persatuan ini sebagai wadah bagi mempamerkan keindahan Islam yang hakiki. Sebelum mengakhiri kalam ini, suka untuk saya memetik kata-kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah sebagai pedoman kita semua :
“Manusia yang paling bahagia adalah mereka yang dapat menunaikan tanggungjawabnya”.
Sekian, Wassalam..
(CHE FAIZUL AZHAR BIN CHE MAT)
Yang DiPertua,
Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran
Sesi 10/11
0 comments:
Post a Comment