Thursday, December 2, 2010

ANNUAL GENERAL MEETING 26TH


PERKEMAT mencipta sejarahnya tersendiri..dalam meniti perjalanan kepimpinannya, PERKEMAT pada hari ini melangkah maju memacu perubahan dalam mengorak langkah untuk menggapai gagasannya yang unik.

Hari ini tercipta dalam sejarah, PERKEMAT telah mencapai tempoh matang dalam penubuhannya..genap 25 tahun setelah berbagai dugaan dilalui, hari ini PERKEMAT sesi 2009/2010 bakal melabuhkan tirainya..

Lalu satu program dirancang dalam menggarap episod ceritanya yang tersendiri..Annual General Meeting (AGM) yang ke 26 bersempena setahun pemerintahan PERKEMAT sesi 2009/2010 serta majlis perlantikan barisan saff kepemimpinan PERKEMAT yang baru telah diadakan dengan jayanya pada 27 November 2010. “ Ke Arah Melahirkan Generasi Al-Quran Yang Unik” telah menjadi wadah perjuangan dalam mencapai gagasan yang ditetapkan. Hasil perancangan yang mantap dan kerjasama yang erat dari barisan koordinator AGM, majlis ini berjaya disempurnakan dengan baik.

Dewan muktamar yang menjadi saksi bersejarah AGM PERKEMAT pada kali ini membuka tirainya pada pukul 8.00 pagi untk sesi pendaftaran peserta. Majlis yang dimeriahkan dengan tayangan video-video islamik sebagi pembuka tirai program memberi satu impak yang besar terhadap ahli PERKEMAT khususnya. Setiap ahli yang menghadiri mesyuarat ini dibekalkan kertas cadangan usul yang dicadangkan ahli-ahli sewaktu pimpinan PERKEMAT 09/10 menaiki tampuk pemerintahan pada akhir November tahun lalu. Dewan muktamar yang telah dihias dengan ekslusif menambah debaran yang dirasakan oleh pimpinan PERKEMAT 09/10 dalam menjalankan amanat yang terakhir. Tepat pukul 9.00 pagi, Mesyuarat Agong Tahunan PERKEMAT kali ke-26 dimulakan. Majlis didahului dengan ucapan daripada Yang Dipertua PERKEMAT 09/10, al-akh Mohd Fakhrur Ridzwan Bin Othman sebagai tanda bermulanya mesyuarat agong tahunan tersebut. Setelah mesyuarat diterima dan disahkan oleh beberapa orang ahli PERKEMAT, majlis pembentangan laporan aktiviti tahunan lajnah-lajnah PERKEMAT bermula dengan dimulai pembentangan daripada Exco Lajnah Hal Ehwal Siswi. Pembentangan laporan tahunan aktiviti setiap lajnah dilakukan dalam suasana yang agak santai bagi memberi keselesaan kepada ahli PERKEMAT dan diteruskan dengan pembentangan lajnah-lajnah yang lain. Pembentangan yang mengambil masa kira-kira 2 jam itu meliputi laporan-laporan aktiviti setiap lajnah, laporan mesyuarat lajnah serta beberapa perkara yang berkaitan.

Pembentangan umum aktiviti tahunan PERKEMAT dibentangkan oleh Setiausaha Agong PERKEMAT sesi 09/10, al-akh Ahmad Humaidi Bin Mohd Sayuti. Ia merangkumi pembentangan gagasan secara menyeluruh yang digarapkan pihak pimpinan PERKEMAT sesi 09/10, gerak kerja PERKEMAT selama setahun pemerintahan, laporan mesyuarat majlis tertinggi, laporan majlis jawatankuasa pelaksana , laporan mesyuarat khas dan lain-lain lagi. Gagasan yang dimaksudkan ialah PERKEMAT DQ ‘Memacu Perubahan’. Berlatar belakangkan senario inilah,maka 5 dasar digubal yang menjadi tunjang gagasan ini diketengahkan dalam pimpinan pada kali ini, antaranya ialah usaha penarikan ahli kepada PERKEMAT, memupuk akhlak yang baik dalam kalangan ahli,memupuk kesatuan dan perpaduan antara pimpinan dan ahli, ke arah tajdid minda serta mengkomersialkan huffaz di dalam Darul Quran mahu pun di luar. Gagasan yang dirangka ini diharapkan mampu membawa harapan baru kepada pimpinan akan datang. Aspek kewangan yang menjadi wadah dalam perjalanan persatuan diteliti secara halus hasil dari pembentangan Bendahari Agong PERKEMAT 09/10, al-akh Mohd Irfan Bin Othman. Penyata kewangan PERKEMAT DQ 09/10 yang berakhir 30 Oktober 2010 diterangkan secara terperinci dalam usaha menterjemahkan hasil setiap kewangan lajnah dan persatuan bagi memberi penerangan secara jelas tentang kewangan persatuan.

Mesyuarat ditangguhkan selama 15 minit dan diteruskan dengan agenda yang paling penting iaitu sesi perbahasan usul perkemat 09/10 dengan dipengerusikan oleh Yang Dipertua PERKEMAT 09/10. Sesi perbahasan ini bertujuan membuka ruang kepada ahli untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak pimpinan PERKEMAT 09/10 tentang usul-usul yang kurang difahami dan menimbulkan spekulasi dalam fikiran masing-masing. Sesi perbahasan usul mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli PERKEMAT dan sesi ini merupakan momentum terbaik bagi pimpinan dan ahli untuk sama-sama menyelesaikan segala keraguan yang timbul. Ternyata ia menjadi pemangkin yang sangat penting bagi mengelakkkan berlaku rasa ketidakpuasan hati ahli terhadap pimpinan. Usai sesi perbahasan usul.majlis perletakan jawatan ahli jawatankuasa PERKEMAT DQ sesi 2009/2010 dilakukan secara rasminya dengan YDP 09/10 menjadi nakhodanya.

Majlis sekali lagi berhenti rehat bagi memberi peluang kepada ahli untuk berehat, solat zohor dan makan tengah hari dan dijangka bersambung tepat jam 2.00 petang.

Jam 2.00 petang majlis dimulakan dengan perarakan masuk ahli jawatankuasa PERKEMAT 09/10 bersama penasihat PERKEMAT 09/10 Ustazah Shahidah Binti Shuib ke Dewan Muktamar. Majlis dimulakan dengan ucapan penasihat PERKEMAT dan disertai amanat-amanat untuk bakal-bakal mantan exco dan kata-kata taujihat untuk pimpinan PERKEMAT sesi 10/11 agar mampu cemerlang memimpin umat. Selesai ucapan daripada penasihat, satu tayangan slideshow koordinator AGM yang menarik dipersembahkan oleh unit teknikal program sekaligus berjaya menarik perhatian kebayakan ahli PERKEMAT. Kehadiran peserta yang agak ramai pada sesi kedua AGM memeriahkan lagi majlis tersebut.

Debaran kian terasa..Acara yang dinanti-nantikan makin menimbulkan keresahan kebanyakan ahli. Setelah melalui proses pilihan raya selama hampir sebulan, akhirnya pengumuman ahli jawatankuasa PERKEMAT yang baru sesi 2001/2011 diumumkan oleh ketua penyelaras pemilihan calon(PPC 2010), al-akh Mohd Asyraf Bin Abdul Rahman. Proses pilihan raya kampus yang diadakan pada kali ini memperlihatkan di sebelah muslimat menang majoriti iaitu menang tanpa bertanding dan hanya satu kerusi yang bertanding di sebelah muslimat iaitu kerusi Timbalan Exco Hal Ehwal Siswi (HEWI) manakala di sebelah muslimin suasana agak panas dengan 2 kerusi Majlis Tertinggi menjadi rebutan dan 3 kerusi lajnah menjadi taruhan. Bagi sebelah muslimin, kerusi panas yang menjadi taruhan ialah kerusi bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua dan kerusi Setiausaha Agong. Bagi kerusi lajnah pula ialah untuk jawatan Exco Lajnah Tadbir dan Perhubungan Luar (TADBIR), Exco Lajnah Penerbitan Dan Informasi (LATERINFO) serta Exco Lajnah Ekonomi (LEKON). Pengumuman rasmi pihak PPC menamatkan debaran yang dirasakan oleh ahli PERKEMAT.

Kira-kira jam 3.00 petang, majlis penyampaian cenderahati kepada pelajar-pelajr mithali setiap semester serta cenderahati dan sijil penghargaan kepada mantan-mantan exco PERKEMAT oleh penasihat PERKEMAT telah diadakan sebagai penghargaan selama setahun memimpin persatuan. Majlis juga turut disusuli dengan penyampaian cenderahati kepada semua calon-calon yang bertanding pada pilihan raya kampus pada kali ini. Pada pukul 3.30 petang, telah diadakan acara simbolik perletakan jawatankuasa PERKEMAT DQ 09/10 dengan jayanya sebagai tanda penyerahan rasmi kepimpinan PERKEMAT kepada pimpinan sesi 10/11 .PERKEMAT 10/11 membuka tirai pemerintahan diketuai oleh al-akh Che Faizul Azhar Bin Che Mat sebagai Yang Dipertua yang baru.

Bacaan lafaz ikrar pimpinan PERKEMAT berkumandang memenuhi dewan muktamar sebagai lafaz persediaan untuk menggalas amanah yang telah diberikan kepercayaan ahli kepada mereka. Sebagai langkah awal mengorak langkah sebagai pimpinan baru, satu sesi cadangan usul secara lisan telah dibuka bagi membuka ruang kepada ahli untuk mengusulkan cadangan kepada pimpinan baru. Pelbagai cadangan telah diusulkan untuk dibincangkan di peringkat pimpinan baru. Majlis kemudiannya diteruskan dengan perlantikan juru audit kewangan bagi sesi 10/11. Majlis menutup tirai kira-kira jam 4.45 petang dengan pelbagai kenangan yang menarik..

Kepada adik-adik pimpinan baru,jalankan amanah dengan penuh rasa tanggungjawab dan rasa bertuhan,kami doakan moga-moga pimpinan kalian lebih baik dari kami.. PERKEMAT bukan sekadar persatuan,tapi medan tarbiah diri dan emosi.. Salam tarbiah dalam tribulasi.. Akhir kata dari kami “ rentak tadhiyyah mengalunkan irama ukhuwah ”



-MANTAN EXCO PERKEMAT 09/10-



3 comments:

This comment has been removed by the author.

Tahniah dan Takziah..selamat meneruskan perjuangan buat generasi baru..