Friday, September 10, 2010

PERUTUSAN AIDILFITRI 1431

Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
WaliLlahi al-hamd

Firman Allah s.w.t:

“…Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu agar kamu bersyukur.” Al-Baqarah ; 185

Ramadhan telah pergi meninggalkan umat Islam. Syawal yang tiba membawa seribu satu makna dengan rasa syukur kepada Allah s.w.t. Umat Islam saban tahun akan bergembira dengan kehadiran Syawal yang disama ertikan dengan hari kemenangan umat Islam. Persoalan yang harus kita timbulkan di dalam benak fikiran kita, adakah kita telah mencapai kemenangan? Adakah kita layak untuk bergraduasi setelah melalui fasa pengajian di dalam bualan Ramadhan?

Terkenang sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. Satu ketika, Baginda s.a.w menaiki mimbar untuk menyampaikan khutbah. Pada langkahan yang pertama Rasulullah s.a.w berkata amin. Diikuti langkahan kedua dan ketiga. Para sahabat kehairanan dengan perbuatan Baginda Rasul, lantas bertanya kepada Baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda, “Aku didatangi Jibril a.s. Jibril berkata, rugilah bagi mereka yang disebutkan namamu tetapi mereka tidak berselawat ke atasmu. Katakanlah amin. Maka aku berkata amin. Pada langkahan kedua Jibril berkata, rugilah bagi mereka yang masih memiliki kedua orang tuanya tetapi tidak mampu memasukkannya ke dalam syurga. Katakanlah amin. Maka aku berkata amin. Pada langkahan ketiga Jibril berkata, rugilah bagi sesiapa yang telah melepasi Ramadhan tetapi dosanya tidak diampunkan Allah. Katakana min. aku berkata amin.”

Adakah Ramadhan yang baru sahaja meninggalkan kita telah menjadi madrasah yang terbaik untuk kita bergelar seorang hamba Allah? Bagaimana dengan perasaan kita sewaktu ditinggalkan Ramadhan? Para sahabat ridhwanuLlahi ‘alaihim ajma’in telah menunjukkan satu contoh terbaik. Mereka embira dengan kedatangan Ramadhan dan tidak sanggup untuk berpisah dengannya. Rasulullah s.a.w pernah menyatakan, seandainya umat aku mengetahui apa yang ada di dalam Ramadhan, nescaya mereka akan menginginkan Ramadhan sepanjang tahun.

Tarbiyyah Ramadhan yang baru sahaja dilalui akan bukan sekadar untuk melepaskan tanggungjawab berpuasa di dalamnya. Bahkan manifestasi puasa itu sendiri adalah untuk menghasilkan taqwa kepada Allah s.w.t. Inilah kurniaan terbesar yang tidak ada nilai yang standing dengannya. Hanya dengan darjat taqwa kita akan diredhai Allah. Hanya dengan darjat taqwa akan menjadikan kita sebagai hamba Allah yang bersyukur. Hanya dengan darjat taqwa akan menyebabkan kita memperoleh rahmat dan keampunan Allah serta mendapat kebebasan daripada azab siksa neraka.

Setelah dijanjikan Allah dengan keampunan di bulan Ramadhan, seperkara yang perlu kita ingat bahawa kita belum lagi melepasi syarat taubat. Kerana itu Islam menganjurkan kepada umatnya untuk saling bermaafan. Bermaafan bukan hanya di pagi Syawal, bahkan sepanjang tahun.

Kelaziman yang berlaku di dalam masyarakat Melayu-Islam di Malaysia, kita akan berlumba-lumba untuk mengerjakan kebajikan pada awal Ramadhan. Masjid-masjid juga turut dipenuhi dengan umat Islam. Namun di akhir Ramadhan, realiti yang berlaku tidaklah seperti pada awalnya. Masjid dan surau semakin menyepi, amalan bersedekah semakin diajuhi, Al-Quran hanya dibaca pada majlis-majlis tertentu, solat sunnah apatah lagi. Beringatlah! Seandainya kita menyembah Ramadhan, sesungguhnya Ramadhan itu hanya makhluk dan akan pergi. Sebaliknya sembahlah Allah, kerana Allah yang akan kekal abadi, tidak akan mati. Kekalkan momentum tarbiyyah yang telah diperoleh dari bulan Ramadhan. Jadikan sepanjang tahun kita sebagai Ramadhan kerana jiwa mukmin sentiasa merindui kekasihnya, Ramadhan.

Ayuh kita kembalikan keizzahan umat Islam. semangat Badar al-Kubra tidak pernah menyepi dri hidup seorang huffaz yang bercita-cita untuk mendaulatkan semula Kalimah Allah. Roh fathu Makkah tidak akan pernah lenyap dari diri seorang huffaz yang bercita-cita menyaksikan dunia ini bernaung semula di bawah lembayung Islam. Semangat Ghazwatul Ahzab dan Hunain akan terus bersemarak untuk menyaksikan terhapusnya kebatilan, tertegaknya kebenaran.

Akhir kalam, seluruh ahli jawatankuasa barisan kepemimpinan Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ) sesi 2009/2010 mengucapkan Salam Aidilfitri kepada seluruh pensyarah, ahli-ahli PERKEMAT DQ dan sekalian warga Darul Quran JAKIM. Kembalilah kepada fitrah kehidupan. Itulah kemenangan yang tiada nilai tandingnya. Sambutlah hari kemenangan ini dengan penuh keimanan dan ketaqwaan, berlandaskan syara’ yang telah ditetapkan Allah s.w.t.

Salam ‘Aidil Fitri, maaf zahir dan batin.

“MEMACU PERUBAHAN”

“KE ARAH PEMBENTUKAN GENERASI AL-QURAN YANG UNIK”


MUHAMMAD FAKHRUR RIDZWAN BIN OTHMAN
Yang Dipertua
Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tajfiz Darul Quran
(PERKEMAT DQ) sesi 2009/2010

0 comments: