Saturday, September 25, 2010

Pencabulan Hak Asasi Manusia

Dan Allah telah berfirman dalam Al-Quran,

"Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu membunuh orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan ia telah membunuh manusia seluruhnya."

Al-Ma’idah:32

Allah telah berfirman dalam ayat di atas bahawasanya kezaliman sama sekali tidak diterima dalam Islam. Setiap apa yang berada di atas muka bumi Allah, ia merupakan hak Allah maka selayaknya bagi mereka yang melakukan kezaliman dan kerosakan di atas muka bumi ini dihukum dengan undang-undang Allah. Hukuman ini sahajalah yang setimpal dengan pencabulan ke atas hak-hak Allah.

Islam yang membawa erti agama kesejahteraan turut menuntut hak-hak asasi manusia. Hak asasi dalam Islam adalah berbeza dengan hak asasi yang diketahui umum. Islam sama sekali melarang kita menyentuh hak peribadi individu lain apatah lagi melakukan kezaliman terhadap seseorang individu. Yang Dipertua PERKEMAT, Saudara Muhammad Fakhrur Ridzwan bin Othman berkata, “Apa jua jenis pembunuhan adalah melanggar hak asasi manusia. Islam mengarahkan umatnya untuk menjaga lima perkara asas. Salah satunya adalah nyawa”.

Bersesuaian dengan hadis nabi s.a.w,

"Sesungguhnya darahmu, hartamu dan kehormatanmu haram atas kamu."

(HR. Bukhari dan Muslim).

Masyarakat telah dikejutkan dengan suatu peristiwa tragis pada 30 Ogos 2010 berikutan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik. Kes berprofil tinggi yang melibatkan Datuk Sosilawati Lawiya bersama seorang pemandu, pegawai bank dan peguamnya ini telah membuka mata masyarakat akan kemerosotan nilai-nilai kemanusiaan pada hari ini. Jika kita imbau kembali sejarah kekejaman yang berlaku beberapa tahun belakangan ini, negara pernah digemparkan dengan kes pembunuhan Altantuya Shariibuu. Pembunuhan kejam yang menggunakan letupan bom ini jelas menggambarkan kezaliman yang semakin berleluasa dan penurunan tahap keselamatan rakyat di negara ini khususnya bagi golongan wanita. Perasaan belas dan hormat pada kaum hawa semakin hari semakin terhakis.

Beliau juga menambah, “Terjadinya kes pembunuhan, apatah pembunuhan kejam telah menunjukkan bahawa dunia dan masyarakat hari ini mengalami krisis moral yang begitu kronik. Apakah kita sebagai manusia yang banyak bergantung dengan manusia lain mempunyai hak ke atas nyawa seseorang?” Maka melihat kepada permasalahan ini, beliau menyatakan bahawa jalan penyelesaian terbaik adalah kembali kepada ajaran Islam yang syumul.

Keselamatan rakyat dan perlindungan sosial bagi setiap individu menjadi kewajipan negara tanpa mengira bangsa dan agama. Oleh kerana itu Islam menjadikan kewajipan menegakkan dasar-dasar kesyumulan dalam pentadbiran negara sama ada dari sudut ekonomi, sosial, keselamatan dan sebagainya. Kita boleh mengambil contoh daripada kepemimpinan Abu Bakar As-Sidiq dalam memerangi golongan yang tidak membayar zakat. Betapa tokoh-tokoh kepimpinan terdahulu sentiasa berusaha menegakkan Islam di tempat tertinggi dan tidak sama sekali mengenepikan Islam sebagai asas pentadbiran Negara.

Kita dapat melihat natijah daripada sikap pemerintah yang membelakangkan hukum Allah dalam pengurusan pentadbiran, maka selayaknya kita dihidangkan dengan pelbagai masalah kebejatan sosial dan pelanggaran hak-hak asasi individu seperti hari ini. Apabila pemerintah tidak menggalas tugas sosial yang diamanahkan menurut kaca mata Islam, maka sewajarnya negara hari ini dihujani pelbagai masalah sosial dan keruntuhan moral akhlak yang semakin melampau.

Firman Allah dalam Surah Al-Hajj ayat 41,

"Iaitu orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka menegakkan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah perbuatan munkar. Dan kepada Allah-lah kembali semua urusan."

Fenomena jenayah yang berleluasa pada hari ini juga menggambarkan akibat daripada perundangan negara yang tidak pernah menitikberatkan persoalan iman dan Islam dalam pentadbirannya. Islam sendiri melarang tidakan membunuh diri. Ini bermakna nyawa bukanlah hak manusia mahu pun milik makhluk lain. Ia adalah hak Allah. Justeru, ia memaparkan sikap tidak malu dan tiada rasa keaiban si pembunuh dalam mencabuli hak asasi dalam islam. Seharusnya kita mengambil contoh kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan contoh terbaik pemerintah Islam yang sering memberi peringatan demi peringatan kepada seluruh rakyat.

Sekiranya ini yang ditekankan oleh pemerintah dalam menegakkan seruan Islam, InsyaAllah ia akan mendatangkan rasa gerun dan takut terhadap Allah di hati rakyat. Jika segala permasalahan dan khilaf dikembalikan semula kepada Al-Quran dan As-Sunnah, nescaya redha dan keampunan Allah jualah ke atas pemimpin dan seluruh rakyat. Sesuai dengan firman Allah dalam surah Saba’ ayat 15,

Baldatun thoiyibatun warabbun ghafuur”

NEGARA YANG AMAN DAN SEJAHTERA, YANG SENTIASA MENDAPAT KEAMPUNAN ALLAH S.W.T.

0 comments: