Alhamdulillah, sudah berlalu bulan Allah yakni Rejab, kini menjengah pula ke bulan Rasulullah s.a.w, bulan Sya’ban dan menanti bulan umat Islam iaitu bulan Ramadhan yang terkandung 1001 barakah.
Allah S.W.T berfirman,
“Orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi penolong kepada sebahagian yang lain…”
At-Taubah:71
Sahabat yang dirahmati,
Islam telah membuka ruang kesedaran kepada kaum wanita supaya turut serta dalam segenap aspek kehidupan. Bilamana taraf wanita dijunjung dalam Islam, maka hak yang diberikan juga adalah termasuk dalam bidang kepemimpinan dan pentadbiran sama ada di peringkat keluarga mahupun negara. Sejarah melakarkan kesedaran penglibatan wanita dalam kepemimpinan dan pentadbiran atau pun kata lainnya dalam urusan ‘politik’ bermulanya penurunan wahyu pertama. Saat dimana baginda Nabi s.a.w pulang ke rumah dalam keadaan ketakutan, Saidatina Khadijah merupakan wanita pertama Islam yang menenangkan baginda. Bukti yang jelas menunjukkan keterlibatan beliau dalam politik dakwah nabi apabila baginda sering berbincang dan meminta pandangan berkenaan sesuatu perkara. Rasulullah s.a.w berkata :
“Dia membenarkanku ketika orang ramai mendustaiku. Dia beriman kepadaku ketika orang ramai berpaling daripadaku dan dia mengorbankan harta bendanya ketika orang ramai menghalangku.”
Banyak catatan tokoh-tokoh politik wanita antaranya Ummu Salamah yang melalui pengalaman berpolitik bersama Nabi Muhammad s.a.w ketika peristiwa perjanjian Hudaibiah, Ummu Ammarah Nusaibah yang turut serta dalam peperangan Hunain dan Yamamah, Asma’ binti Abu Bakar yang berkorban nyawa menghantar makanan di tengah malam untuk Rasulullah s.a.w dan bapanya Saidina Abu Bakar. Betapa kepahlawanan dan keberanian wanita pada zaman baginda s.a.w begitu terserlah.
Sahabat sekalian,
Namun apa yang menyayat hati bilamana melihat kepada golongan wanita hari ini sering menjadi barang ‘permainan’, dieksploitasi di papan tanda iklan, menjadi ibu tunggal yang ‘tidak bertauliah’ lantas membuang bayi-bayi di atas rumput di tepi jalan. Sungguh menyentap perasaan! Begitu jauh beza peradaban wanita Islam masa kini jika dibandingkan ketika zaman nabi s.a.w.
Melihat kepada realiti masyarakat Islam hari ini, maka perlunya wanita turut melibatkan diri dalam gerak kerja sosial dan politik. Namun masih ramai golongan wanita Islam tidak memainkan peranan positif dalam lapangan sosial sehingga menyebabkan bidang ini didominasi oleh aktivis-aktivis freemason dan pendokong-pendokong sekular. Hal ini setelah dikaji berpunca daripada beberapa blok pemikiran yang disalahtafsir. Antaranya :
1. Lelaki lebih kuat daripada wanita.
2. Lelaki lebih layak memimpin daripada wanita.
3. Wanita kurang akal fikiran dan agama.
4. Wanita tidak boleh keluar rumah kecuali terpaksa.
5. Menutup pintu maksiat dan kerosakan.
6. Ego lelaki yang tidak mahu menanggung sebarang keletihan sekiranya membiarkan isteri menyertai aktiviti sosial.
Ikhwah dan akhawat,
Tidak dapat dinafikan keutamaan wanita adalah di rumah, namun Islam juga menuntut wanita melaksanakan tugas-tugas syara’ seperti lelaki walaupun masing-masing mempunyai keutamaan tersendiri. Menyeimbangkan kewajipan syara’ disamping menjaga kerja-kerja rumah yang utama menjadi tuntutan ke atas setiap wanita Islam. Contoh terbaik adalah seperti Khadijah binti Khuwailid, Aisyah binti Abu Bakar, Asma. Binti Abu Bakar dan ramai lagi tokoh-tokoh wanita lain yang turut keluar berjuang bersama pejuang-pejuang Islam bagi mengubati tentera-tentera Islam yang cedera seperti Nusaibah, Khaulah dan Ummu Sulaim.
Sekiranya pencerobohan berlaku ke atas negara Islam maka menjadi kewajipan ke atas wanita Islam untuk turut keluar berjihad. Hal ini termasuk apabila terdapat orang Islam diganggu di negara sendiri maka wajib bagi umat Islam keluar rumah untuk mempertahankan saudaranya. Apabila undang-undang Allah tidak dilaksanakan dan kemungkaran berleluasa, maka dalam keadaan ini, menjadi kewajipan wanita Islam untuk turut keluar rumah menyampaikan amar ma’ruf nahi mungkar.
Buang kefahaman yang keruh dan bina pemikiran yang jernih.
Akhir kalam, saya menyeru kepada diri saya sendiri dan kepada sahabat dan sahabiah agar menyahut cabaran dakwah dalam kerja-kerja sosial dan politik Islam dengan hati yang ikhlas dan redha. Semoga kita istiqamah dalam menunaikan amanah yang diberikan.
Wallahu Ta’la ‘Alam.
Nur Afifah binti Muhamad
Naib Yang Dipertua,
Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran.
3 Sya’ban 1431 H.
0 comments:
Post a Comment