Tuesday, June 15, 2010

Tayangan Perdana Ashabul Kahfi -Episod 10 (FINALE)

Baru-baru ini Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran(PERKEMAT DQ) dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar(HEP) melalui Lajnah Penerbitan dan Informasi(LATERINFO) sesi 09/10 telah menganjurkan sebuah majlis gilang-gemilang iaitu Tayangan Perdana Ashabul Kahfi episod ke-10. Tayangan yang bertempat di Auditorium Sheikh Mohd Noor pada hari Sabtu yang lalu (12 Jun 2010) telah mendapat sambutan yang hangat dikalangan para pelajar Darul Quran khususnya.


Keadaan di dalam gua



Pintu masuk Gua Ashabul Kahfi pada masa sekarang


Tirai majlis dibuka tepat jam 9.30 malam dengan ucapan alu-aluan pengerusi malis yang terdiri daripada gabungan mantap sem 5 (ITQAN) iaitu akh Muhamad Hasif Bin Mat Husin dan semester 1 iaitu akh Muhammad Hariz Bin Musa. Majlis diteruskan dengan menjemput Exco Lajnah Penerbitan Informasi iaitu akh Muhammad Amal Syakir Bin Abd Samad untuk menyampaikan kata alu-aluan kepada para penonton yang hadir selaku pengarah bagi majlis tayangan tersebut. Ucapan yang ringkas namun padat dengan info dan mesej bermakna kepada sisiwa siswi Darul Quran dalam menghayati kisah Ashabul Kahfi yang telah melarikan diri daripada penguasa zalim demi menyelamatkan akidah.
Namun dengan takdir Allah, mereka telah ditidurkan selama 309 tahun lalu dibangkitkan semula di sebuah zaman yang terlalu asing bagi mereka.

Pengacara majlis yang ceria


Tanpa menghabiskan cerita tersebut, Exco LATERINFO kemudiannya menyerahkan majlis untuk memberi laluan kepada pelajar bagi mengikuti episod terakhir yang ditunggu-tunggu terutamanya buat mereka yang mengikuti kisah ini sejak siri yang pertama lagi. Sebuah penantian yang amat menyeksakan setelah hampir setahun setengah berlalu, barulah tayangan ini dapat ditamatkan pada hari ini. Alhamdulillah!
Tayangan dimulakan dengan persembahan slide intro yang gempak dan menarik oleh Unit Tayangan LATERINFO lalu diteruskan dengan preview keseluruhan episod sejak siri yang pertama hingga ke sembilan. Setelah itu, tayangan Ashabul Kahfi 10 pun dimulakan sekitar jam 10.00 malam. Kehadiran para penonton yang hadir semakin bertambah dari semasa ke semasa memenuhi ruang-runag kosong pada kerusi di audi tersebut. Ternyata jumlah peratusan kehadiran pelajar meningkat secara drastik berbanding beberapa tayangan yang agak hambar sebelum ini.

Antara penonton yang hadir


Antara penonton yang hadir


Tayangan berjalan dengan lancar sebaik sahaja lampu yang begemerlapan di auditorium dimalapkan dan digelapkan sementara waktu sebagi menghidupkan suasana tayangan malam itu. Debaran kian dirasai dalam setiap derapan langkah yang bakal mengakhiri penantian kali ini. Susunan cerita yang menarik dan diatur rapi amat bertepatan dengan Kisah Ashabul Kahfi yang tercatat dalam Kalamullah. Latar Bukit Angeles yang menempatkan 7 Pemuda Gua tersebut mengenangkan kita kepada mukjizat Allah yang Maha Kuasa ke atas hambanya. Firman Allah yang bermaksud, “.. tiada daya dan upaya melainkan atas kehendak Allah s.w.t”. Maha Suci Allah ke atas insan terpilih Ashabul Kahfi.


Menyelusuri sejarah Asahabul Kahfi, Philadelphia merupakan lokasi kejadian berlaku sejak Maximilianus dan 6 orang lagi sahabatnya serta anjing yang bernama Dinisio bangun daripada tidur mereka yang lama. Keanehan mula bersarang di lubuk hati Maximilianus pada perubahan yang berlaku sehinggalah segalanya terjawab dalam ashabul kahfi siri 10. Dalam siri tersebut, pemerintah yang baik hati ketika itu telah mengeluarkan titah kepada rakyat untuk sama-sama mengikuti rombongan ke Gua Ashabul Kahfi bagi melawat sahabat-sahabat gua yang merupakan insan terpilih oleh Allah dalam membuktikan kebenaran hari kebangkitan manusia suatu masa kelak.
Keanehan jelas tergambar pada riak wajah 6 sahabat Maximilianus setelah melihat kehadiran beliau bersama seorang tua dan wanita jelita yang disangkakannya, Helen iaitu isteri kepada Maximilianus.


Setelas diberi penjelasan secara ringkas dan padat barulah mereka menyedari akan keajaiban Allah s.w.t ke atas hamabNya dan bagaimana dibuktikan bahawa Allah mampu menghidupkan makhluk yang telah mati sebagaimana mukjizat yang telah diturunkan kepada Ashabul Kahfi. “Terasa diri ini terlalu kerdil disisiNya berbanding kelebihan yang telah Allah kurniakan pada kita,” kata salah seorang daripada pemuda gua tersebut. Setelah menemui pemerintah kala itu berhampiran gua tersebut, mereka telah menyampaikan dakwah mengikut kefahaman akidah yang mereka imani kepada orang ramai yang mengikuti rombongan ke Bukit Angeles untuk bertemu insan pilhan Allah. “Sebagaimana kita diciptakan daripada tiada kepada ada, seperti itulah Allah mampu membangkitkan manusia kembali sekalipun jasad hancur dimamah bumi dan nyatalah bahawa hari kebangkitan itu pasti akan berlaku” jawab salah seorang daripada sahabat gua tersebut terhadap pertanyaan yang diajukan oleh seorang rakyat.


Setelah raja dan rakyatnya mula beransur pulang sambil bersedia menyambut ketibaan 7 Pemuda Pilihan Allah, mereka telah digemparkan dengan “tidurnya” kembali Ashabul Kahfi buat selama-lamanya. Keadaan tujuh sahabat yang bersujud kepada Allah menandakan pemergiaan mereka setelah mendapati Dinisio iaitu anjing Ashabul Kahfi didapati mati dihadapan pintu gua. Seluruh rakyat Philadelphia menangisi pemergian 7 pemuda pilihan Allah dan mengakui bahawa Allah Maha Berkuasa atas semua makhlukNya.
Tayangan diakhiri dengan video klip dan lagu Ashabul Kahfi dendangan kumpulan Raihan yang menyayat hati para penonton. Tentatif majlis diteruskan dengan persembahan istimewa yang dibawakan khas daripada kumpulan nasyid IKHLAS dari semester ITQAN. Mereka dianggotai oleh akh Faiz Norlizan, akh Faisal Norlizan, akh Ameen Salahuddin dan akh Taufiq Rashid Khan. Dendangan Ashabul Kahfi secara acapella menghiburkan para hadirin yang membanjiri auditorium kala itu. Seterusnya semangat Palestin disemarakkan dengan penuh bersemangat oleh kumpulan IKHLAS dengan lagu Gelombang Keadilan-Shoutul Harakah. Semangat yang masih tersisa pada himpunan prihatin huffaz masih jelas terngiang di hati sisiwa siswi Darul Quran yang dirahmati Allah.


Persembahan nasyid dari semester 5 ITQAN - kumpulan IKHLAS


Setelah itu, majlis diteruskan pula dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang Kuiz Menyelusuri Sejarah Ashabul Kahfi. Walaupun kuiz kali ini kurang mendapat galakan dan sambutan dikalangan pelajar namun kami di pihak lajnah mengharapkan kerjasama dan komitmen yang lebih baik daripada pelajar khususnya pada program yang akan datang. Akh Mohd Hasyir Bin Ifwat, Timbalan Yang diPertua PERKEMAT DQ telah diberi penghormatan untuk menyamapaikan hadiah kepada pemenang pada malam itu. Bagi sebelah Banin, tempat pertama telah disandang oleh akh Wan Ahmad Fakhruddin Bin Wan Mohamad Fauzai daripada semester 7 manakala tempat kedua dimenangi oleh akh Anas Lateh Bin Abdul Ghani daripada semester 3.

Pemenang kuiz bagi banin -Tempat pertama



Bagi sebelah Banat pula, ketiga-tiga kerusi dikuasai oleh pelajar daripada semester 3 iaitu ukht Syukriah Binti Sulong di tempat pertama diikuti ukht‘Ain Adilah Binti Mohd Adlan di tempat kedua. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh ukht Husna Binti Mansor. Naib yang diPertua, iaitu Ukht Afifah Binti Muhammad telah diberi penghormatan unutk menyampaikan hadiah kepada para peserta bertuah.
Seterusnya, tibalah waktu yang dinanti-nantikan oleh para pelajar iaitu cabutan bertuah. Pelaksanaan kali ini agak berbeza sedikit daripada yang lepas memandangkan penonton diminta mencari kertas kuning yang dilekatkan di bawah kerusi sebagai calon yang bertuah malam itu. Calon yang memperoleh kertas kuning kemudiannya diminta berdiri untuk melihat sekiranya dikalangan calon tersebut berjaya memperoleh kertas berwarna merah jambu yang dilekatkan bersama. Mana-mana calon yang berhasil mendapatkan kedua-dua kertas tersebut maka merelah yang layak merebut hadiah di hadapan. Walaupun suasana yang agak kelam kabut di mana kertas-kertas tersebut tidak diketemukan dalam jumlah yang sepatutnya namun 4 peserta yang berjaya memperoleh kedua-dua kertas daripada banin dan banat tetap mendapat hadiah di hadapan. Manakala yang selebihnya telah mendapat penanda buku khas dari LATERINFO sebagai cenderahati kenang-kenangan bagi mereka yang bertuah malam itu.


Pemenang kuiz bagi banat - Tempat Pertama


Majlis berakhir tepat jam 11.30 malam apabila kebanyakan penonton mula bersurai secara aman dan tidak kurang juga bagi mereka yang sibuk membeli belah di gerai jualan yang terdapat di luar auditorium. Buku Pearl of Huffaz keluaran terbaru LATERINFO 09/10 turut dijual bersama barang-barang keluran lain seperti button, buku nota, serta tempahan buku dan majalah Solusi.
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t atas ruangan dan kesempatan yang diberikan kepada Lajnah Penerbitan dan Informasi untuk menyediakan sebuah majlis tayangan yang begitu meriah pada malam lalu. Kepada semua Majlis Tertinggi dan Ketua Unit LATERINFO 09/10, terima kasih ana ucapkan atas segala kerjasama dan komitmen yang sepadu daripada antum sejak perancangan dimulakan. Semoga kejayaan hari ini akan menjadi pendorong semangat dan kunci kejayaan yang bakal dikecapi oleh generasi baru yang akan datang.

Gerai jualan di ruang legar Auditorium



Akhir kalam daripada Exco Lajnah Penerbitan dan Informasi kepada semua siswa dan siswi Darul Quran, agar dapat bersama turun ke dalam majlis dan program yang akan datang sebagai tanda sokongan yang jitu kepada Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran seiring memacu perubahan ke arah melahirkan generasi Al-Quran yang unik.


Ahad/1.20 tengahari
13 Jun 2010/29 Jamadilakhir 1431 Hijrah

Disediakan oleh,
Pengarah Majlis Tayangan Perdana Ashabul Kahfi 10
(Exco Lajnah Penerbitan dan Informasi)
PERKEMAT DQ 09/10

3 comments:

Al-Hamdulillah, gmbira rasanye...akhirnya selesai sdah tygn ashabul kahfi stlah 3bln hbs DQ..Tahniah kpd adk2 krn berjaya menamatkan tygn a.kahfi ini..mg pengajran dlm a.kahfi dpt memberi smgt dlm perjuangan mmbwa Islam yg syumul..Allahu Akbar

Al-Hamdulillah, gmbira rasanye...akhirnya selesai sdah tygn ashabul kahfi stlah 3bln hbs DQ..Tahniah kpd adk2 krn berjaya menamatkan tygn a.kahfi ini..mg pengajran dlm a.kahfi dpt memberi smgt dlm perjuangan mmbwa Islam yg syumul..Allahu Akbar

terkilan sungguh... nak tengok finale ashabul kahfi..tapi balik cuti..xpelah..harap2,moga yang tengok tu dapat ambil pengajaran dan ibrahnya..