Saturday, June 12, 2010

Himpunan Prihatin Huffaz

Lipatan Sejarah

Pada tanggal 11 Jun 2010(Jumaat) bersamaan 28 Jamadilakhir 1431H, Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran
(PERKEMAT DQ) dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar Darul Quran(HEP) dan pentadbiran DQ telah melangsungkan sebuah perhimpunan pelajar yang lebih dikenali sebagai Himpunan Prihatin Huffaz. Perhimpunan yang berlangsung di perkarangan masjid Darul Quran disertai hampir 1000 orang pelajar baik dikalangan lelaki mahupun perempuan. Turut bersama dalam perhimpunan tersebut ialah pegawai,pensyarah dan staf Darul Quran sendiri sebagai pemantau untuk melihat kemeriahan sambutan pelajar mengenai isu Palestin yang kian hangat diperkatakan baik di dada-dada akhbar , corong radio, media massa dan juga elektronik.

Barisan MT dan Exco PERKEMAT








Para Hafizah turut menentang kekejaman Israel



Selain itu, perhimpunan yang bertujuan untuk membangkitkan kesedaran dikalangan huffaz agar lebih cakna dengan isu dunia telah dicetuskan oleh pihak PERKEMAT DQ di bawah jawatankuasa pelaksana Isu Palestin yang telah ditubuhkan pada 7 Mei yang lalu. Perhimpunan yang julung kalinya diadakan di Darul Quran selepas usainya Solat Sunat Hajat Perdana telah diatur secara ringkas oleh pihak persatuan. Namun atas semangat untuk menanam roh jihad dalam mengecam tindakan ganas Israel Laknatullah ke atas misi bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini, pihak persatuan berasa terpanggil untuk melakukan sesuatu seiring dengan gagasan yang diperkenalkan oleh PERKEMAT DQ iaitu memacu perubahan.


Dalam usaha melahirkan generasi Al-Quran yang unik dan multiskill dalam pelbagai bidang, pihak persatuan tidak lain berhasrat untuk mengubah persepsi masyarakat yang sering menyalahkan huffaz terutama berkenaan isu semasa yang rata-ratanya menuding jari ke atas golongan huffaz itu sendiri. Mengapakah perkara ini berlaku? Sewajarnya, sebagai huffaz kita harus membuka mata lantas memandang ke hadapan melihat dunia yang kini berkembang pantas tanpa sempadan. Dunia kini telah menyaksikan kecanggihan teknologi yang mampu menyebar maklumat dengan begitu pantas. Tanpa kecaknaan terhadap isu global yang sering menjadi perhatian dunia, mana mungkin kita mampu bangkit berhadapan masyarakat dalam keadaan mentaliti kelas ketiga. “Be a world class leader with world class mentality”. Seuntai kata dari barat yang memaksa kita berfikir luar dari jangkaun kotak pemikiran ( thinking out of the box) dan bersedia menyahut cabaran dunia dalam mendepani arus global yang mendatang.
Walaupun persiapan yang diatur secara ringkas dan padat namun telah menghasilkan suatu gerak kerja yang berkualiti.

Pelbagai cadangan telah dipertimbangkan sebelumnya dalam usaha meneruskan himpunan prihatin huffaz ini memandangkan pertama kalinya berlaku di Darul Quran. Setelah mendapat kelulusan daripada Pengarah Darul Quran, Ustaz Che Ibrahim Bin Che Man dan pihak HEP DQ satu kata putus telah pun dicapai diperingkat persatuan untuk meneruskan himpunan tersebut. Realiti yang telah berlaku benar-benar mengejutkan kami dengan sambutan hangat yang disemarakkan lagi oleh siswa siwi Darul Quran, bagaikan mujahid muda melaungkan kata-kata keramat bagi menyanggah kekejaman yahudi laknatullah. Skuad Sinar Harian yang turut bersama menghadirkan diri bagi merakam gmbaran peristiwa yang berlaku jelas melakar memori yang bakal terpahat dalam setiap hati pelajar Darul Quran yang sudah tentunya berhimpunan atas dasar keimanan mengecam keganasan.


Keadaan suasana yang agak mendung telah menghasilkan tiupan hawa dingin semulajadi yang menyegarkan di sebalik keindahan Tasik Darul Quran yang sering menjadi tumpuan pengunjung dan pelajar sendiri. Keredupan yang merendangi wajah-wajah mujahid muda ini memberi kekuatan semulajadi bagi menyahut seruan takbir yang dilaungkan oleh wakil- wakil pelajar dan pensyarah yang menyampaikan pidato ringkas mereka petang itu. Antaranya ialah pengerusi semester 3
(IRSYAD) akh Ahmad Fahmi Bin Mokhtar, pengerusi semester 5 (ITQAN) akh As’ad Bin Mohamad Sarif dan wakil siswa ijazah yang diwakili oleh akh Zulkifli. Lontaran hujah dan kata-kata yang penuh bersemangat dihujamkan ke atas tentera Yahudi Laknatullah dan nasihat serta pedoman berguna kepad para huffaz yang lebih sinonim dengan tuntutan Al-Quran dan Sunnah dalam menegakkan konsep amar ma’ruf dan nahi munkar.





Saudara As'ad melaungkan kata-kata semangat






Hancur ! Hancur ! Hancur Israel !!! - dari Saudara Fahmi






Akh Zulkifli wakil dari siswa Ijazah



Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz DQ juga tidak ketinggalan dengan menghantar wakil yang terdiri daripada figure-figure hebat dalam persatuan iaitu akh Mohd Hasyir Ifwat Bin Mohd Rafi selaku Timbalan Yang Di-Pertua(TYDP) dan akh
Marwan Bukhari Bin Ab.Hamid sebagai Exco Lajnah Dakwah dan Tabiyyah(LADAR) . Kedua-duanya kelihatan bersemangat menyampaikan bilahan kata yang melonjakkan semangat para huffaz dalam mengecam tindakan kejam dan ganas Israel. Malahan laungan takbir yang bersahutan nada menembah seri keperwiraan yang tergambar pada riak wajah para pelajar tatkala itu.

Timbalan Yang DiPertua PERKEMAT - Saudara Hasyir Ifwat





Exco LADAR - Saudara Marwan Bukhari

Majlis yang dipengerusikan oleh akh
Muhamad Azizul Hakim Bin Mohd Zain selaku Exco Riadhah dan Rekreasi(LARIDASI) kemudiannya telah menjemput kepada wakil daripada kalangan pensyarah untuk berucap. Maka tampillah seorang ustaz yang tidak asing lagi bagi kita sebagai pelajar Darul Quran iaitu Ustaz Shahrulkarnain Bin Mohd Nazir. Bekas pegawai disiplin yang pernah berkhidmat di bahagaian Hal Ehwal Pelajar DQ ini telah menyampaikan sebuah nasihat dan peringatan yang cukup bermakna kepada seluruh golongan huffaz. Menurut beliau, para huffaz pada hari ini perlu lebih cakna dengan isu semasa lantas berada bersama dalam usaha menyahut seruan dunia bagi mengutuk kekejaman tentera Israel. Katanya lagi, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) pada realitinya, telah melahirkan sebuah negara Israel yang mengancam seluruh penduduk dunia dengan tindakan yang tidak bertamadun seperti yang berlaku pada konvoi ke Gaza baru-baru ini. Beliau turut mencabar para hufffaz agar sama-sama berganding bahu menentang kekejaman tentera Zionis dengan mengecam tindakan tersebut lalu berdoa kepada Allah agar diberi kekuatan dan hidayah dalam menempuh masa depan yang mencabar.

Para Jemaah turut menunjukkan rasa kebencian terhadap Israel


Himpunan yang merakam detik bermakna dan bersejarah di sebuah Institusi Pengajian Tahfiz Al-Quran yang berlokasi di Kuala Kubu Bharu ini menutup tirainya dengan laungan doa wehdah oleh seorang pelajar persijilan semester 1
(IQRAC) .Segunung kesyukuran dipanjatkan kepada Allah S.W.T di atas kesempatan yang telah diberikan kepada PERKEMAT DQ untuk menganjurkan himpunan prihatin Palestin sebagai tanda menyuarakan ketidak puasan hati kita terhadap kekejaman Isreal laknatullah yang sukar dibendung kala ini. Moga di Mahkamah Ilahi kelak, kita mampu terlepas daripada persoalan yang bakal merantai kita di Jahannam disebabkan ketidak caknaan kita pada saudara seagama yang menderita menangisi kehilangan yang tersayang. Selautan penghargaan dan terima kasih ditujukan kepada Pengarah Darul Quran, pihak HEP DQ, pihak pentadbiran khususnya para pelajar Darul Quran yang dikasihi atas pantauan dan kesudian melapangkan masa bagi bersama-sama menyertai perhimpunan ini. Jazakumullahukhairan jaza’.


Selagi nyawa menunjangi jasad, selagi kudrat mengampuh tenaga, nescaya para huffaz hari ini akan terus bangkit menentang kezaliman dan penindasan Isreal yang bermaharajalela berbekalkan semangat jihad yang tinggi dalam mengejar cita dan cinta yang masih belum dikota, jihad fi sabilillah.

Disediakan Oleh:

Exco Lajnah Penerbitan dan Informasi 09/10


1 comments:

Tahniah berjaya anjurkan himpunan aman..

teruskan memboikot barangan Yahudi!