Saturday, April 24, 2010

Huffaz Membantah Kehadiran Tony Blair ke Malaysia



Masyarakat huffaz hari ini menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap kehadiran Tony Blair ke Malaysia atas jemputan sebuah syarikat Success Resources, iaitu sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura dan turut beroperasi di Malaysia. Syarikat berkenaan telah menjemput bekas Perdana Menteri Britain itu untuk menyampaikan syarahan yang akan bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre pada hari Sabtu, 24 April 2010 jam 9.00 pagi.

Menurut Yang di-Pertua PERKEMAT, saudara Muhammad Fakhrur Ridzwan bin Othman, setelah rakyat Malaysia dikecewakan dengan penglibatan APCO WORLDWIDE yang menjadi agen untuk kerajaan Malaysia, maka dimanakah ketegasan pihak kerajaan dalam menyatakan bahawasanya Malaysia membantah apa jua keganasan? Seluruh dunia maklum akan siapakah Tony Blair yang pernah bersengkongkol dengan penjenayah dunia George W. Bush dalam misi kemanusiaan mereka di Iraq sehingga meragut nyawa hampir satu juta nyawa-nyawa yang tidak berdosa.








Tony Blair bersama tentera British di Basra, Iraq pada tahun 2004.


Beliau menambah lagi, “Seandainya kerajaan Malaysia membenarkan Tony Blair memasuki Malaysia dan seterusnya menyampaikan syarahannya, maka terbukti kerajaan Malaysia meredhai serta menghalalkan keganasan yang telah dilakukan Tony Blair. Kami golongan huffaz begitu menyesali akan keganasan yang telah dilakukan serta mengutuk sekeras-kerasnya mereka yang turut terlibat dalam agenda keganasan serta merendah-rendahkan maruah umat Islam”.

Justeru, kami masyarakat huffaz teguh menyatakan kebersamaan kami dengan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan rakan-rakan NGO yang lain dalam membantah kehadiran Tony Blair ke Malaysia.

Kunjungan yang tidak dialu-alukan ini sememangnya harus disedari oleh pihak Tony Blair bahawasanya umat Islam Malaysia terutama golongan huffaz sama sekali tidak menerima jejak beliau ke Malaysia.


0 comments: