Friday, August 28, 2009

FADHILAT RAMADHAN KAREEM

Sempena bulan Ramadhan yang penuh berakah ini, sama-samalah kita hayati fadhilat-fadhilat yang terdapat di bulan Ramadhan ini. Semoga amalan yang sedikit akan mendapat impak yang besar di akhirat kelak. Disini dibawa beberapa hadith yang menceritakan tentang kelebihan Ramadhan.

1. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).

2. Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

3.Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.

4.Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

5.Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah S.W.T membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

6.Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."


RAMADHAN YANG SAMA, NATIJAH YANG BERBEZA...

BARAKALLAHUFEEKUM..

Saturday, August 22, 2009

MARHABAN YA RAMADHAN

Ahlan...Ahlan ya Ramadhan...

"permulaannya dilimpahi rahmat, pertengahannya dikurniakan limpahan maghfirah, diakhirnya dijauhkan dari siksaan neraka..."

Bulan yang mana gerbang syurga dibukakan seluasnya, ditutup pintu neraka serapat-rapatnya, dirantai segala syaitan dan iblis yang durjana, dihentikan azab dipusara serta dihamparkan permaidani keampunan kepada hambanya soleh...


"Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharap pahala(keredhoan) Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu" (HR.AL-Bukhari)

Sama-samalah kita berdoa agar Allah swt memberikan kesempatan kepada kita untuk menghabiskan Ramadhan dalan keadaan sihat untuk kita menggandakan ibadah kita semaksima mungkin baik dari segi puasa, solat, tilawah, zikir dan sebagainya...

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahwa Rasulullah saw. apabila masuk bulan Rajab selalu berdoa, "Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan.” ertinya, ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rajab dan Sya’ban; dan sampaikan kami ke bulan Ramadan. (HR. Ahmad dan Tabrani).


BARAKALLAHUFEEKUM..

Wednesday, August 19, 2009

2 PROGRAM TANGGUH KERANA CUTI H1N1

Pada 10-14 Ogos 2009 PERKEMAT DQ dibawah Lajnah Pendidikan (DIDIK) telah mengadakan Program Idul Qura' 09 (SIDDIQ 09').
program yang bertemakan "Memanisfestasikan Huffaz Intelektual Progresif dan Versetil " bertujuan untuk mencungkil bakat terpendam dalam melahirkan golongan huffaz yang proaktif.antara pertandingan yang diadakan adalah debat antara semester, tilawah AlQuran, Hafazan AlQuran, terjemahan teks, Khat dan sebagainya.


HAFAZAN ALQURAN

PERTANDINGAN KHAT

TILAWAH ALQURAN

DEBAT ANTARA SEMESTER


walaubagaimanapun program ini terpaksa ditangguhkan kerana Darul Quran terpaksa diberi cuti selama seminggu bermula 14-23 ogos 2009 kerana dibimbangi simptom-simptom H1N1 merebak dikalangan pelajar-pelajar Darul Quran.

InsyaAllah acara yang tertangguh akan dipertandingkan pada suatu masa yang akan diberitahu kembali. Antara acara-acara yang tertangguh adalah Nasyid dan debat akhir.


Selain Idul Qura', terdapat satu lagi program yang terpaksa ditangguhkan iaitu Program Sukan Huffaz 09' (SUKFAZ) yang sepatutnya diadakan pada 15- 22 Ogos 2009. Program ini juga InsyaAllah akan diadakan pada suatu masa yang akan diberitahu kemudian.

Wallahu'alam.

Sunday, August 16, 2009

Selesema Babi (swine influenza): Membongkar Hikmah Pengharaman dan Pembohongan Nasrani


Heboh diperkatakan di sana sini mengenai selesema babi yang semakin membimbangkan banyak pihak. Wabak ini dipercayai berpunca daripada virus influenza A yang berjangkit dalam kalangan babi. Penularan wabak ini bermula di Mexico seterusnya merebak ke negara-negara Eropah lain seperti Amerika Syarikat, Kanada dan lain-lain. Malaysia turut merasai kesan penularan wabak ini dan keadaan makin meruncing apabila 27 orang telah menjadi korban virus tersebut setakat ini.

Manusia selalunya dijangkiti Selesema Babi melalui hubungan langsung dengan babi atau persekitaran yang dijangkiti virus ini. Terdapat kes di mana manusia yang dijangkiti tidak mempunyai sejarah hubungan secara langsung dengan haiwan ini atau persekitarannya. Jangkitan manusia kepada manusia yang telah dilaporkan adalah terhad kepada hubungan rapat di kalangan manusia dan di dalam kumpulan-kumpulan kecil.
Virus Selesema Babi sentiasa berubah seperti virus influenza yang lain. Terdapat 4 subtypes utama virus influenza A iaitu H1N1 (virus yang biasa ditemui pada babi), H1N2, H3N1 dan H3N2. Babi boleh dijangkiti virus Avian Influenza (Selesema Burung), virus influenza bermusim manusia, serta virus Swine Influenza (Selesema Babi).

Babi boleh dijangkiti lebih daripada satu jenis virus pada satu masa. Ini menyebabkan gen virus tersebut bercampur dan menghasilkan virus influenza yang mengandungi gen daripada pelbagai sumber, dikenali sebagai virus yang bercampur (reassortant). Walaupun virus Selesema Babi pada kebiasaannya adalah spesis yang spesifik dan hanya menjangkiti babi, namun virus ini boleh menjangkiti manusia. Virus influenza yang dijumpai pada babi pada masa kini adalah virus H1N1.

Setiap perbuatan Allah Taala itu mempunyai hikmahnya yang tersendiri dan antara hikmah yang jelas daripada kejadian ini adalah hukuman Allah Taala kepada kaum yang telah mengubah kitab Allah dan menghalalkan apa yang Allah haramkan serta menjadikan manusia sebagai Tuhan-tuhan yang membuat syariat selain Allah.
Allah Ta’ala berfirman:
Maksudnya: “Mereka menjadikan pendita-pendita dan Ahli-ahli Agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (Mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.”

Apabila Adi bin Hatim radiallahuanhu datang berjumpa Rasulullah S.A.W untuk memeluk Islam, Rasulullah membacakan ayat ini kepada Adi bin Hatim. Adi kemudiannya mengatakan: “Sesungguhnya (kaum Nasrani) tidak menyembah mereka (paderi dan rahib)”. Lalu Rasulullah menjawab: “Bahkan (mereka menyembah para rahib dan paderi) kerana para rahib dan paderi mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram lalu mereka mengikutinya, itulah sembahan mereka terhadap para paderi dan rahib mereka”.
[Ibn Kasir, 4/135]

Telah sabit dalam Old Testement atau Kitab Perjanjian Lama bahawa Babi adalah haiwan yang diharamkan ke atas kaum Nasrani sepertimana haram ke atas kaum Yahudi:
“And the pig, though it has a split hoof completely divided, does not chew the cud; it is unclean for you.” [Leviticus 11:7, New International Version (NIV) Bible].

“The pig is also unclean; although it has a split hoof, it does not chew the cud. You are not to eat their meat or touch their carcasses.” [Dueteronomy 14: 8, NIV Bible].

Kedua-dua nas daripada kitab Perjanjian Lama dengan jelas menyatakan haram ke atas mereka untuk dimakan dan bahkan najis sehingga tidak boleh disentuh. Demikianlah hukum yang sebenarnya terdapat dalam kitab mereka.

Namun, pada tahun antara 51 M ke 55 M telah diadakan satu Perhimpunan antara Hawariyyin yakni pendakwah-pendakwah ajaran Isa ‘alaihissalam yang diketuai oleh Yaakob bin Yusuf al-Najjar di Urshalim menetapkan bahawa dalam usaha menarik minat kaum bukan penyembah berhala kepada ajaran Kristian maka ditetapkan bahawa mereka dikecualikan daripada hukum hakam Taurat atau Perjanjian lama.

Ini sebagai langkah pertama untuk menarik minat mereka sahaja tetapi setelah itu mereka akan diwajibkan juga mengikut hukum Taurat tersebut, demikianlah dakwaan mereka. Walaupun masih mengharamkan zina, memakan bangkai, dan memakan makanan yang disembelih untuk berhala, tetapi dihalalkan babi, khamar, dan riba.

Ini merupakan siri pertama dalam siri-siri penyelewengan ajaran Kristian yang pada asalnya merupakan agama Tauhid. Namun, Paul yang merupakan seorang Yahudi yang benci kepada Nabi Isa ‘alaihissalam kemudian setelah Isa diangkat Allah ke langit, mengaku sebagai pengikut Kristian secara munafiq mengisytiharkan bahawa hukum hakam Taurat telah dimansukhkan dengan Injil.

Dalam Injil Barnaba yang telah ditinggalkan amalannya oleh gereja-gereja Kristian menyatakan:
Thereupon. said one of the scribes: If I shall eat pork, or other unclean meats, will they not defile my consciences?’
Jesus answered: Disobedience will not enter into the man but will come out of the man, from his heart; and therefore will he be defiled when he shall eat forbidden food.’
[Gospel of Barnaba, Part 3].

Jelas daripada pernyataan ini, Jesus yakni Isa ‘alaihissalam menamakan babi sebagai makanan yang dilarang dan memakannya akan menyebabkan kerosakan jiwa dan maksiat. Namun, para Paderi Kristian yang dilaknat Allah Taala telah mengubah agama Allah Taala lalu mereka memilih hukum yang sesuai dengan hawa nafsu mereka dan membuang hukum yang tidak sesuai dengan nafsu mereka.

Allah Taala berfirman:
Maksudnya: “dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad s.a.w), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).” [al-Baqarah: 101].

Allah Taala juga menyatakan:
Maksudnya: “dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu.” [Ali Imran: 187].

Demikianlah Maha Benar Allah yang Dia itu Maha Benar bahawa kaum Ahli Kitab daripada Yahudi dan Nasrani telah banyak menimbulkan kerosakan di bumi ini dan membuat agama sendiri bertopengkan nama-nama Rasul dan Nabi-nabi Allah maka hendaklah mereka yang masih terbelenggu dengan omongan kosong para Paderi dan Rahib ini sedar dan carilah kebenaran yang hakiki.

Tidak ada kebenaran yang lebih benar daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah Muhammad bin Abdullah sallallahu alaihi wa sallam dan tidak ada penyelamat yang lebih benar daripada Islam.

Apa yang berlaku dewasa ini merupakan ancaman kecil daripada Allah Taala kepada kaum kafir ini yang telah menghalalkan apa yang Allah haramkan dan meletakkan diri mereka sedarjat dengan Allah melalui tindakan mereka membuat bidaah dan rekaan hukum palsu di sebalik dakwaan ‘Kitab Allah’. Balasan yang lebih besar dan dahsyat masih menanti di akhirat nanti di neraka Jahannam, maka sedarlah wahai kaum Nasrani selagi masa masih ada.

Kalam Yang Di Pertua: Ogos 09


Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah, segala puji dan puja dirafakkan kepada Allah azza wajalla, tuhan yang mengatur urusan sekalian alam, Yang menghidup dan mematikan semua makhluk dan Dialah yang menjadi paksi berkumpulnya hati-hati manusia yang cintakan Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad saw yang telah menyampaikan risalah dalam mengeluarkan manusia dari lembah zulumat kepada nur yang bergemerlapan. Begitu juga buat para sahabat, alim ulama dan para pejuang yang cintakan kebenaran.

Sahabat yang dikasihi Allah,

Apabila melihat kepada realiti semasa yang sedang ditayangkan di depan mata kita pada hari ini, sudah pastinya kita merasa pedih dan letih. Kekadang terasa ingin menampar-nampar pipi dengan penuh harapan bahawa realiti ini hanyalah mimpi. Namun, beribu-ribu kali kita menampar-nampar pipi sekalipun, katak tetap katak, ia bukan lagi berudu yang kecil. Panorama yang parah tetap parah meskipun meluap-luap kita berperasaan marah.

Kita tidak perlu bersusah payah untuk membuat kajian tentang sejauh mana hapraknya kekusutan sosial dan kepolitikan pada hari ini. Sebaliknya kita boleh menyedari akan bahang pemasalahan tersebut dengan hanya membaca akhbar-akhbar ataupun menerusi kemudahan internet. Umat Islam pada hari ini berada di rangking yang pertama sekiranya kita ingin bercakap soal kegagalan dan sebaliknya pula umat Islam berada di rangking yang paling bawah jika kita ingin berbicara soal kejayaan.

Keadaan ini menyebabkan musuh-musuh kita memandang rendah dan tersenyum sinis dengan keupayaan kita sendiri. Lalu, tidak hairanlah apabila mereka berani mencabul maruah umat Islam dengan wewenangnya seperti yang berlaku di Xinjiang (China), Rohingya (Myanmar), Chechnya dan lain-lain negara termasuklah peristiwa tragis yang menggemparkan dunia Islam pada hari ini iaitu pembunuhan ganas terhadap si pejuang hijab, Marwa al Sherbini.

Persoalannya, bagaimanakah perwatakan kita apabila ditakdirkan Allah untuk hidup pada zaman yang penuh pancaroba ini? Adakah sekadar menjadi pemerhati dan kemudiannya mengulas isu-isu tersebut dengan penuh semangat kepemudaan sahaja? Ataupun hanya mengucapkan innalillahi wainnaa ilaihi raji’un ketika dimaklumkan tentang kekejaman yang sedang dihadapi umat Islam?

Sahabat yang dikasihi Allah,

Saya ingin menarik perhatian kalian dengan sebuah kajian yang dilakukan oleh RAND corp. iaitu sebuah badan penyelidikan dan penasihat yang berpengaruh di Washington. Mereka membuat kajian terhadap umat Islam pada hari ini dan membuat kesimpulan bahawa terdapat tiga kumpulan umat Islam iaitu orang Islam yang sekularis/modernis, tradisionalis dan fundamentalis. Mereka membuat kenyataan bahawa kumpulan sekularis/modernis (umat Islam yang sekular) hendaklah disokong dan didokong oleh Barat. Begitu juga dengan golongan tradisionalis (kumpulan yang menganggap agama Islam hanyalah agama ibadat khusus semata-mata tanpa menghiraukan masalah umat). Manakala kumpulan fundamentalis (yang berprinsip teguh dan sensitif dengan isu-isu umat) mestilah dibangkang.

Berdasarkan kajian tersebut, maka jelaslah kepada kita bahawa mereka sungguh bimbang dengan kewujudan umat Islam yang memahami aspirasi agama dan bersedia memperjuangkannya. Bagi kita yang menjadi penghafal al Quran, agak-agaknya di kategori manakah kita berada? Sungguh mendukacitakan sekiranya kewujudan kita langsung tidak ditakuti oleh musuh Islam memandangkan kelebihan yang besar (al Quran) sedang dipikul kita. Sedarilah bahawa kita tidak akan digeruni sekiranya tiada takwa dalam diri kita. Takwa inilah juga yang akan mengukuhkan lagi kekuatan kita.

Justeru, saya berharap kita akan sentiasa meningkatkan ketakwaan kita supaya dengan bekalan takwa inilah, kita akan menjadi huffaz yang berjasa di dunia dan akan dibalas pula jasa ini di akhirat kelak, insyaAllah. Dengan kelebihan ini juga, semoga kita akan menjadi satu pasukan yang akan bersama-sama dengan perjuangan umat Islam sama ada tika senang mahupun susah. Yakinilah bahawa kitalah satu pasukan yang dirindui oleh umat Islam yang sedang menangis di merata dunia.

Salam perjuangan daripada saya!