Bismillahirrahmanirrahim,
Alhamdulillah, segala puji dan puja dirafakkan kepada Allah azza wajalla, tuhan yang mengatur urusan sekalian alam, Yang menghidup dan mematikan semua makhluk dan Dialah yang menjadi paksi berkumpulnya hati-hati manusia yang cintakan Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad saw yang telah menyampaikan risalah dalam mengeluarkan manusia dari lembah zulumat kepada nur yang bergemerlapan. Begitu juga buat para sahabat, alim ulama dan para pejuang yang cintakan kebenaran.
Sahabat yang dikasihi Allah,
Apabila melihat kepada realiti semasa yang sedang ditayangkan di depan mata kita pada hari ini, sudah pastinya kita merasa pedih dan letih. Kekadang terasa ingin menampar-nampar pipi dengan penuh harapan bahawa realiti ini hanyalah mimpi. Namun, beribu-ribu kali kita menampar-nampar pipi sekalipun, katak tetap katak, ia bukan lagi berudu yang kecil. Panorama yang parah tetap parah meskipun meluap-luap kita berperasaan marah.
Kita tidak perlu bersusah payah untuk membuat kajian tentang sejauh mana hapraknya kekusutan sosial dan kepolitikan pada hari ini. Sebaliknya kita boleh menyedari akan bahang pemasalahan tersebut dengan hanya membaca akhbar-akhbar ataupun menerusi kemudahan internet. Umat Islam pada hari ini berada di rangking yang pertama sekiranya kita ingin bercakap soal kegagalan dan sebaliknya pula umat Islam berada di rangking yang paling bawah jika kita ingin berbicara soal kejayaan.
Keadaan ini menyebabkan musuh-musuh kita memandang rendah dan tersenyum sinis dengan keupayaan kita sendiri. Lalu, tidak hairanlah apabila mereka berani mencabul maruah umat Islam dengan wewenangnya seperti yang berlaku di Xinjiang (China), Rohingya (Myanmar), Chechnya dan lain-lain negara termasuklah peristiwa tragis yang menggemparkan dunia Islam pada hari ini iaitu pembunuhan ganas terhadap si pejuang hijab, Marwa al Sherbini.
Persoalannya, bagaimanakah perwatakan kita apabila ditakdirkan Allah untuk hidup pada zaman yang penuh pancaroba ini? Adakah sekadar menjadi pemerhati dan kemudiannya mengulas isu-isu tersebut dengan penuh semangat kepemudaan sahaja? Ataupun hanya mengucapkan innalillahi wainnaa ilaihi raji’un ketika dimaklumkan tentang kekejaman yang sedang dihadapi umat Islam?
Sahabat yang dikasihi Allah,
Saya ingin menarik perhatian kalian dengan sebuah kajian yang dilakukan oleh RAND corp. iaitu sebuah badan penyelidikan dan penasihat yang berpengaruh di Washington. Mereka membuat kajian terhadap umat Islam pada hari ini dan membuat kesimpulan bahawa terdapat tiga kumpulan umat Islam iaitu orang Islam yang sekularis/modernis, tradisionalis dan fundamentalis. Mereka membuat kenyataan bahawa kumpulan sekularis/modernis (umat Islam yang sekular) hendaklah disokong dan didokong oleh Barat. Begitu juga dengan golongan tradisionalis (kumpulan yang menganggap agama Islam hanyalah agama ibadat khusus semata-mata tanpa menghiraukan masalah umat). Manakala kumpulan fundamentalis (yang berprinsip teguh dan sensitif dengan isu-isu umat) mestilah dibangkang.
Berdasarkan kajian tersebut, maka jelaslah kepada kita bahawa mereka sungguh bimbang dengan kewujudan umat Islam yang memahami aspirasi agama dan bersedia memperjuangkannya. Bagi kita yang menjadi penghafal al Quran, agak-agaknya di kategori manakah kita berada? Sungguh mendukacitakan sekiranya kewujudan kita langsung tidak ditakuti oleh musuh Islam memandangkan kelebihan yang besar (al Quran) sedang dipikul kita. Sedarilah bahawa kita tidak akan digeruni sekiranya tiada takwa dalam diri kita. Takwa inilah juga yang akan mengukuhkan lagi kekuatan kita.
Justeru, saya berharap kita akan sentiasa meningkatkan ketakwaan kita supaya dengan bekalan takwa inilah, kita akan menjadi huffaz yang berjasa di dunia dan akan dibalas pula jasa ini di akhirat kelak, insyaAllah. Dengan kelebihan ini juga, semoga kita akan menjadi satu pasukan yang akan bersama-sama dengan perjuangan umat Islam sama ada tika senang mahupun susah. Yakinilah bahawa kitalah satu pasukan yang dirindui oleh umat Islam yang sedang menangis di merata dunia.
Salam perjuangan daripada saya!
0 comments:
Post a Comment