Senyum terukir gembira terserlah,
Kerana mendapat sebuah anugerah,
Ketibaan mu disambut penuh meriah,
Karna bakal menjadi pejuang di bumi barakah.
Seawal 7.30 pagi, puluhan kenderaan sudah perpusu-pusu menuju ke Kompleks Darul Quran memecah keheningan suasana pagi disini. Puluhan keluarga yang hadir dari seluruh pelusuk tanah air menimbulkan suasana meriah pada hari ini. Tujuan mereka tidak lain adalah untuk mengiringi anak-anak bagi majlis pendaftaran pelajar persijilan tahfiz DQ-UIAM. Pelbagai aksi dan riak muka yang dapat disaksikan daripada gelagat anak-anak yang bakal bergelar siswa dan siswi serta para ibu bapa yang menaruh harapan begitu tinggi demi melihat anak-anak mereka berjuang di bidang al-Quran. Tidak terlepas juga dengan aksi dan gelagat urusetia yang mula sibuk bertugas pada posisi masing-masing demi memastikan kelangsungan perjalanan majlis.
Sesi pendaftaran bermula pada pukul 8.30 pagi. Para pelajar yang bakal mendaftar beratur mengikut kaunter-kaunter yang ditetapkan oleh pihak Darul Quran manakala para ibu bapa dan ahli keluarga pelajar dijamu dengan sarapan pagi di belakang Dewan Muktamar. Dapat dilihat sekali imbas pada riak wajah bakal mahasiswa yang seolah-olah tidak sabar lagi untuk menempuh cabaran kehidupan sebagai seorang mahsiswa. Sesi pendaftaran berakhir setelah tetamu dan dif-dif kehormat tiba. Turut serta pada majlis ini adalah Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Dekan UIAM, dan Pengarah Darul Quran JAKIM.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis, kemudian diteruskan dengan ucapan sulung Pengarah Darul Quran buat siswa-siswi yang baru mendaftar. Majlis seterusnya dirasmikan oleh Tuan Haji Othman, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM. Acara diteruskan lagi dengan bacaan ikrar pelajar baru yang kemudiannya diakhiri dengan majlis penyerahan pelajar oleh para ibu bapa kepada pihak Darul Quran.Majlis perasmian ini berjalan dengan lancar, walaubagaimanapun terasa sedikit kekurangan kerana antara tetamu kehormat yang dijadualkan akan turut serta bersama memeriahkan majlis ini iaitu Al-allamah Prof. Dr. Yusof Al-Qaradhawi tidak dapat menghadirkan diri di atas masalah yang tidak dapat dielakkan
Hampir jam 12 tengah hari, para ibu bapa, ahli keluarga dan siswa siswi dijemput untuk menjamu selera di Dewan Makan Asrama Banin. Setelah selesai menjamu selera, kesemua mereka terus menuju ke blok asrama yang ditetapkan untuk urusan pendaftaran masuk ke asrama. Pelbagai gelagat yang dapat disaksikan di sekitar kawasan asrama. Cuaca panas tidak menghalang para pelajar untuk meneruskan proses mengangkat barang-barang keperluan. Gerai PERKEMAT yang disediakan mendapat sambutan hangat daripada para pelajar untuk mendapatkan keperluan masing-masing.
Kawasan Darul Quran mula lengang dari kenderaan para ibu-bapa setelah pukul 3 petang. Kelihatan para pelajar baru sedang menyesuaikan diri di dalam bilik masing-masing. Kemudian bermula program Haluan Siswa pada pukul 5 petang yang bertujuan untuk suai-kenal antara mereka dan kakitangan Darul Quran. Apapun tidak terlewat bagi kami warga Darul Quran mengucapkan, Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum!!!
0 comments:
Post a Comment