Friday, November 27, 2009

SALAM AIDUL ADHA


ALLAHU AKBAR
ALLAHU AKBAR
ALLAHU AKBAR
WA LILLAHIL HAMD

Firman Allah s.w.t:

“Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab: “ Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah ayah akan mendapati daku dari kalangan orang yang bersabar” as-Saffat; 102

Aidul adha kembali menjengah, membawa seribu satu kisah pengorbanan yang sewajarnya kita hayati. Kisah pengorbanan pertama yang berlaku, pembunuhan Habil yang dibunuh saudara kandungnya Qabil, ditambah dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘alaihimassalam merupakan pengajaran yang amat berharga yang perlu untuk dihayati.

Seperti ‘aidul Fitri, ‘aidul adha juga bukan merupakan satu perayaan adat. Menjelang 10 Zulhijjah maka bergema semula takbir di angkasa, memecah segala kesunyian. Pada hari ini juga, disyariatkan ibadah haji kepada umat Islam. Namun, ia bukanlah satu adat akan tetapi ianya mempunyai makna yang cukup tersirat. Hikmah Allah menjadikan hari ini sesuai dengan keperluan semasa.

Jihad dan pengorbanan merupakan dua elemen yang berkait rapat. Kedua-duanya memerlukan satu elemen tambahan yang akan menghasilkan natijah yang sempurna. Itulah elemen kesabaran. Apa-apa perkara yang mampu menguntungkan Islam, yang mampu mengangkat semula martabat Islam dipanggil jihad. Dan jihad memerlukan kepada pengorbanan yang sangat tinggi. Mana mungkin jihad mampu terhasil jika tidak disertakan dengan pengorbanan. Pengorbanan pula perlulah disertakan dengan kesabaran kerana tujuan jihad itu sendiri adalah untuk menggapai redha Allah.

Kembali berpijak di bumi yang nyata. Manusia yang hidup pada hari ini semakin hari semakin jauh dari undang-undang Allah s.w.t. Jangan kita menyangka undang-undang Allah itu hanya berkisar undang-undang pemerintahan negara, akan tetapi undang-undang terhadap individu juga termasuk dalam erti kata undang-undang Allah s.w.t. Kita sering kali membicarakan perihal masyarakat luar yang semakin parah dan kronik dengan gejala sosial yang melanda. Propaganda yang dibawa oleh musuh Islam telah menjadikan umat Islam hari ini semakin lemah dan jauh tersasar dari hala tuju yang sebenar. Namun, perlu juga untuk kita sedari bahawa propaganda ini juga yang telah meresap masuk ke dalam diri dan pemikiran masyrakat huffaz hari ini.

Mungkin tidak keterlaluan untuk saya katakan, masyarakat huffaz merupakan nadi penggerak kepada masyarakat di luar. Masyarkat huffaz ibarat hati di dalam satu badan. Jika rosak hati tersebut maka akan rosak jugalah seluruh tubuh badan. Namun jika baik hati tersebut maka sejahteralah seluruh tubuh badan. Merenung kembali apa yang pernah diperkatakan oleh Syeikhuna Abul A’ala al-Maududi di dalam makalahnya, Manhaj Hidup Muslim. Sememangnya Al-Quran itu tinggi tempatnya, tetapi kita yang merendahkannya. Melakukan kezaliman terhadap Al-Quran bukan hanya bererti meletakkan Al-Quran itu di tempat yang kotor, tetapi jika mengabaikan segala yang termaktub di dalamnya juga merupakan satu kezaliman yang besar.

Kita mengetahui, Allah telah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai qudwah hasanah. Ketika ditanya kepada saiyidatuna ‘Aishah radhiyallahu ‘anha tentang akhlak Baginda, maka Ummul mu’minin ‘Aisyah mengatakan bahawa akhlak Baginda itu adalah Al-Quran. Muhasabahlah semula, di mana tingkatan akhlak kita. Bagaimana akhlak kita dengan diri kita, bagaimana akhlak kita dengan masyarakat, dan yang paling penting bagaimana pula akhlak kita dengan Allah s.w.t.

Pernah satu ketika, saat pulangnya Ibrahim bin Ablah dari satu peperangan. Ibrahim bin Ablah berkata kepada tenteranya bahawasanya mereka pulang dari jihad yang kecil (peperangan) kepada jihad yang besar (melawan hawa nafsu). Seperti yang dinyatakan, jihad memerlukan kepada pengorbanan dan kesabaran. Untuk mencontohi model yang ditunjukkan Baginda bukanlah mudah kerana ianya amat bertentangan dengan nafsu yang sentiasa mengajak ke arah kejahatan. Justeru hanya hati yang sentiasa berpaut pada Allah sahaja yang bakal melepasi ujian ini. Perkara asas yang perlu diambil kira ialah nilaian ketaqwaan kita kepada Allah. Hanya pengorbanan orang yang bertaqwa sahaja yang bakal diterima oleh Allah seperti yang dirakamkan di dalam Surah Al-Maidah ayat 27.

Wallahu a’alam..

Sekian

MUHAMMAD FAKHRUR RIDZWAN BIN OTHMAN
Yang Di-Pertua
Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran
Sesi 2009/2010

Thursday, November 26, 2009

ANNUAL GENERAL MEETING 2009 (AGM '09) : PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI


"Kepimpinan bukanlah satu perkara yang mutlak.."

Tanggal 21 November 2009 telah berlangsung satu detik yang amat bersejarah buat seluruh ahli Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ), kerana pada tarikh berkenaan telah berlakunya pertukaran pucuk pimpinan PERKEMAT sesi 2008/2009. Annual General Meeting kali ke-25 itu bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.



Kepimpinan yang lepas (08/09), yang dipimpin oleh Saudara Ahmad Qutaibah b Mohamed yang di taklifkan sebagai Yang Di Pertua telah digantikan oleh Saudara Muhammad Fakhrur Ridzwan b Othman yang memegang kerusi Timbalan Lajnah Hal Ehwal Siswa pada sesi yang lepas. Beliau turut dibantu oleh Saudari Nur Afifah bt Muhamad yang ditaklif sebagai Naib Yang Di Pertua.


Semoga kepimpinan pada sesi ini lebih baik dari yang sebelumnya. Seeru 'ala baarokatillah...Ameen

Thursday, November 19, 2009

ANDA SEORANG PEMIMPIN?

PEMIMPIN??? Ramai yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin. Pemimipin korporat, pemimipin agama, pemimpin badan sukan, pemimpin persatuan dan sebagainya. Malah jawatan pemimpin yang menjadi rebutan tidak tertumpu hanya pada yang tertinggi, sebaliknya mengambil peluang apa juga bentuk kepimpinan dalam sesebuah kumpulan atau organisasi itu.

Mengapa jawatan pemimpin begitu menjadi rebutan ??!

Lazimnya manusia akan mengejar kuasa, kedudukan, pangkat dan pengaruh. Semua itu boleh diperoleh apabila seseorang itu menjadi pemimpin. Persoalan sekarang, siapa sebenarnya pemimipin? Adakah pemimpin terikat dengan sebarang pangkat? Bolehkah seseorang itu menjadi pemimpin tanpa jawatan yang diangkat secara rasmi?

Umumnya pemimpin ialah orang yang berpengaruh dalam masyarakat. Tahap kejayaan kepimpinan seseorang itu diukur dari segi pengaruhnya. Lebih tinggi kepimpinan seseorang itu, lebih besar pengaruhnya. Apabila lebih besar pengaruhnya, maka lebih ramai pula pengikutnya. Namun kian ramai pemimpin masa kini sanggup buat apa sahaja untuk meraih pengaruh besar demi mendapatkan pangkat yang paling tinggi. Tidak salah sekiranya pemimpin itu mencari pengaruhnya tersendiri jikalau dengan pengaruhnya itu, dia dapat memberi kebaikan pada orang di sekelilingnya.

Tetapi realitinya ramai yang duduk dalam saf kepimpinan dengan begitu selesa tetapi amat sedikit untuk memberi apa-apa kebaikan kepada manusia di sekelilingnya. Agak malang juga bagi seorang pemimipin jika kewujudannya hanya sekadar berusaha untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang diinginkan sahaja sedangkan manusia yang berada di bawah kepimpinannya tidak beroleh apa-apa perubahan dari segi akhlak atau budi pekerti. Jiwa mereka tidak dipimpin ke arah kebaikan, iman mereka tidak didorong ke arah yang mantap.

Sebenarnya semua orang seharusnya menjadi pemimpin dan mereka berperanan dalam kepimpinannya. Daripada Ibnu Umar r.a. meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa, “ Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kamu pimpim.” Berdasarkan hadis di atas, Islam melihat tugas kepimpinan adalah satu amanah daripada Allah yang dipertanggungjawabkan kepada semua manusia.



Ada pepatah mengatakan sekumpulan kambing yang dipimpin oleh seekor singa lebih ditakuti daripada sekumpulan singa yang dipimpin oleh seekor kambing. Pepatah ini ada kebenarannya tetapi alangkah hebatnya jika sekumpulan singa dipimpin oleh seekor singa juga.

Ingatlah, tidak ada yang boleh menyekat sebuah organisasi untuk maju ke depan jika setiap orang dalam organisasi itu bertindak sebagai pemimpin yang mempunyai daya usaha dan keazaman yang tinggi untuk menjadikan dunia di sekelilingnya lebih baik melalui peranan masing-masing.



p/s : buatlah pilihan yang terbaik dalam memilih pemimpin...



"ISTIQOROH ADALAH JALAN YANG TERBAIK UNTUK MEMBUAT PEMILIHAN"


-petikan dari solusi isu 7

Wednesday, November 18, 2009

BAHANG PRK JELAS TERASA

Pilihanraya kampus Darul Quran saban tahun diadakan bagi memilih kepimpinan baru Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz (PERKEMAT DQ). Pilihanraya ini diuruskan oleh badan berkecuali Penyelaras Pemilihan Calon (PPC) yang dipilih dalam kalangan wakil-wakil semester.

Pada hari snin bersamaan 16 November 2009 telah diadakan Malam Perbahasan Usul bertempat di Dewan Auditorium Sheikh Mohd Noor. Perbahasan usul ini bertujuan untuk menetapkan syarat-syarat kelayakan bagi pemimpin yang akan dilantik. Pada malam tersebut pelbagai hujah yang dilontarkan oleh para pelajar bagi menetapkan syarat-syarat yang terbaik bagi pemilihan pemimpin yang akan bertanding.

Manakala pada malam ini akan diadakan malam ramah mesra yang bertujuan untuk memperkenalkan calon yang akan bertanding dan calon-calon yang bakal bertanding tersebut akan membentangkan manifesto yang akan mereka laksanakan seandainya mereka menang dalam PRK kali ini.

“Tiap kamu adalah pemimpin dan kamu semua akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kamu pimpim.”

Tuesday, November 10, 2009

Isu genderisme. Salah siapa?

“Itu pendapat enti. Pendapat ana lain,”

“Cuba dengar dulu pendapat kami...,”

“Relevan ke idea tu?...”

Akhirnya... timbullah perbalahan yang kerapkalinya tiada kesudahan. Menulis mengenai isu ini adalah untuk renungan bersama dalam menjernihkan kekeruhan situasi yang sering berlaku di dalam sesuatu perbincangan yang dikendalikan oleh dua jantina.

Bagaimana isu ini timbul tanpa disedari?

1. rasa taksub dengan pendapat masing-masing.

2.tidak membiasakan diri dengan salamatussodri (berlapang dada)

3.Tidak kenal identiti diri

4.Kurang pengetahuan tentang sikap jantina yang berlawanan

Dan banyak lagi kemungkinan yang menyebabkan perkara ini berlaku. Hakikatnya ramai yang tidak sedar tentang isu genderisme yang sering timbul apabila ada perbincangan di antara lelaki dan perempuan ini. Akibatnya perbincangan yang dibuat sering tidak punya kata putus dan hasil yang terbaik gagal diperolehi. Maka kan terdengarlah pelbagai luahan rasa seusai sahaja keluar dari bilik perbincangan.

“ macam bagus sangat banin tu. Ego tinggi melangit”

“tensen je aku ngan banat tu. Tak sedar diri tu perempuan,”

Bila diimbas-imbaskan kembali setiap perbalahan yang pernah dilalui terasa seperti ingin mentertawakan diri. Lucu. Tapi itulah yang sering berulang-ulang setiap kali ada perbincangan.

Teringat sewaktu membentangkan tajuk “men are from mars and women are from venus” yang dipetik dari judul sebuah buku untuk “assignment” bahasa inggeris. Tajuk yang nampak menarik tetapi agak berat isinya. Bagaimana mahu memahami jantina yang berlawanan. Rasa malas mengambil tahu tentang manusia yang berlainan jantina. Tetapi itu mesti sebenarnya. Apatah lagi apabila bekerja sekali di bawah satu unit. Tidak faham itu yang menjadi salah satu punca besar berlakunya perbalahan, perencatan otak dan perbincangan yang tidak meluas. Maka tidak terhasillah impak yang sepatutnya terhasil apabila dua jantina berkolaborasi idea. Fitrahnya, di sebalik kejayaan seorang lelaki, pasti ada wanita yang menjadi pendorongnya.

Jadi mengapa perlu berbalah dan saling tidak memahami?

Terlalu banyak hikmah tuhan di sebalik kejadian penciptaan lelaki dan wanita. Sama-samalah kita menambah thaqafah, merenangi lautan ilmu dan meneroka rimba hikmah untuk mengenal siapa diri kita sebagai seorang lelaki atau wanita. Salam tazkiyatunnafs.





Ana imtayaz-121109



Wednesday, November 4, 2009

KEMULIAAN QANA'AH

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:

مَا الدُّنْيَا فِيْ اْلاَخِرَةِ إلاَّ كَمِثْْلِ مَا يَجْعَلُ أحَدُكُمْ إصْبَعَهُ فِيْ الْيَمِّ، فَلْيَنْظُرْ بِمَ تَرْجِعُ

“Dunia ini dibanding akhirat tiada lain hanyalah seperti jika seseorang diantara kalian mencelupkan jarinya ke lautan, maka hendaklah dia melihat air yang menempel di jarinya setelah dia menariknya kembali.” (Diriwayatkan Muslim, At-Tirmidzi, Ibnu Majah)

Peringatan tentang hakikat dunia juga disebutkan oleh Abul-Ala’, dia berkata:

“Aku pernah bermimpi melihat seorang wanita tua yang badannya dilengkapi dengan pelbagai perhiasan. Sementara orang-orang berkerumun di sekelilingnya dalam keadaan terpesona, memandang ke arahnya, Aku bertanya, “Siapa engkau ini?” Wanita tua itu menjawab, “Apakah engkau tidak mengenalku?” “Tidak,” jawabku “Aku adalah dunia,” jawabnya. “Aku berlindung kepada Allah dari kejahatanmu,” kataku. Dia berkata, “Kalau memang engkau ingin terlindung dari kejahatanku, maka bencilah dirham (wang).”

Sesungguhnya Allah telah menjadikan bumi ini sebagai tempat tinggal bagi kita selaku hamba Allah. Dan apa yang ada diatas bumi ini seperti pakaian, makanan, minuman, pernikahan dan lain-lain merupakan santapan bagi kenderaan badan kita yang sedang berjalan menujuAllah. Barangiapa di antara manusia yang memanfaatkan semua itu menurut kemaslahatannya dan sesuai dengan yang diperintahkan Allah maka itu adalah perbuatan yang terpuji. Dan barangsiapa yang memanfaatkannya melebihi apa yang dia perlukan kerana tuntutan kerakusan dan ketamakan maka dia pantas untuk dicela.

Wahai hamba Allah, setelah kita mengetahui hakikat dunia dan bagaimana seharusnya kita bersikap dengan dunia ini, adakah kita tetap akan mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya dan kita jadikan harta tersebut sebagai tujuan hidup kita???

Suri tauladan kita Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam telah mengajarkan kepada kita bagaimana kita harus bersikap terhadap harta, iaitu menyikapi harta dengan sikap qana’ah (kepuasan dan kerelaan). Sikap qana’ah ini seharusnya dimiliki oleh orang yang kaya mahupuan orang yang miskin, adapun wujud qana’ah iaitu merasa cukup dengan pemberian Allah, tidak tamak terhadap apa yang dimiliki manusia, tidak iri hati melihat apa yang ada di tangan orang lain dan tidak rakus mencari harta benda dengan menghalalkan semua cara, sehingga dengan semua itu akan melahirkan rasa puas dengan apa yang sekadar keperluannya. Tentang sikap qana’ah, Ibnu Qudamah dalam Minhajul Qashidin menyampaikan hadits dalam Shahih Muslim dan yang lainnya, dari Amr bin Al-Ash Radhiyallahu ‘Anhu, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:

قَدْ أفْلَحَ مَنْ أسْلَمَ وَرُزِقُ كَفَا فًا، وَ قَنَّعَهُ اللهُ بِمَا آتَاهُ

“Beruntunglah orang yang mempasrahkan diri, dilimpahi rezeki yang sekadar mencukupi dan diberi kepuasan oleh Allah terhadap apa yang diberikan kepadanya.” (Diriwayatkan Muslim, At-Tirmidzi, Ahmad dan Al-Baghawy)



Ketahuilah wahai saudariku sesungguhnya di dalam qana’ah itu ada kemuliaan dan ketenteraman hati kerana sudah merasa mencukupi, ada kesabaran dalam menghadapi hal-hal yang syubhah, yang semua itu akan mendatangkan pahala di akhirat. Dan sesungguhnya dalam kerakusan dan ketamakan itu ada kehinaan dan kesusahan kerana dia tidak pernah merasa puas dan cukup terhadap pemberian Allah.

Perbuatan qana’ah yang dapat kita lakukan misalnya puas terhadap makanan yang ada, meskipun sedikit laku pauknya, dan cukup dengan beberapa lembar pakaian untuk menutup aurat kita. Maka hendaklah dalam masalah keduniaan kita melihat orang yang di bawah kita, dan dalam masalah kehidupan akhirat kita melihat orang yang di atas kita. Hal ini sebagaimana telah ditegaskan Rasulullah dalam hadits yang ertinya:

“Lihatlah orang yang dibawah kalian dan janganlah melihat orang di atas kalian, kerana yang demikian itu lebih layak bagi kalian untuk tidak memandang hina nikmat Allah yang dilimpahkan kepada kalian.” (Diriwayatkan Muslim dan At-Tirmidzy)

Sikap qana’ah ini hendaklah kita lakukan dalam setiap kondisi, baik ketika kita kehilangan harta maupun ketika mendapatkan harta. Barangsiapa yang mendapatkan harta maka haruslah diikuti dengan sikap murah hati, dermawan, menafkahkan kepada orang lain dan berbuat kebajikan. Marilah kita tengok kedermawanan dan kemurahan hati Rasulullah:

Telah diriwayatkan dalam hadits shahih dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam, bahwa beliau adalah orang yang lebih cepat untuk berbuat baik daripada angin yang berhembus. Selagi beliau diminta sesuatu, maka sekali pun tidak pernah beliau menjawab. “Tidak” Suatu ketika ada seseorang meminta kepada beliau. Maka beliau memberinya sekumpulan domba yang digembala di antara dua bukit. Lalu orang itu menemui kaumnya dan berkata kepada mereka: “Wahai semua kaumku, masuklah Islam! Karena Muhammad memberikan hadiah tanpa merasa takut miskin.”

Subhanallah sungguh indah pahala yang Allah janjikan terhadap hambaNya yang memiliki sikap qana’ah, marilah kita senantiasa memohon kepada Allah agar kita di anugrahi sikap qana’ah dan dijauhkan dari sikap kikir dan bakhil.

اَللَّهُمَّ إنِّي أعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَ الْحَزَنِ،وَ الْعَجْزِ وَ الْكَسَلِ،وَالْبُخْلِ وَ الْجُبْنِ،وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَ غَلبَةِالرِّجَالِ

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari (bahaya) rasa gundah gulana dan kesedihan, (rasa) lemah dan malas, (rasa) bakhil dan penakut, lilitan hutang dan penguasaan orang lain.”

اللّهمّ قنّعني بما رزقتني و با رك لي فيه ، و ا خلف على كلّ غا ئبة لي بخير

“Ya Allah, jadikanlah aku merasa qona’ah (merasa cukup, puas, rela) terhadap apa yang telah engkau rezekikan kepadaku, dan berikanlah berkat kepadaku di dalamnya, dan jadikanlah bagiku semua yang hilang dariku dengan lebih baik.”


BARAKALLAHUFEEKUM...

Monday, November 2, 2009

SUKFAZ MEMBUKA GELANGGANG


Kejohanan Sukan Huffaz 2009 (SUKFAZ 09) yang sepatutnya berlangsung pada hari ini diawalkan pembukaan tarikhnya sehari iaitu pada 01 November 2009 atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Namun begitu, kejohanan tersebut tetap berjalan dengan lancer dan mendapat sokongan yang baik dari kalangan pelajar Darul Quran JAKIM. Sesi senaman pagi bermula pada pukul 8.30 pagi. Seterusnya, acara sukaneka menjadi acara pembuka pada kali ini. Antara aktiviti tersebut adalah tarik tali, lari dalam kain pelikat, isi air dalam botol, timang bola takraw berpasukan, makan buah epal dan banyak lagi.

Kemudian, pertandingan lumba kayak diadakan pada pukul 2.30 disebelah petang. Pertandinagn tersebut tamat sebelum waktu asar. Walaupun para peserta terpaksa berlumba kayak dalam suasana berhujan, namun keadaan tersebut tidak mematahkan semngat mereka untuk merebut gelaran juara. Semakin lebat hujan yang turun ke bumi, semakin laju kayuhan mereka.

Moga SUKFAZ pada kali ini Berjaya merealisasikan huffaz yang cemerlang bukan sahaja di bidang akademik, bahkan dalam bidang ko kurikulum juga.

Empowering Ukhuwwah, Achieving Unity