PEMIMPIN??? Ramai yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin. Pemimipin korporat, pemimipin agama, pemimpin badan sukan, pemimpin persatuan dan sebagainya. Malah jawatan pemimpin yang menjadi rebutan tidak tertumpu hanya pada yang tertinggi, sebaliknya mengambil peluang apa juga bentuk kepimpinan dalam sesebuah kumpulan atau organisasi itu.
Mengapa jawatan pemimpin begitu menjadi rebutan ??!
Lazimnya manusia akan mengejar kuasa, kedudukan, pangkat dan pengaruh. Semua itu boleh diperoleh apabila seseorang itu menjadi pemimpin. Persoalan sekarang, siapa sebenarnya pemimipin? Adakah pemimpin terikat dengan sebarang pangkat? Bolehkah seseorang itu menjadi pemimpin tanpa jawatan yang diangkat secara rasmi?
Umumnya pemimpin ialah orang yang berpengaruh dalam masyarakat. Tahap kejayaan kepimpinan seseorang itu diukur dari segi pengaruhnya. Lebih tinggi kepimpinan seseorang itu, lebih besar pengaruhnya. Apabila lebih besar pengaruhnya, maka lebih ramai pula pengikutnya. Namun kian ramai pemimpin masa kini sanggup buat apa sahaja untuk meraih pengaruh besar demi mendapatkan pangkat yang paling tinggi. Tidak salah sekiranya pemimpin itu mencari pengaruhnya tersendiri jikalau dengan pengaruhnya itu, dia dapat memberi kebaikan pada orang di sekelilingnya.
Tetapi realitinya ramai yang duduk dalam saf kepimpinan dengan begitu selesa tetapi amat sedikit untuk memberi apa-apa kebaikan kepada manusia di sekelilingnya. Agak malang juga bagi seorang pemimipin jika kewujudannya hanya sekadar berusaha untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang diinginkan sahaja sedangkan manusia yang berada di bawah kepimpinannya tidak beroleh apa-apa perubahan dari segi akhlak atau budi pekerti. Jiwa mereka tidak dipimpin ke arah kebaikan, iman mereka tidak didorong ke arah yang mantap.
Sebenarnya semua orang seharusnya menjadi pemimpin dan mereka berperanan dalam kepimpinannya. Daripada Ibnu Umar r.a. meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa, “ Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kamu pimpim.” Berdasarkan hadis di atas, Islam melihat tugas kepimpinan adalah satu amanah daripada Allah yang dipertanggungjawabkan kepada semua manusia.
Ada pepatah mengatakan sekumpulan kambing yang dipimpin oleh seekor singa lebih ditakuti daripada sekumpulan singa yang dipimpin oleh seekor kambing. Pepatah ini ada kebenarannya tetapi alangkah hebatnya jika sekumpulan singa dipimpin oleh seekor singa juga.
Ingatlah, tidak ada yang boleh menyekat sebuah organisasi untuk maju ke depan jika setiap orang dalam organisasi itu bertindak sebagai pemimpin yang mempunyai daya usaha dan keazaman yang tinggi untuk menjadikan dunia di sekelilingnya lebih baik melalui peranan masing-masing.
p/s : buatlah pilihan yang terbaik dalam memilih pemimpin...
0 comments:
Post a Comment