Wednesday, July 22, 2009

TIDUR UNTUK REHAT ATAU SEBALIKNYA..???



Melewati lorong-lorong menuju ke masjid. Pagi yang penuh sunyi. Tidak pasti sama ada sudah terjaga semua pejuang Islam dan ahlul Quran di sekitar itu. Mungkin mereka telah tiba di masjid seawal dinihari iaitu sebelum azan subuh yang baru berkumandang beberapa minit yang lalu.
Tetapi, bagaimana pula dengan mereka yang tidak berjaya membangun dan menggagahkan diri untuk berjemaah di masjid. Walhal, hari-hari siangnya, dipenuhi dengan gerak kerja Islam atau amal ibadah yang lain. Sering jua ditemui di masjid untuk solat-solat fardhu yang lain, tetapi hilang di waktu subuh.
Teringat pada sebuah mesej yang dihantar oleh seorang rakan untuk mengajak bangun menghidupkan malam.

“jika kesukaran yang kita rasai untuk berqiamullail, maka pasti ada kesilapan yang telah kita lakukan dan membuatkan kita terhijab untuk berqiamullail. Sama-samalah bermuhasabah diri,”

Ringkas, tapi cukup mengajak kita untuk berfikir dan merenung diri.
Sejauh mana keikhlasan kita dalam berjuang memelihara kalimah-kalimah Allah dan agamaNya??
Atau sekadar untuk melangsaikan tanggungjawab yang terpikul sebagai seorang muslim dan pelajar di ma’ahad tahfiz?

Sekadar peringatan untuk memperbaiki diri menjadi “the best Abdullah” di sisi Allah,
Ali Bin Abu Talib berkata, “ aku dan nafsuku perumpamaanya tidak jauh berbeza seperti aku mengembala ternakanku. Apabila mereka aku iring dari satu sisi, mereka menyebar dari sisi yang lain. Barangsiapa mematikan nafsunya bererti telah terbungkus dalam kafan rahmat dan ditanam di tanah karamah (tempat yang penuh kemuliaan) . Barangsiapa mematikan hatinya, maka terbungkus dalam kafan laknat. Ia ditanam di bumi yang penuh seksaan.”

Yahya bin Muadz ar-Razi pernah berkata, “ Perangilah nafsumu dengan menjalani ketaatan dan olah jiwa (riyadhah). Olah jiwa atau riyadhah adalah pemutus mimpi, sedikit bicara, menanggung derita yang ditimbulkan oleh orang lain dan mengurangkan makan. Memutus mimpi menghasilkan kejernihan iradah atau kehendak. Bicara sedikit membuahkan keselamatan daripada bencana. Orang yang sanggup menanggung derita akibat perbuatan orang lain, akan mencapai puncak tingkatan. Sedikit makan akan mematikan syahwat kerana banyak makan akan mengeraskan hati dan melenyapkan sinar hati. Cahaya hikmah adalah al-juu’ atau tahan lapar. Terlalu kenyang menyebabkan jarak jauh daripada Allah Subhanahu Wa Taala.”

Kata-kata yang perlu dihayati dan diamalkan bersama. Moga kita tidak termasuk di dalam golongan orang-orang yang rugi di sisi Allah.
Wallahu a’lam…



0 comments: