Thursday, July 16, 2009

PROGRAM BAKTI HUFFAZ 09







Baru-baru ini pada 4 hingga 9 Julai 2009 bersamaan 11 hingga 16 Rejab 1430, para pelajar Darul Quran JAKIM sekali lagi di bawah naungan Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran JAKIM ( PERKEMAT DQ ) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar ( HEP ) Darul Quran menganjurkan satu program yang dinamakan Program Bakti Huffaz 2009. Pada sesi yang kali ini, pihak PERKEMAT DQ memilih destinasi semenanjung barat, negeri Jelapang Padi, Kedah Darul Aman bertempat di Taman Permatang Katong, Kampung Kuala Muda, Kota Kuala Muda. Selari dengan cetusan tema ‘ Sepasir Budi Segunung Kasih, Setitis Diberi Selaut Dikenang ‘ program keluarga angkat ini berpaksikan objektif ingin memperluaskan dakwah Islamiyah kepada masyarakat global disamping mengaplikasikan konsep amar ma’ruf dan nahi mungkar dalam konteks kemasyarakatan.

Hasil pimpinan dan bimbingan saudara Ahmad Qutaibah Bin Mohamed selaku Pengarah Program Bakti Huffaz 2009 yang juga merupakan Yang Di Pertua PERKEMAT DQ sesi 2008/2009 dengan kekuatan anggota seramai 68 orang peserta yang juga para pelajar Darul Quran JAKIM diiringi bersama oleh 4 orang guru pengiring yang terdiri daripada para pegawai Darul Quran JAKIM akhirnya berjaya meninggalkan sejuta satu makna pada masyarakat nelayan dan bumi pasca Tsunami 2004 tersebut. Program Bakti Huffaz 2009 membuka tirai pada hari sabtu, 4 Julai 2009 jam 3 petang dalam satu majlis Perasmian Pembukaan yang disempurnakan buat julung-julung kalinya oleh Puan Zawanah binti Muhamad selaku Timbalan Pengarah Akademik Darul Quran bertempat di Dewan Komuniti Tunku Puteri Intan Safinaz, Taman Permatang Katong. Berkat usaha Ketua Komuniti Taman permatang Katong, Encik Yusoof Bin Awang, para peserta dibahagi dan diserahkan kepada 19 buah keluarga angkat yang terpilih untuk menjayakan usaha murni ini. Turut hadir sama iaitu Tuan Imam Masjid Kampung Kuala Muda, Haji Mansor Bin Haji Hashim.

Di bawah program Bakti Huffaz 2009 ini, pihak PERKEMAT DQ telah menyusun pelbagai aktiviti yang sejajar dengan objektif yang telah dirangka. Pada 5 Julai 2009, para peserta berkesempatan melawat lokasi-lokasi utama di sekitar Kampung Kuala Muda seperti kawasan perkampungan nelayan, lokasi pasca tragedi Tsunami 2004, galeri Tsunami dan Pasar Bisik. Pada malam tersebut, bertempat di Dewan Komuniti Tunku Puteri Intan Safinaz Taman Permatang Katong, satu majlis malam kesenian telah diadakan yang mana menyaksikan variasi persembahan yang bermanfaat dan berguna kepada penduduk di situ, seperti bacaan Al-Quran bertarannum, pendeklamasian syair, sajak dan gurindam, pentomen, alunan burdah, persembahan nasyid dan sebagainya. Pada hari berikutnya, para peserta program Bakti Huffaz 2009 menyinari hati-hati 234 kanak-kanak pelajar Sekolah kebangsaan Seri Kuala di dalam satu usaha melalui program Tahsin Solat dan Motivasi yang bertempat di sekolah tersebut. Pada malam 6 Julai itu, program diteruskan dengan satu majlis tayangan perdana yang mempersembahkan tayangan seperti tayangan pengenalan Darul Quran JAKIM dan PERKEMAT DQ, tayangan tragedi bencana Tsunami 2004, tayangan untuk kanak-kanak, tayangan muhasabah dan sebagainya.

Pada hari selasa 7 Julai yang berikutnya, para peserta berpeluang melawat ke lokasi bersejarah iaitu tembok lama Kota Kedah Tua dan pintu gerbang Kota Kuala Muda yang terletak di Pekan Kuala Muda. Buat pertama kalinya pada hari tersebut para peserta berkesempatan melawat Kilang Cola Radix, HPA FOOD and BEVERAGES SDN. BHD. yang bertempat di Sungai Petani. Di sana, para peserta diberi penerangan dan taklimat oleh Pegawai Pembangunan Radix Cola, Encik Mohamad Fakhzan Mohamad Akib. Para peserta juga berkesempatan melawat ke HPA Industries Sdn. Bhd. Cawangan Sungai Petani dan berjumpa dengan Cik Rus Zaiton Bt Zakaria selaku Pengurus Pentadbiran di cawangan tersebut. Pada hari yang sama, para peserta berpeluang menikmati keenakan makanan halal di Radix Fried Chicken ( RFC ) cawangan Sungai Petani. Pada petang tersebut, pihak penganjur Bakti Huffaz 2009 telah mengadakan aktiviti sukaneka yang menampilkan pelbagai acara menarik untuk penyertaan para penduduk Taman Permatang Katong dari segenap lapisan. ‘ Berat sama dipikul, ringan sama diinjing ’, berkat gabungan partisipasi yang jitu daripada para peserta dan penduduk Permatang Katong, majlis jamuan ramah mesra telah diadakan pada malamnya dan berlangsung dengan cukup meriah.

Pada pagi rabu, 8 Julai 2009, para penduduk komuniti bersama-sama para peserta program Bakti Huffaz 2009 berpadu menggembleng tenaga menjalankan aktiviti gotong royong membersihkan halaman sekitar Taman Permatang Katong. Pada petang itu, selepas waktu asar, bertempat di surau komuniti Taman Permatang Katong telah diadakan satu majlis khatam tadarus Al-Quran berkat aktiviti tadarus Al-Quran oleh para peserta sepanjang keberadaan di bumi tersebut. Usaha bersepadu akhirnya membuah, pada malamnya bertempat di Masjid Jamek Kampung Kuala Muda telah diadakan satu forum perdana yang cukup meriah dan mendapat sambutan yang cukup baik daripada penduduk di sekitarnya. Majlis forum yang bertemakan “ Rumahku Syurgaku ” itu dipengerusikan oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Mohd Sya’bani Bin Haji Awang selaku Penolong Pengarah Alumni Dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar ( HEP ). Forum tersebut menampilkan dua tokoh panel yang cukup hebat dan tidak asing lagi kepada masyarakat negeri Kedah Darul Aman iaitu Ustaz Hj. Mohd Isa B. Hj. Abd. Rahman selaku Penolong Pegawai Penyelidikan Jabatan Mufti Negeri Kedah dan juga Ustaz Muhammad Azki Hafizi Bin Ibrahim selaku Pengarah Perhubungan Awam Kolej Universiti Insaniah.

Setelah enam hari berkampung di Taman Permatang Katong, ditatang bagai minyak yang penuh oleh keluarga angkat, Program Bakti Huffaz 2009 berakhir pada tarikh 9 Julai 2009 di dalam satu majlis perasmian penutupan yang disempurnakan oleh Tuan Haji Ahmad Ghazali selaku Ketua Kafa Daerah Kuala Muda. Secara dasarnya, Program Bakti Huffaz 2009 ini diisi dengan beberapa aktiviti wajib dan berkala seperti solat fardhu secara berjamaah, kuliah subuh, kuliah maghrib, Qiamullail, tadarus Al-Quran dan aktiviti bersama keluarga angkat. “Sepasir Budi Segunung Kasih, Setitis Diberi Selaut Dikenang ”. Mudah-mudahan jihad yang sedikit ini menjadi realiti buat para huffaz Darul Quran dan penduduk komuniti Taman Permatang Katong, Kampung Kuala Muda dan masyarakat sekitarnya. Dalam usaha mengaplikasikan dan menterjemahkan Al-Quran itu sendiri ke dalam konteks kemasyarakatan, harapan yang menggunung agar usaha ini mampu menjana kembali keizzahan Islam di mata masyarakat sebagai sistem hidup yang paling tinggi secara tidak langsung merealisasikan konsep sebenar Negara Islam yang diumpamakan oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Quran sebagai ‘ Negara yang aman dan sejahtera, yang sentiasa mendapat keampunan Allah S.W.T ’.

0 comments: