Thursday, August 12, 2010

Majlis Konvokesyen Semester ILHAM & IQRAC

Pagi Sabtu yang tenang dengan keceriaan gerai-gerai yang berwarna warni menghiasi bumi barakah Darul Quran pastinya menggamit perasaan gembira sesiapa sahaja pada hari itu.Tarikh keramat 31 Julai 2010 bersamaan 19 Sya’ban 1431H melakar sejarah apabila Darul Quran sekali lagi berjaya menjayakan majlis konvokesyen untuk kali yang ke-19 bagi pelajar-pelajar diploma sesi 2007/2010, Persijilan Tahfiz Al-Quran DQ-UIAM sesi 2009/2010 dan bagi pelajar-pelajar yang mengambil Sijil Tinggi Tarannum Al-Quran.
Keceriaan pada pagi itu diserikan lagi dengan wajah-wajah ceria para graduan yang memenuhi kawasan sekitar Dewan Muktamar bersama keluarga tercinta masing-masing.

Tetamu-tetamu yang telah hadir seawal jam 7.00 pagi dibenarkan memenuhi Dewan Muktamar sementara menunggu perarakan masuk para graduan. Dengan mengenakan pakaian yang dikhususkan sempena majlis konvokesyen ini , para graduan diarak untuk memasuki Dewan Muktamar Darul Quran tepat jam 9.00 pagi.Ketibaan tetamu-tetamu kehormat sempena konvokesyen Darul Quran kali ini disambut dengan meriah. Y.B Senator Dato’ Dr Mashitah Binti Ibrahim yang hadir ke majlis ini dengan diiringi oleh Ahli lembaga Darul Quran memasuki Dewan muktamar tepat jam 9.30 pagi.

Kemeriahan gerai-gerai diluar dewan amat dirasai. Begitu juga keadaanya di dalam Dewan Muktamar yang sedang rancak berlangsungnya pengisytiharan pembukaan konvokesyen diikuti bacaan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim oleh salah seoran pelajar sijil tinggi tarannum. Majlis juga turut dimeriahkan dengan ucapan oleh Y.Bhg Dato’Haji Wan Mohamad Bin Dato’sheikh Abdul Aziz merangkap ketua pengarah JAKIM. Ucapan khas daripada Timbalan menteri Di Jabatan Perdana Menteri . Y.B Dato’ Dr mashitah Ibrahim mengakhiri majlis ucapan perasmian sebelum acara yang paling dinanti-nantikan oleh setiap graduan pada kali ini berlangsung. Hati mula berdebar-debar saat menantikan pengumuman penganugerahan Diploma Tahfiz Al-Quran, Sijil Tahfiz Al-Quran dan Sijil Tinggi Tarannum. Seramai 325 graduan Diploma Tahfiz Al-Quran layak menerima anugerahmanakala seramai 117 graduan persijilan tahfiz al-quran dq-uiam berjaya memperoleh anugerah masing-masing. Anugerah Sijil Tinggi Tarannum pula telah memperlihatkan seramai 29 peserta yang telah berjaya meraih anugerah di atas usaha dan komitmen yang telah diberikan sepanjang pengajian mereka.Satu perkara yang pastinya mencuri perhatian semua graduan ialah saat diisytiharkan barisan penerima anugerah sempena majlis konvokesyen kali ini. Sebanyak 2 anugerah khas yang telah disediakan di peringkat JAKIM dan Lembaga Darul Quran iaitu Anugerah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Anugerah Pengerusi Lembaga Darul Quran. Saudara Mohd Abdillah Bin Samsuiman dan Saudari Izzah Qudsiah Binti Mohd Ghazali telah dipiih untuk menerima anugerah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri di atas kecemerlangan akademik di samping penglibatan mereka dalam persatuan. Saudara Abdillahmerupakan pengerusi semester ILHAM dan pernah menjadi wakil untuk pertandingan hafazan al-quran 30 juzuk manakala Saudari Izzah Qudsiah Mohd Ghazali yang meminati khat pernah mewakili Darul Quran dalam pertandingan khat dan menyandang jawatan dalam PERKEMAT DQ sebagai Timbalan Exco Lajnah Penerbitan dan Informasi (LATERINFO ) bagi sesi 2008/2009. Jutaan syabas dan tahniah diucapkan kepada kedua-dua graduan ini. Anugerah yang menjadi idaman setiap pelajar Persijilan Tahfiz dan Sijil Tarannum akhirnya terjawab apabila saudara Mohd Hamdi Bin Razali yang merupakan timbalan pengerusi 1 IQRAC SESi 2009/2010 diumumkan sebagai penerima anugerah manakala untuk di pihak muslimat berjaya disandang oleh saudari Nur Dalela Binti Mohd Azlan yang juga turut memegang jawatan dalam IQRAC sebagai Timbalan Biro Penerbitan Dan Informasi sem.Tahniah adik-adikku,moga kejayaan sentiasa mengiringi kalian dunia dan akhirat. Anugerah kehormat pengerusi lembaga Darul Quran bagi kursus sijil tinggi tarannum telah disepakati untuk memilih Ustaz Abdul Latif bin Mohd Ali sebagai penerima anugerah tersebut.
36 orang graduan terbaik yang meliputi 20 banin dan 16 banat telah dipiijh untuk menerima anugerah kecemerlangan akademik termasuk 4 orang exco PERKEMAT yang terdiri dari 3 orang Majlis Tertinggi PERKEMAT dan Exco Didik. Anugerah kecemerlangan akademik program Persijilan Tahfiz pula disandang oleh 17 orang graduan yang menampilkan kecemerlangan sepanjang setahun setengah tempoh pengajian mereka.
Persediaan yang telah dirancang sejak sebulan sebelum berlangsungnya konvokesyen ini telah berjalan dengan jayanya hasil kerjasama dari semua pihak termasuklah kakitangan-kakitangan Darul Quran serta kerjasama yang padu dari semua pelajar-pelajar Darul Quran. Moga segala usaha,tenaga dan masa yang dicurahkan sepanjang berlangsungnya majlis ini diberikan ganjaran yang setimpal oleh Allah. Majlis ditangguhkan dengan bacaan doa agar majlis ini diberkati dan para graduan mula meninggalkan dewandengan penuh rasa kelegaan tepat jam 12.45 tengah hari. Konvokesyen bersejarah ini pastinya meninggalkan kenangan yang manis dalan hati masing-masing.
Salam Juang Buat Semua Adik-Adik, Kakak-Kakak Dan Abang-Abang Kami Sekalian..
Kami Mendoakan Moga-Moga Allah Mempermudahkan Segala Urusan Kalian Dan Diberi Kefahaman Dalam Beragama Serta Mampu Untuk Turun Ke Lapangan Umat Dalam Membentuk Da’ie Tarbiah Dan Tentera Akidah..
SALAM ISTIQAMAH DARI KAMI..

0 comments: