Monday, December 5, 2011

KALAM YDP 11/12 : KHAS UNTUK SEMUA



Segala pujian dikembalikan pada yang empunya pujian Allah ‘Azza Wajalla,pemilik sekalian alam ini,kepadaNya kita meminta dan memohon pertolongan, dan kepadaNya jualah kita akan kembali.Syukur dipanjatkan kerana kita masih berada dalam ruang lingkup manusia yang memperoleh ni’mat islam dan iman,bersyukurlah atas kurniaanNya ini mudah-mudahan kita akan sentiasa wujudkan dalam diri ini perasaan muraqabah dalam kehidupan kita.Selawat dan salam buat junjungan besar kita,baginda Nabi Muhammad S.A.W kerana atas usaha dan kesungguhan baginda bersama para sahabat,akhirnya Islam berjaya tersebar ke seluruh pelusuk dunia.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah ,
Rasanya masih belum terlewat untuk saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua mahasiswa/i yang memberi kerjasama dan meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada kami dalam menerajui tampuk kepimpinan PERKEMAT yang baru bagi sesi 2011/2012, kepada Penyelaras Pemilihan Calon yang bertungkus-lumus mengerah tenaga melaksanakan sesi pemilihan kepimpinan baru melalui wasilah pilihanraya kampus,juga kepada Mantan kepimpinan PERKEMAT sesi 2010/2011 yang sudah menyediakan asas kukuh dari segenap aspek untuk kelangsungan perjalanan kepimpinan yang baru,jutaan terima kasih kami ucapkan,dan yang terakhir kepada sahabat-sahabat perjuangan dalam barisan kepimpinan PERKEMAT yang baru sesi 2011/2012,tahniah dan takziah saya ucapkan.
Kepimpinan dan Tanggungjawab
Daripada Abu Zarr Radhiyallahu ‘anhu,katanya:
Aku berkata: “wahai Rasulullah,kenapa engkau tidak melantik aku untuk bekerja.” Lalu baginda meletakkan kedua tangannya ke atas kedua bahuku sambil berkata : “wahai Abu Zarr,sesungguhnya engkau lemah dan sesungguhnya ia satu amanah dan sesungguhnya ia di hari kiamat satu kehinaan dan penyesalan kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan secara haq dan menunaikan perkara yang diwajibkan ke atasnya di dalam amanah ini.” (riwayat Muslim)
Begitulah hakikat sebuah kepimpinan,tiada istilah mulia,tiada istilah mudah .Yang ada cuma ‘hizyun’ yakni peghinaan dan ‘annadamah’ yakni penyesalan dalam liku-liku kehidupan sebagai seorang yang bergelar pemimpin.Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan kehadiran taklifat ini kerana di penghujung sana kita akan dipersoalkan tentang amanah yang diberikan ini,adakah tertunai kepada yang berhak atau sebaliknya.Amanah yang diberikan ini tidaklah boleh dipandang enteng bahkan perlu disemadikan dalam pelusuk jiwa kita dan dibajai dengan benih-benih iman dan rasa keinsafan yang tinggi dalam upaya menghasilkan gerak kerja yang penuh kesungguhan dan rasa tanggungjawab.Namun,keyakinan memegang taklifat ini perlulah dipandu dengan keyakinan akan janji Allah terhadap mereka yang melaksanakannya dengan penuh ikhlas.
Kesedaran ini sepatutnya tidak wujud hanya dalam jiwa sang pemimpin,malahan perlu dalam kalangan ahli untuk merasakan jua bebanan ini.
Daripada Ibnu ‘Umar Radhiyallahu ‘anhu,katanya:
Aku mendengar Rasulullah berkata: “ Semua kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.” (muttafaq ‘alaih)
Semua ahli persatuan juga mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam memastikan kelangsungan perjalanan persatuan.Tanggungjawab sebagai HAMALATULQURAN dan peranan sebagai AHLI PERSATUAN.Kebajikan tidak akan terlaksana melainkan dengan kerjasama ahli,perubahan tidak akan berlaku melainkan dengan lontaran idea dan komentar ahli,kesatuan tidak akan dapat dibina melainkan dengan kesedaran ahli.Segala visi,misi dan matlamat sebuah persatuan tidak akan tercapai melainkan dengan usahasama pimpinan dan ahli.
Namun,segala bentuk pelaksanaannya perlulah disalurkan menggunakan wasilah yang betul dan tepat, dan dituruti dengan bantuan dan sokongan ahli.Kekuatan sebuah persatuan tidak terletak pada pimpinan semata-mata,tapi juga melihat akan kekuatan ahli.Sultan Muhammad Al-Fateh yang hebat, tidak akan berjaya menawan kota Konstatin melainkan dengan kekuatan yang ada pada tenteranya ,kekuatan jasmani dan rohani.Masakan kita tidak boleh turut sama buktikannya, jika ingin melihat persatuan berubah?
Hak,Amanah dan Sikap
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
Masalah yang berlaku,hak yang tidak tertunai,janji yang yang tidak terlaksana,kemudahan yang tidak mencukupi,semuanya menjadi objek utama yang sentiasa bermain dalam ruang fikiran mahasiswa/i Darul Quran saban tahun.Masing-masing bercakap soal hak ditindas,tegakkan keadilan dan runtuhkan kezaliman.Sejujurnyasetiap kenyataan adalah benar dan tiada istilah salah bagi komentar dan pendapat yang disuarakan kerana ia lahir dari jiwa yang benar-benar inginkan kesempurnaan dalam pandangannya.Mana ada manusia yang inginkan kecacatan,bahkan semua manusia inginkan kesempurnaan.Kesempurnaan dari sudut terlaksananya keadilan dan tertunainya hak.Tidak salah untuk menuntut hak jika benar ia ditindas,tidak salah untuk menegur jika benar terdapat khilafnya bahkan tidak salah memberontak jika jelas kongkongannya.
Firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nisa’ ayat 58, “sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada ahlinya”.
Dari Abi Ya’la Maqal bin Yasar radhiyallahu ‘anhu katanya:
Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: “tidak ada seorang pun dari hamba Allah yang diberikannya(amanah) mengawal rakyat kmudian ia meninggal dunia di mana di hari kematian itu ia menipu (mengkhianati) rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya syurga. (muttafaq ‘alaih).
Begitulah hakikatnya penegasan Islam dalam menunaikan hak kepada yang berhak.Tiada kata yang dapat diungkap bagi mereka yang mengkhianatinya melainkan kemurkaan Allah dan azab yang pedih menanti di hari perhitungan kelak.
Namun,bagaimana kah uslub terbaik dalam kita menuntut hak dalam konteks Darul Quran?Adakah dengan mengadakan demonstrasi secara besar-besaran atau membakar bangunan asrama?Gunakanlah akal yang waras yang kita miliki untuk memilih uslub terbaik.
Imam Al-Harith Al-Muhasibi mengingatkan:
“Ketahuilah setiap akal yang tidak disertai oleh 3 perkara ini maka ia adalah akal yang makkar(memesongkan).Iaitu 1.mengutamakan ta’at dari maksiat 2.mengutamakan sifat berilmu dari sifat jahil 3.mengutamakan akhirat dari dunia”.
Oleh yang demikian, akal yang sahih adalah akal yang utamakan ta’at,sifat berilmu dan akhirat yang jika dirangkumkan bertepatan dengan keperluan sikap berhemah dalam merungkaikan permasalahan ini.
Sikap yang bagaimana yang diperlukan dalam kita mendepani isu-isu sebegini di Darul Quran terutamanya pihak pentadbiran Darul Quran, Hal Ehwal Pelajar termasuklah pimpinan mahasiswa /i sendiri?Sikap sebagai seorang terpelajar atau sebaliknya?Semuanya memerlukan kefahaman yang jelas dan jitu supaya tidak keluar dari lunas-lunas agama bahkan sesuai dengan suasana dan konteks Darul Quran itu sendiri.
Saya ingin tekankan 3 perkara asas dalam kita berbicara soal tuntutan hak untuk difikirkan bersama.Pertama,gunakanlah wasilah yang tepat dalam menyalurkan cadangan,tuntutan dan mendapatkan penjelasan.Jangan disalurkan kepada individu yang tiada autoriti dalam bidang ini kerana tidak dapat memberi kesan langsung bahkan sia-sia dan merumitkan lagi keadaan.Kedua,cubalah dapatkan penjelasan sebaiknya daripada pihak yang terbabit,jangan semberono menyalahkan mana-mana pihak tanpa mendapat penjelasan yang sebenar akan sesuatu perkara.Cuba untuk fahami bagaimana orang lain berfikir,jangan mengharapkan orang lain sahaja yang perlu memahami kita dan cuba untuk bertasamuh dalam menerima sebarang penjelasan.Ketiga, jangan pandang mahasiswa/i sahaja yang mampu menuntut hak,malah lebih dari itu masyarakat sekeliling kita juga punyai hak untuk tuntut daripada kita.Peruntukan elaun yang kita dapat sumbernya tidak lain daripada mereka juga yang diamanahkan untuk HUFFAZULQURAN.Nah,sekarang masing-masing mempunyai amanah dan hak yang perlu diselesaikan.Kita boleh menuntut hak kita namun dalam masa yang sama jangan dilupakan hak orang lain yang perlu kita tunaikan juga.Jadi,fikir-fikirkanlah.
Gagasan Pembudayaan Ilmu
Firman Allah S.W.T. dalam Al-Quran ayat 9 surah Az-Zumar , “adakah sama antara orang yang mengetahui(berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui(tidak berilmu)?
Dari Safwan bin ‘Assal Al-Muradi Radiyallahu ‘anhu telah berkata:Aku menemui Rasulullah berada di dalam masjid di atas sehelai kain Baginda yang berwarna merah.Aku berkata: “Wahai Rasulullah aku dating hendak menuntut ilmu.” Jawab Rasulullah dengan segera: “selamat datang wahai penuntut ilmu.Penuntut ilmu dilindungi malaikat dengan sayap-sayapnya.Kemudian beriringan sesama mereka hingga sampai ke langit terbawah kerana cintakan penuntut ilmu itu.”
Islam adalah agama di mana dasar dan cabangnya ditegakkan di atas dasar ‘ilmu dan kefahaman.Islam menjadikan usaha menuntut ilmu sebagai kefardhuan dan wajib kepada setiap muslim/ah mencarinya.Dalam menongkah arus perdana ,kemantapan dalam bidang keilmuan perlu dipertingkatkan ke tahap maksima.Ini sebagai persediaan dalam menghadapi hari-hari mendatang yang penuh ranjaunya.Keadaan masyarakat sekeliling yang terperosok dalam lubang kejahilan dan kegelapan,memaksa diri kita untuk menjadi pembawa obor cahaya kepada mereka.Obor yang diisi nur keilmuan dalam menghapuskan segala anasir jahiliah ini.
Kata Muaz bin Jabal, “ilmu itu adalah batu-bata tanda kepada halal dan haram.Ianya sebagai menara rumah api menyuluh jalan kepada penghuni-penghuni syurga”.
Sebagai pembawa Kalam Tuhan,kita tidak seharusnya kaku dan berpeluk tubuh melihat keadaan masyarakat yang hanyut ini.Di bahu kita,tergalas bebanan untuk menyebarkan isi kandungan Al-Quran ini kepada mereka dalam kerangka melahirkan masyarakat yang punyai kefahaman dan kesedaran agama.Siapakah masyarakat yang hanyut?Mereka itulah yang saya namakan seperti Robot yang pandai berkata-kata tapi tidak mengetahui isi kandungan percakapannya.Hanya menunggu arahan untuk bertindak.Gelaran ‘masyarakat yang hanyut’ tidak hanya tertumpu kepada masyarakat di luar sana,tetapi juga kepada HUFFAZULQURAN yang masih lagi tidak punyai kesedaran agama dan amanah yang ditanggung.
Oleh yang demikian,mahasiswa/i Darul Quran perlu bangkit melakukan pengislahan diri.Pembangunan insan tidak akan tercapai melainkan dengan perubahan sikap sesebuah masyarakat.Sikap dahagakan ilmu,cintakan ilmu,tamakkan ilmu supaya tidak lahir mahasiswa/i Darul Quran yang dungu dan mundur terkebelakang.Kemantapan akliah menjadikan pertarungan Timur-Barat menjadi sama kuat.Serangan pemikiran(ghazwul fikr) yang direncanakan Barat ditangkis dengan kemantapan akliah umat Islam.Oleh itu,jadikanlah Gagasan Pembudayaan Ilmu ini sebagai tapak awal pengislahan diri .
Penutup
Akhir kalam,tingkatkanlah rasa tanggungjawab dalam diri.Peningkatan rasa tanggungjawab ialah dengan menganggap jatuh bangunnya Islam,nasib ummah adalah di tangan pencinta Islam yang sepatutnya bingkas berbuat,bergerak menyusun rancangan.Saya berharap dengan semangat pimpinan PERKEMAT yang baru,di samping lautan pengalaman yang ada pada pimpinan lepas, serta sokongan yang padu dari mahasiswa/I Darul Quran, kita akan bina menjadi bangunan kekuatan yang kukuh dalam bergerak menyusun rancangan untuk mencapai mencapai misi,visi dan objektif PERKEMAT bagi sesi 11/12.InsyaAllah.Salam perjuangan diucapkan!

0 comments: