Saturday, November 5, 2011

BAKTI HUFFAZ '11


Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ) dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar DQ telah menganjurkan suatu program mega yang saban tahun diadakan iaitu program Bakti Huffaz 2011 (BH’11) yang bertempat di Kampung Pantai Rombang, Melaka. Program yang berlangsung selama tujuh hari ini bermula pada 11 hingga 17 Oktober 2011 dan mensasarkan seramai 109 orang pelajar DQ iaitu 49 banin dan 60 banat. Program BH’11 yang bertemakan “Gelombang Bakti, gembleng Insani, Pasak Pertiwi” ini turut disertai oleh seorang guru pengiring iaitu Ustazah Suhaida binti Che Shamsuddin.

Program Bakti Huffaz pada kali ini menampilkan kolaborasi barisan pelaksana program yang terdiri daripada pimpinan PERKEMAT sendiri serta siswa dan siswi Semester 3 dan Semester 5. Jawatankuasa pelaksana program berganding bahu dan bertungkus-lumus melaksanakan gerak kerja yang diamanahkan dengan sebaiknya semata-mata untuk memastikan matlamat program ini tercapai dengan jayanya walaupun mehnah dan tribulasi mendatang. Perjalanan gerak kerja yang singkat sebelum cuti semester ditambah dengan musim peperiksaan yang sedang berlangsung benar-benar mencabar kemampuan fizikal dan mental kami. Namun, atas semangat yang berkobar-kobar demi melaksanakan program “anak angkat” ini kami mampu melakukannya dengan bantuan dan kerjasama pelbagai pihak.

Selasa, 11 Oktober 2011,

Perjalanan program dimulai dengan taklimat di bawah Maktabah DQ dan penyampaian amanat oleh YDP PERKEMAT, saudara Che Faizul Azhar bin Che Mat. Kemudian peserta bertolak ke tempat program dengan menaiki tiga buah bas.Ketiga-tiga buah bas tiba di Dewan Serbaguna Kampung Pantai Rombang setelah melalui perjalanan selama kira-kira empat jam.

Para peserta diberikan waktu solat Zohor dan Asar di Masjid Tanjung Kling berdekatan dewan sementara menunggu majlis perasmian yang diadakan pada jam 5 petang. Taklimat ringkas turut diadakan pada waktu berbaki. Sementara itu, para jawatankuasa penggerak program bertungkus- lumus menghias dan mempersiapkan dewan untuk acara perasmian.

Pada sebelah malam, pihak penganjur telah menjemput Pegawai Hal Ehwal JASA, Ust Khairuddin bin Abu bagi menyampaikan kuliah maghrib bertajuk “Islam Sebagai Cara Hidup” yang bertempat di Masjid Tanjung Kling. Seusai solat Isyak para peserta dan keluarga angkat masing-masing memenuhi dewan serbaguna untuk aktiviti suai kenal bersama keluarga angkat. Aktiviti berakhir menghampiri jam 11 malam.

Rabu,12 Oktober 2011.

Aktiviti hari kedua dimulakan dengan Solat Subuh berjemaah di Masjid Al-Hilal dikampung tersebut diikuti kuliah subuh bertajuk “Kebersihan Separuh Daripada Iman” yang disampaikan oleh Saudara Mohamad Zakiy bin Misbari, Timbalan Yang Dipertua PERKEMAT merangkap Pengarah Program Bakti Huffaz pada kali ini.

Seterusnya para peserta pulang ke rumah keluarga angkat untuk bersarapan pagi sebelum berkumpul semula di dewan serbaguna bagi aktiviti gotong-royong. Para peserta dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu gotong-royong dewan serbaguna, masjid, dan kawasan perkuburan. Aktiviti gotong-royong diakhiri dengan sedikit jamuan ringan pada waktu tengahari.

Usai solat asar, perlawanan persahabatan bersama penduduk kampung diadakan di tepi pantai bagi muslimin dan gelanggang futsal bagi muslimat. Aktiviti yang diadakan bagi muslimin ialah bola pantai dan tarik tali, manakala aktiviti bagi bagi muslimat ialah permainan “Bola Beracun”, “Tugu Kasut” dan perlawanan bola jaring. Perlawanan persahabatan tersebut diakhiri dengan acara penyampaian hadiah.

Pada sebelah malam, program diteruskan dengan Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk “Melentur Buluh Biarlah Daripada Rebungnya” yang diadakan di Dewan Serbaguna. Pihak penganjur telah menjemput panel khas iaitu Imam Muda Asyraf dan Imam Muda Hizbur, bersama Yang Dipertua PERKEMAT Saudara Che Faizul Azhar bin Che Mat. Forum ini telah diacarakan oleh saudara Najmuddin Rabbani bin Mustapha. Para peserta, keluarga angkat, serta penduduk kampung memenuhi ruang di dalam dewan serta di luar dewan untuk mendengar forum yang disampaikan. Mujurnya ahli jawatankuasa penggerak program telah bersedia lebih awal dengan memasang layar tayangan forum di luar dewan. Forum berakhir menghampiri jam 12 malam. Taklimat ringkas kepada peserta diadakan berkenaan hari puasa dan program pada keesokan hari.

Khamis, 13 Oktober 2011.

Pada hari ketiga, program diteruskan lagi dengan kuliah Subuh yang disampaikan oleh mantan Pengarah ILIM Dato’ Haji Ahmad Mustafa Bin Karem. Beliau banyak menekankan peranan mahasiswa terutama dalam berbakti kepada masyarakat bukan sahaja secara zahirnya tetapi juga dalam bentuk spiritual seperti mengajar mengaji kepada masyarakat yang kurang mahir,mengadakan qiamullail perdana dan sebagainya.

Program Motivasi Kecemerlangan SMKA Syarifah Rodziah.

Pada jam 7.30 pagi para peserta berkumpul di dewan sebelum sekumpulan peserta yang terlibat sebagai fasilitator bertolak ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Syarifah Rodziah bagi mengadakan Program Motivasi Kecemerlangan kepada pelajar tingkatan 3. Disana, ceramah motivasi disampaikan oleh gandingan Saudara Najmuddin Rabbani bin Mustafa dan Saudara Che Faizul Azhar bin Che Mat, serta Saudari Nurhidayah binti Shaari. Para pelajar juga dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk aktiviti bersama fasilitator, Perasmian penutup program motivasi ini disempurnakan oleh Pn. Zaitun binti Ismail, Guru Kanan Matapelajaran Teknik dan Vokasional sekolah. Sebelum pulang, pihak penganjur menghadiahkan sebiji kek buat para peserta di sana.

Sementara itu, peserta yang berada di Kampung Pantai Rombang pula terlibat menjaga booth tahsin al-Quran dan Let’s Explore Quran. Walau bagaimanapun, sambutan untuk aktiviti ini kurang memberangsangkan. Selain itu, peserta banat dibahagikan kepada 6 kumpulan untuk Konvoi Tahsin al-Quran yang bergerak dari rumah ke rumah. Aktiviti berakhir pada jam 12 tengahari.

Para ahli jawatankuasa bersama peserta dan keluarga angkat bertungkus-lumus menjayakan aktiviti memasak bubur lambuk yang bermula seawal jam 3 petang di luar dewan. Untuk ifthor perdana, peserta, ahli jawatankuasa dan keluarga angkat berbuka dengan buah kurma dan air mineral di masjid diikuti dengan solat Maghrib berjemaah. Usai Maghrib, kami bergerak ke dewan untuk menjamu hidangan berbuka puasa beramai-ramai. Majlis bacaan tahlil diadakan selepas solat Isyak, diikuti sedikit taklimat ringkas kepada peserta. Selepas itu, para peserta diberikan masa terluang untuk dihabiskan bersama keluarga angkat masing-masing sepanjang malam.

Jumaat, 14 Oktober 2011

Hari ke empat program bermula seperti hari-hari sebelumnya iaitu solat subuh serta kuliah subuh. Pada jam 8.00 pagi,para peserta berkumpul di Dataran Dewan Serbaguna Kg. Pantai Rombang bagi meneruskan agenda program iaitu lawatan ke Kompleks Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara. Sekitar jam 9.00 pagi,para peserta sampai dan disambut meriah oleh pegawai-pegawai disana. Para peserta di terangkan berkenaan sejarah dan cara mencerap di kompleks tersebut. Kami juga disajikan tayangan berkenaan ilmu falak di Planetrium Mini yang terdapat di kompleks terbabit. Sekitar jam 11.00 pagi, para peserta banin pulang terlebih dahulu. Peserta banat agak kelewatan dek kerana kelewatan bas.

Peserta banin menunaikan sembahyang jumaat di Masjid Al-Hilal, Kampung Pantai Rombang. Pada jam 2.00 petang, para peserta diminta berkumpul semula di dewan serbaguna bagi menikmati jamuan tengah hari. Selepas makan,para peserta bertolak ke Melaka Tropical Fruit Farm yang terletak di Sugai Udang. Setelah lebih kurang setengah jam perjalanan, para peserta disambut baik penjaga tempat tersebut yang lebih senang dikenali sebagai “Abang Din”. Kami dibawa menaiki dua buah trak yang siap diubah suai khusus untuk pengunjung ladang terbabit bagi menikmati pemandangan secara menyeluruh taman tersebut. Kami melewati tanaman herba seperti tongkat ali,mas cotek,pokok kayu manis, dan sebagainya. Haiwan seperti unta, burung unta, rusa, beruk serta beberapa jenis ikan seperti ikan toman dan sebagainya turut diternak disini. Sebaik masuk waktu asar, kami menghabiskan lawatan dan solat berjemaah di surau yang disediakan sebelum bertolak pulang ke rumah masing-masing.

Pada sebelah malam, para peserta solat maghrib dan isya’ berjemaah seperti biasa di masjid. Tayangan perdana yang dijadualkan pada malam tersebut ditunda pada malam terakhir iaitu Ahad malam kerana pihak koordinator merasakan kesempitan masa dikalangan peserta bersama keluarga angkat.

Sabtu, 15 Oktober 2011

Pagi sabtu yang cerah ditambah lagi dengan gemersik Al-Quran oleh salah seorang peserta diikuti dengan sedikit peringatan ringkas dari saudara Ahmad Naemmuddin Bin Adnan, Bendahari Kehormat PERKEMAT yang membwa sedikit perkongsian berkenaan “Kesihatan”. Tajuk yang bersesuaian ini memberikan sedikit gambaran ringkas kepada penduduk kampong dan para peserta berkenaan kesihatan yang ditekankan oleh agama wahyu ini.

Program Bersama Anak Yatim Sultan Abd Aziz Shah Al-Haj

Program diteruskan lagi dengan mengadakan motivasi di Rumah Anak Yatim Sultan Abd Aziz Shah Al-Haj pada pagi tersebut. Fasilitator yang terlibat ialah 10 orang peserta banin dan 10 orang peserta banat, dengan dikendalikan oleh 2 orang ketua fasilitator yang cukup mahir iaitu saudara Najmuddin Rabbani bin Mustafa dan Khairul Ikhwan bin Rozali. Peserta program ini merupakan anak-anak yatim disana, iaitu 41 orang muslimin dan 25 orang muslimat sekitar umur 9 hingga 17 tahun. Peserta dibahagikan kepada 15 kumpulan dan diteruskan dengan beberapa aktiviti bermodul seperti “hati akidah”, tahsin Al-Quran, amali solat dan sebagainya. Modul-modul yang diperkenalkan adalah modul pilihan yang mampu memberi impak kepada penduduk teratak tersebut agar mereka mempunyai semangat yang tegar untuk menempuh hari-hari mendatang. Sekitar jam 12.15, program diakhiri salam wida’ dan kata-kata semangat daripada fasilitator mereka.

Program Mesra Desa

Menghampiri jam 2.30 petang, agenda Bakti Huffaz 2011 diteruskan di perkarangan Pentas Budaya Pantai Puteri dengan Program Mesra Desa yang dikelola oleh saudara Muhd Saddam Bin Abdurahim dan saudari Nur Syuhada binti Mohd Subri. Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan untuk kanak-kanak seperti “Hot Chair”, “Zombi Oh Zombi”, “Grander Mushashi”, “Tom and Jerry”, “Terompah Gegasi”. Bagi golongan dewasa pula, diadakan pertandingan “Hot Chair”, “Baling Belon”, “Lari Itik”, serta acara “Jaguh Kampung” yang dipertandingkan antara keluarga-keluarga angkat. Tidak dilupakan juga,pertandingan mewarna buat si cilik. Pengunjung Pantai Puteri tidak melepaskan peluang turut serta dalam menyertai pelbagai acara yang dipertandingkan. Apabila azan asar berkumandang, pertandingan diberhentikan seketika bagi menghormati waktu asar dan memberi ruang muslimin dan muslimat solat diawal waktu. Permainan ditamatkan kira-kira jam 5.30 petang. Acara penyampaian hadiah turut diadakan bagi menghargai para pemenang pertandingan.

Malam Kesenian Islam

Usai solat maghrib dan isya’ berjemaah di masjid, peserta dan keluarga angkat masing-masing bergegas ke Pentas Budaya Pantai Puteri bagi menghadiri Malam Kesenian Islam yang dimeriahkan dengan konsert kumpulan nasyid terkenal tanah air, Hijjaz. Majlis dimulakan sekitar jam 9.15 malam dengan kata-kata aluan pengerusi majlis dan diserikan dengan alunan ayat suci al-Quran secara berqiraat oleh saudara Syafik Hakimi bin Ambak dan Ahmad Luqman Al-Hakim bin Che Zahari. Seterusnya, majlis diserahkan kepada pengacara khas iaitu saudara Mohd Hafizi Bin Rajiman dan saudara Mohd Taufik Aliph Bin Mohd Nor. Majlis turut diselangi dengan persembahan daripada peserta Bakti Huffaz 2011 dengan sajak yang berjudul “Perjuangan’ dan “Jasa Ayah Bonda”. Majlis diakhiri dengan menjemput jemputan VIP ke meja hidangan bagi menikmati sedikit hidangan.

Ahad, 16 Oktober 2011

Selepas solat subuh berjemaah pada hari minggu tersebut, tazkirah bertajuk “Kemuliaan Al-Quran” telah disampaikan oleh saudara Che Faizul Azhar Bin Che Mat, YDP PERKEMAT. Tazkirah tersebut mengupas berkenaan kemukjizatan Al-Quran seterusnya memberi pandangan yang lebih luas kepada sidang pendengar tentang hakikat sebenar Al-Quran.

Para peserta kemudiannya bersarapan pagi dan beristirehat bersama keluarga angkat masing-masing, Sementara itu, sebahagian peserta program hadir ke dewan serbaguna bagi mencurah bakti membantu koordinator membuat persiapan majlis penutup yang dijadualkan berlangsung pada petang tersebut. Sekitar jam 1.00 petang, peserta mula bersurai untuk mempersiapkan diri.

Majlis Penutup Program Bakti Huffaz 2011.

Majlis yang bermula sekitar jam 2.45 petang ini diserikan dengan kehadiran YB Datuk Haji Ab Rahaman bin Haji Ab Karim, ADUN Pantai Kundur sebagai perasmi majlis. Majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian cenderahati kepada keluarga angkat terbaik iaitu keluarga Jariah Bt Jalil yang mengambil anak angkat seramai 10 orang kesemuanya. Berikut merupakan senarai pemenang cenderahati Program Bakti huffaz 2011:

(banin)

Peserta Paling Memberi Komitmen : Mohd Shabil Muhafiz bin Harun

Peserta Paling Sporting : Mohd Hafizi bin Rajiman

Peserta Terbaik : Najmuddin Rabbani bin Mustafa

Keluarga Paling Memberi Komitmen : Hajah Jariah binti Jalil

Keluarga Paling Sporting : Haji Sudin

Keluarga Terbaik : Hajah Jariah binti Jalil

(banat)

Peserta Paling Memberi Komitmen : Nurul Farahin binti Mohd Isa

Peserta Paling Sporting : Siti Norhaiyenny binti Jalil

Peserta Terbaik : Nur Syafiqa binti Muda

Keluarga Paling Memberi Komitmen : Pn. Rabiah binti Ahmad

Keluarga Paling Sporting : Pn. Norzila binti Ahmad

Keluarga Terbaik : Pn. Zaharah binti Ahmad

Majlis kemudiannya ditangguh sekitar jam 5.30 petang dan hadirin menjamu sedikit kudapan di luar dewan.

Makan Malam Terakhir.

Pada sebelah malamnya usai maghrib dan isya’ berjemaah, peserta bersama keluarga angkat masing-masing hadir ke dewan bersama-sama bagi menikmati hidangan istimewa pada malam itu iaitu ayam bakar dan lain-lain juadah ringan. Sambil menikmati hidangan, pihak urusetia turut menyajikan halwa mata iaitu tayangan “Dalam Mihrab Cinta” lakonan dari negara seberang. Tidak kurang juga yang bersantai di tepi pantai sambil menghirup udara malam. Majlis bersurai sekitar jam 11.00 malam.

Isnin, 17 Oktober 2011

Pada hari terakhir program, para peserta berkumpul di pantai bersama keluarga angkat untuk bacaan doa wehdah diikuti salam wida’ serta sesi pengambaran sebelum bertolak untuk lawatan di Bandaraya Melaka. Antara tempat menarik yang dikunjungi oleh peserta Bakti Huffaz 2011 ialah Menara Taming Sari, Kota A’Famosa, serta pusat membeli-belah di tengah bandaraya tersebut. Para peserta tidak melepaskan peluang mengambil gambar selain membeli-belah pelbagai cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan. Sesudah lawatan tersebut, para peserta bertolak balik ke Darul Quran.

0 comments: