بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum w.b.h…
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmat dan takdir-Nya dapat saya mengutuskan kalam ini. Tidak dilupakan juga, selawat dan salam buat baginda Rasululah S.A.W yang tercinta. Semoga kita semua mendapat syafaat daripada baginda di akhirat kelak.
14 Mei 2011, tarikh yang mencatatkan satu lagi catatan dalam lembaran sejarah Darul Quran, apabila adik-adik lepasan SPM Tahun 2010 mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat bagi sesi 2011/2014. Mewakili saf kepimpinan PERKEMAT DQ sesi 2010/2011, saya mengucapkan Tahniah dan Selamat Datang ke Darul Quran.
Adik-adik yang dirahmati Allah sekalian,
Dikesempatan ini, suka untuk saya memberikan sedikit tazkirah sebagai pedoman untuk kita semua. Menjadi seorang Hamalatul Quran, bukanlah semata-mata kita hendak bermegah dengan gelaran mulia yang disanjung oleh masyarakat, dan bukanlah juga dengan kalimah Hamalatul Quran itu, kita mendapat tiket mudah untuk masuk ke syurga.
Akan tetapi, di sebalik gelaran yang mulia itu, tersembunyi juga satu amanah yang besar yang menuntut kita berusaha dengan penuh rendah diri, rendah hati dan sentiasa memohon nusrah Allah untuk melaksanakannya. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran, melalui surah Al-Hasyr ayat 21 memperlihatkan kepada kita betapa beratnya sesuatu amanah, yang dimana jika dicampak ke atas sebuah gunung pun, nescaya gunung tersebut pasti terbelah lantaran tidak mampu untuk menanggung amanah kerana takutkan Allah.
Memperingatkan kepada adik-adik sekalian; terutamanya diri saya, apabila berada di Darul Quran, laksanakanlah amanah yang telah diberikan oleh ibu bapa, masayarakat dan negara kepada kita dengan sebaiknya. Buatlah setiap pekerjaan yang diberi dengan hati yang ikhlas dan bersungguh-sungguh, serta sentiasa mengharapkan nusrah atau bantuan daripada Allah.
Dan suka juga untuk saya peringatkan adik-adik sekalian, apabila berada di bumi Darul Quran, ingatlah! Tugas dan kekuatan kita bukanlah sekadar hebat atau masyi dalam menghafaz Al-Quran semata-mata, sebaliknya terletak juga pada peranan dan tanggungjawab kita dalam menggerakkan masyarakat agar seiring dan sejalan dengan kita dalam membentuk masyarakat mahmudah yang membudayakan intipati Al-Quran dan As-Sunnah dalam kehidupan.
Di akhir kalam, sekali lagi saya mengucapkan Tahniah dan Selamat Datang kepada adik-adik yang bakal mengambil Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat sesi 2011/2014 ke Darul Quran. Kami di saf kepimpinan PERKEMAT DQ sesi 2010/2011 sangat mengalu-alukan kedatangan kalian. Semoga dengan kedatangan kalian ke Darul Quran, dapat membantu memobilasikan tenaga dakwah yang efektif dalam menjana generasi madani yang membudayakan intipati Al-Quran dan As-Sunnah dalam kehidupan.
Sekian.
CHE FAIZUL AZHAR BIN CHE MAT
Yang Di Pertua
PERKEMAT DQ
SESI 2010/2011
1 comments:
Terbaik..!
p/s: tolong jaga abang dan adik ana baik2 ;)
Post a Comment