Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ) dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar DQ telah menganjurkan suatu program mega yang saban tahun diadakan iaitu program Bakti Huffaz 2010 (BH’10) yang bertempat di Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu. Program yang berlangsung selama enam hari ini bermula pada 28 September hingga 3 Oktober 2010 dan mensasarkan seramai 94 orang pelajar DQ iaitu 50 peserta banin dan 44 peserta banat. Program BH’10 yang bertemakan “Baldatun Thoiyibatun Wa Rabbun Ghafur” ini turut disertai oleh dua orang guru pengiring iaitu Ust Anuar b. Baharudin dan Ust Mohd Fairus b. Mohd Rashid. Walaupun BH kali ini memilih tempat berdekatan dengan kampus DQ, namun ia bukan suatu pertikaian kerana tujuan utama kita adalah membawa agenda Allah di muka bumi ini, insyaAllah.
Program Bakti Huffaz pada kali ini menampilkan kolaborasi barisan pelaksana program yang terdiri daripada pimpinan PERKEMAT sendiri serta siswa dan siswi Semester 3 dan Semester 5. Jawatankuasa pelaksana program berganding bahu dan bertungkus-lumus melaksanakan gerak kerja yang diamanahkan dengan sebaiknya semata-mata untuk memastikan matlamat program ini tercapai dengan jayanya walaupun mehnah dan tribulasi mendatang. Perjalanan gerak kerja yang singkat sebelum cuti mid sem ditambah dengan musim peperiksaan yang sedang berlangsung benar-benar mencabar kemampuan fizikal dan mental kami. Namun, atas semangat yang berkobar-kobar demi melaksanakan program “anak angkat” ini kami mampu melakukannya dengan bantuan dan kerjasama pelbagai pihak.
Selasa, 28 September 2010,
Perjalanan program dimulai dengan taklimat di dataran masjid DQ dan penyampaian amanat oleh YDP PERKEMAT, saudara Muhammad Fahkrur Ridzwan bin Othman. Kemudian peserta bertolak ke tempat program dengan menaiki dua biji bas yang memakan masa selama satu jam setengah.
Ketibaan peserta program disambut dengan rasa berbesar hati oleh penduduk Felda Gedangsa. BH’10 yang memakan masa berbulan-bulan persediaan akhirnya membuka tirai dengan majlis perasmian pembukaan oleh Timbalan Pengarah Darul Quran, Ust Abd Kodir bin Sallah bertempat di Dewan GPW Felda Gedangsa. Majlis yang diserikan lagi dengan alunan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Saudara Khalil Khusairi bin Zainol ini diakhiri dengan penyerahan anak angkat dan sedikit sumbangan ikhlas kepada keluarga angkat daripada pihak penganjur.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan gotong-royong Aidilfitri bertempat di Dewan GPW untuk persediaan majlis jamuan Aidilfitri bersama penduduk Felda Gedangsa pada esok harinya. Antara aktiviti yang dijalankan adalah penyediaan buluh untuk membuat lemang bagi peserta banin manakala di sebelah peserta banat pula penyediaan bahan-bahan untuk memasak rendang, ketupat nasi dan pelbagai juadah lagi.
Pada sebelah malam pula, pihak penganjur telah menjemput pensyarah DQ, Ust Mohd Firdaus bin Rosli bagi menyampaikan kuliah maghrib bertajuk “Islam Sebagai Cara Hidup” yang bertempat di Masjid Felda Gedangsa. Seusai solat Isyak, peserta diberikan sedikit taklimat untuk perjalanan program keesokan hari dan aktiviti pada malam ini adalah lebih kepada meluangkan masa bersama keluarga angkat masing-masing.
Rabu, 29 September 2010.
Aktiviti hari kedua dimulakan dengan Solat Subuh berjemaah di masjid dan surau berhampiran dengan keluarga angkat. Seterusnya para peserta pulang ke rumah keluarga angkat untuk bersarapan pagi sebelum meneruskan aktiviti gotong-royong untuk jamuan Aidilfitri bersama penduduk kampung. Para peserta dibahagikan kepada beberapa bahagian bagi melancarkan perjalanan majlis. Bermula jam 2.30 petang aturcara jamuan Aidilfitri bermula dan diserikan dengan kedatangan penduduk kampung dan tetamu kehormat yang telah dijemput oleh pihak Felda. Antara tetamu yang hadir ialah wakil Darul Quran yang diketuai oleh Ustaz Anuar b Baharudin, Penolong Pengarah Kokurikulum Hal Ehwal Pelajar, Darul Quran. Selepas berakhirnya jamuan, para peserta bersama penduduk kampung bergotong-royong untu mengemas kembali kawasan dan peralatan yang digunakan semasa program.
Usai solat Asar aktiviti sukaneka diteruskan bersama keluarga angkat dan penduduk kampong yang diadakan di padang. Pelbagai acara menarik telah diadakan sepanjang sukaneka berlangsung dan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang oleh pengarah program.
Pada sebelah malam, aktiviti diteruskan dengan kuliah maghrib yang telah disampaikan oleh Ustaz Azhari bertajuk ‘Gejala Sosial Pemusnah Nilai Murni Dalam Masyarakat. Selepas Isyak, para peserta membuat persiapan untuk Malam Kesenian Islam yang diadakan pada keesokan malam.
Khamis, 30 September 2010.
Pada hari ketiga, program diteruskan lagi dengan kuliah Subuh yang disampaikan oleh saudara Marwan Bukhari B A. Hamid, Exco Lajnah Dakwah dan Tarbiyah. Pada jam 7.30 pagi para peserta berkumpul di Dewan GPW bagi sebelum bertolak ke Sekolah Menengah Kebangsaan Gedangsa bagi mengadakan Program Smart Solat dan Tahsin Al-Quran kepada para pelajar tingkatan 1 dan 2.
Seterusnya diadakan perlawanan persahabatan antara penduduk kampung dengan pelajar Darul Quran pada waktu petang antaranya pertandingan futsal, bola jaring, tarik tali dan bola baling. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ustaz Anuar b Baharudin, Penolong Pengarah Kokurikulum Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Darul Quran.
Pada waktu malam diadakan Malam Kesenian Islam yang melibatkan penduduk kampung dan pelajar Darul Quran. Antara persembahan yang disediakan ialah nasyid, tilawah Al-Quran, sajak dan marhaban.
Jumaat, 01 Oktober 2010.
Program pada hari keempat diteruskan dengan Qiamullail Perdana yang diadakan di Masjid Al-Makmur Felda Gedangsa diimamkan oleh saudara Mohd Syahid Al-Amin b Razali. Pada jam 8.30 pagi diadakan majlis Tadarus Al-Quran bersama keluarga angkat di masjid mengikut juz yang telah ditentukan.
Pada sebelah petang, para peserta menghadiri majlis rumah yang dianjurkan oleh individu dan surau di Felda Gedangsa.Program pada waktu malam diteruskan dengan Forum Perdana yang bertajuk ‘Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur’ yang disampaikan oleh Ustaz Shahrukarnain b Mohd Nazir, pensyarah Darul Quran dan Ustaz Mohd Syaari b Abd Rahman Trainer IP Minda Consultant.
Sabtu, 02 Oktober 2010.
Pada hari Sabtu iaitu hari kelima program, diadakan kuliah Subuh yang disampaikan oleh saudara Muhammad Fakhrur Ridzwan b Othman, Yang Dipertua PERKEMAT DQ yang bertajuk ‘Akhlak Rasulullah Sebagai Ikutan’. Program diteruskan lagi dengan program bersama anak yatim yang dijemput dari Rumah Anak Yatim Jambor Sakti bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Gedangsa. Program ini bertujuan merapatkan hubungan dan member kefahaman tentang Islam kepada anak-anak yatim. Pada jam Sembilan pagi, diadakan satu kursus pengurusan jenazah bertempat di masjid yang disampaikan oleh Ustaz Safuan b Mohd Nayan bertujuan memberi pendedahan yang lebih mendalam kepada peserta dan penduduk kampung .
Pada sebelah malam diadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Majlis Penutup Program Bakti Huffaz 2010. Acara bermula selepas maghrib dengan khatam Al-Quran dan seterusnya majlis penutup yang dirasmikan oleh Penolong Pengurus Felda Gedangsa, En Che din. Antara tetamu lain yang hadir ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Darul Quran, Ustaz Mohd Tahir bin Abdul Manap dan Pengarah Khidmat Masyarakat Ulu Bernam En. Abd Sukor b Ali.Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu jemputan dan keluarga-keluarga angkat.
Ahad, 03 Oktober 2010.
Pada hari terakhir program, para peserta berkumpul di masjid bersama keluarga angkat untuk sesi bergambar dan salam wida’ sebelum bertolak untuk lawatan ke Planetarium dan Muzium Negara. Setelah selesai lawatan, para peserta bertolak balik ke Darul Quran.
Menurut Pengarah Program Bakti Huffaz 2010, Sudara Muhd Azizul Hakim B Moh Zain berkata "saya kira ini merupakan program terbaik sepanjang sesi ini. Kita telah mendapat tindak balas yang baik dari kalangan penduduk kampong dan peserta sendiri. Pelbagai pengalaman yang telah ditimba melalui aktiviti-aktiviti bersama masyarakat di samping banyak perkara yang telah kita pelajari. Apa pun, saya kira, kita telah pun berjaya mencapai objektif program dan berharap agar hubungan antara warga Darul Quran dan penduduk Felda Gedangsa tidak berakhir sejurus tamatnya program. Terima kasih di ucapkan kepada Ibu dan bapa Felda Gedangsa atas kesudian menerima kami sebagai ahli keluarga baru dan atas layanan yang baik sepanjang keberadaan kami di sana. Jutaan penghargaan buat ahli jawatan kuasa atas usaha keras menjayakan program ini. Moga-moga segala gerak kerja kita ini dikira sebagai dakwah dan mendapat keberkatan keredhaan di sisi Allah SWT”.
Semoga segala kerja buat kita mendapat rahmat dan redha dari Allah serta dipermudahkan segala urusan untuk menyebarkan dakwah Islam secara meluas, insya Allah.
0 comments:
Post a Comment