Bagai melukut di tepi gantang, begitulah ceritanya umat Islam hari ini. Sudahlah nasib saudara-saudara seislam di Palestin begitu menyayat hati, hari ini pula kita digemparkan dengan sekatan Israel la’natullah ‘alaihim jami’an terhadap konvoi Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Peristiwa yang amat mengguris hati umat Islam ini telah mengorbankan seramai 20 nyawa dan akan terus meningkat hingga melebihi 50 orang mengikut laporan laman web Haluan Palestin.
Saudara Marwan Bukhari bin A. Hamid, Exco Lajnah Dakwah dan Tarbiyah PERKEMAT mengulas berkenaan isu ini, “Sekatan yang dilakukan oleh Israel bukan sekadar melanggar etika Islam bahkan etika kemanusiaan. Namun PERKEMAT masih belum mendengar tindakan tegas yang diambil oleh mana-mana kerajaan di dunia ini untuk menyatakan bantahan terhadap sekatan yang dikenakan ke atas kapal Lifeline4Gaza ( LLG4 ).”
Banyak kuasa-kuasa besar yang mengutuk serangan kejam Israel ini namun apakah cukup sekadar mengutuk? Dimanakah ‘title’ kuasa besar yang dimiliki oleh mereka? Kenyataan yang dikeluarkan oleh juru bicara Rumah Putih, William Burton , “Amerika Syarikat sangat menyesali sehingga hilangnya nyawa dan kecederaan yang dihadapi, dan saat ini kami berusaha untuk memahami situasi sekitar tragedi ini,”. Begitu juga Jerman menyatakan kejutannya dengan tindakan Israel. Jerman yang merupakan salah satu sekutu paling setia Israel mempersoalkan apakah tindakan yang diambil oleh pasukan komando Israel bersikap profesional. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula mengutuk keganasan terhadap orang awam di perairan antarabangsa.
Tuntasnya, ketidakupayaan mereka ini hanya memaparkan hakikat sebenar topeng negara-negara besar yang tidak mampu berbuat apa-apa. Seramai 12 orang sukarelawan bersama-sama petugas media daripada Malaysia turut menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ini. Mereka berada di atas kapal “Mavi Marmara” dimana penyertaan bersama konvoi ini adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan.
Semua objektif dan pergerakan konvoi ini adalah berpandukan kepada Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan PBB dan undang-undang maritim lain yang berkaitan. Bukti yang konklusif tentang perbuatan biadab Israel yang disusuli respon negara-negara besar ini hanyalah sekadar konspirasi golongan kuffar yang tiada berkesudahan.
Saudara Marwan Bukhari menambah lagi, “ Perkemat mengajak semua warga huffaz khususnya dan rakyat Malaysia umumnya mengambil berat terhadap isu umat Islam. Kami mengecam sekeras-kerasnya sekatan yang dikenakan dan menyeru kerajaan Malaysia untuk turut mengecam keras terhadap sekatan yang dikenakan.”
Justeru beliau menyarankan agar huffaz hari ini bergiat aktif dalam lapangan sosial masyarakat dan tidak mengabaikan perkembangan politik dunia Islam. Sudah menjadi tuntutan kepada huffaz untuk berartikulasi dengan bernas tentang masa depan dan halatuju umat Islam dalam usaha melahirkan generasi Al-Quran yang unik.
Moraliti huffaz perlu diperbaiki dari semasa ke semasa bagi melahirkan huffaz yang progresif, maka perlunya proses konsultasi ataupun perbincangan dalam kalangan huffaz bagi mendepani masalah umat Islam.
Akhir kalam, PERKEMAT sekali lagi mengutuk serangan Israel terhadap kapal LLG4 dan menyeru agar generasi huffaz sentiasa melebarkan sayap sensitiviti terhadap nasib umat Islam hari ini. Diharap agar doa yang tidak henti daripada seluruh umat Islam mampu menjadi perisai buat saudara-saudara seislam yang berada dalam kesempitan. Semoga ruh para pejuang yang menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean ini dicucuri rahmat Allah. Al-Fatihah.
1 comments:
Sampai bila pemimpin dunia Islam mahu berdialog dan berjabat tangan dengan zionis laknatullah? Sampai bila kita harus melihat umat Islam disembelih? Sampai bila jihad ilmu, ekonomi, hawa nafsu akan berakhir dan ditukar dengan jihad Al-Qital pula? Disaat tentera Zionis membantai umat Islam, kita masih berjihad hawa nafsu? Ketahuilah selagi kita masih bernyawa,selagi itulah jihad hawa nafsu tidak akan berakhir, sedangkan jihad Al-Qital hanya pada waktu-waktu tertentu. Para sahabat(Rasulullah) berjihad hawa nafsu setelah kembali dari medan perang, sedangkan kita menolak untuk berjihad dengan pelbagai alasan. Kenapa kita tidak berjihad dengan semua jihad yang ada, dan mengikut kesesuaian waktu dan masa? Kenapa kita mengambil tanggungjawab lain untuk mengelak tanggungjawab yang lain? Sedangkan tanggungjawab itu perlu dipenuhi secara berturutan? Kenapa takut dengan kalimah JIHAD? Saya bukan mengejar mati, tetapi lihatlah apa yang berlaku di Palestin dan tanggungjawab kita, dan jika kita masih di takuk lama. Maka, saksikanlah drama air mata ini hingga ke anak cucu kita. Katakan pada mereka, itu sudah nasib mereka(Palestin) dan tiada apa yg mampu dibuat oleh kita.
Post a Comment