Monday, June 29, 2009

JALAN MENUJU TUHAN

Jalan menuju tuhan memang sukar. Lalu kerna itulah ramai yang mengambil jalan pintas menuju ke syurga. Tetapi pernahkan kita terfikir, wujudkah jalan pintas dan mudah menuju ke syurga nan indah itu?..

Bina hubungan

Ya, bina hubungan dengan tuhan. Cukup sekadar kita yakin dan taat padanya. Tetapi sejauh mana kekuatan dan kesungguhan kita untuk membina hubungan tersebut. Pernahkah kita merasa dekat dengan tuhan? Atau merasa semakin jauh dengan tuhan? Atau tidak pernah merasa apa-apa meski ditimpa pelbagai ujian dan istidraj?

Carilah jalan sebenar menuju tuhan agar kita merasa dekat denganNya. Titiskanlah air mata dan perbanyakkan tafakkur andai hati merasa jauh dengan tuhan. Ingatlah Allah pada tiap saat dan ketika. Percayalah, andai kita membiar walau seminit berlalu tanpa mengingati Allah, maka hati kita kan terus leka dibuai dunia nan menipu berjam-jam lamanya. Atau mungkin lebih dari itu.

Jalan menuju Allah tidak sukar. Mungkin ramai yang tidak dapat menerima kenyataan itu. Tetapi hakikatnya itulah, Cuma yang menafikan ialah apabila kita telah menetapkan dalam minda (mind setting), bahawa sepanjang permusafiran dalam menuju tuhan pasti terdapat terlalu banyak ujian yang menyakitkan. Lalu kita dengan semudah-mudahnya berputus asa untuk merasa dekat dengan tuhan kerna merasakan ianya sukar. Tetapi ingatlah, setiap kesukaran itu pasti akan dibalas dengan kemudahan dan kemanisan.

“ kejauhan itu lupa hati.. Kedekatan itu ingat hati.. Kejauhan itu hijab (tertutup).. Kedekatan itu kasyaf (terbuka).. Hijab itu gelap.. Kasyaf itu nur.. Gelap itu jahil … Nur itu ma’rifat”

Pernahkah kita merasa sukar untuk membangunkan diri dari lena sebelum terbit fajar demi menunaikan serakaat dua solat sunat? Atau bukan setakat pernah, tapi kita merasakan itulah hakikat diri kita yang memang sejak dari dulu susah nak bangun demi menghidupkan malam dengan ibadah-ibadah sunat. Malah kita merasakan itu perkara biasa sebagai seorang pelajar yang penat selepas berjaga lewat malam. Dan kita tidak merasa kagum pada sahabat-sahabat yang mampu meninggalkan kasur nan indah demi menyucikan diri untuk mengadu pada yang Esa. Mengapa? Kerna kita merasakan itu perkara biasa yang telah ditetapkan oleh takdir. Lalu bagaimana kita ingin merasa dekat dengan Allah dek fikiran kita yang telah disetkan dengan “perkara biasa” atau “takdir” telah menetapkan kita begini.

Firman Allah yang bermaksud:

“Tuhanmu lebih mengetahui tentangmu. Jika Dia menghendaki, nescaya Dia akan memberi rahmat kepadamu. Dan jika Dia menghendaki, pasti Dia akan mengazabmu. Dan kami tidaklah mengutusmu (Muhammad) untuk menjadi penjaga bagi mereka” (Al-isra’: 54)

Duhai sahabat, jalan menuju tuhan memang sukar. Tetapi tuhan itukan Maha Pengasih, Maha Penyayang. Pasti tidak akan dibiarkan hamba-hambaNya yang berusaha mendekatkan diri denganNya, terkontang-kanting keseorangan. Pasti kan dipimpin hati hambaNya itu agar terus dekat denganNya. Dia menguji kita kerna ingin melihat sejauh mana keikhlasan dan keyakinan kita padaNya.

Andai kita ingin rebah, bertahanlah. Andai kita telah jatuh, bangunlah kembali. Andai kita telah tersalah jalan, kembalilah ke pangkal. Carilah kedekatan bersama tuhan walau di mana kita berada, walau apa jua kita lakukan . . . . Tuhan tidak pernah memungkiri janjiNya. . . percaya dan yakinlah . .

Seraya menjauhi Plato dan al-farabi

Kuteliti dunia indra dengan mataku sendiri

Tak pernah aku mengemis dan pinjam pandang orang lain

Dengan pandangan sendiri muncullah apa yang ku ingin

Tak seorang pun tahu bagaimana diri muncul mengada

Tak dari dunia ruang dan waktu ia berasal

Ku dengar hikmah ini dari Nabi lautan:

“ laut tak lebih tua dari ombak buihnya”

Belajarlah dari kuntum bagaimana hidup duhai hati

Ia adalah lambang hidupmu yang mencari cahaya

Ia menyembul jauh dari kegelapan bumi

Tapi sejak lahir punya mata di sinar matahari

-Karya Muhammad Iqbal , “Tulip dari Sinni”-


posting by: ana imtiyaz



Friday, June 19, 2009

USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIAH HARAKIAH

Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu. Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Proses pembentukan itu bermakna penekanan dan perbincangan dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh.

Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.

Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.

Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasi oleh kebatilan yang kemas. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan jamaah.


PENTADBIRAN USRAH

Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas ,jangan sampai ke peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah janganlah dijumudkan dengan hanya membaca teks dan menghafal. Sebaliknya, pelaksanaan usrah hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiah yang menekankan setiap aspek Islam. Kepelbagaian boleh dilakukan dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.
Usrah mempunyai beberapa ciri yang membezakannya daripada nizam al-tarbiyah yang lain dan antara ciri tersebut ialah:


Usrah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.

Usrah merangkumi semua ahli sama ada pengikut, pekerja mahupun pemimpin. Pastikan tidak ada ahli yang terlepas daripada program tarbiah.
Dirancang dengan rapi dari semua sudut.
Dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh nuqaba’ dan ahli.

Antara ciri keberkesanan sesuatu usrah ialah apabila persoalan di bawah ini ditanya, jawapannya dapat diberikan dengan sempurna:

Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam?

Sejauh mana konsep al-ta’awum (bekerjasama) di kalangan ahli dalam membantu proses penghayatan Islam?

Sejauh mana ikatan dibentuk?

Sejauh mana pula pelaksanaan ikatan itu dalam bentuk amalan?

Akhirnya marilah kita sama-sama membaharui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za’imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur’an perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).
Sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.


posting by:WARDATUL HAFIDZAH-18 JUN 2009