Friday, June 19, 2009

USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIAH HARAKIAH

Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu. Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Proses pembentukan itu bermakna penekanan dan perbincangan dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh.

Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.

Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.

Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasi oleh kebatilan yang kemas. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan jamaah.


PENTADBIRAN USRAH

Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas ,jangan sampai ke peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah janganlah dijumudkan dengan hanya membaca teks dan menghafal. Sebaliknya, pelaksanaan usrah hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiah yang menekankan setiap aspek Islam. Kepelbagaian boleh dilakukan dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.
Usrah mempunyai beberapa ciri yang membezakannya daripada nizam al-tarbiyah yang lain dan antara ciri tersebut ialah:


Usrah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.

Usrah merangkumi semua ahli sama ada pengikut, pekerja mahupun pemimpin. Pastikan tidak ada ahli yang terlepas daripada program tarbiah.
Dirancang dengan rapi dari semua sudut.
Dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh nuqaba’ dan ahli.

Antara ciri keberkesanan sesuatu usrah ialah apabila persoalan di bawah ini ditanya, jawapannya dapat diberikan dengan sempurna:

Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam?

Sejauh mana konsep al-ta’awum (bekerjasama) di kalangan ahli dalam membantu proses penghayatan Islam?

Sejauh mana ikatan dibentuk?

Sejauh mana pula pelaksanaan ikatan itu dalam bentuk amalan?

Akhirnya marilah kita sama-sama membaharui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za’imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur’an perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).
Sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.


posting by:WARDATUL HAFIDZAH-18 JUN 2009

0 comments: