Ramadhan adalah bulan tarbiah dan jihad bagi pejuang-pejuang Islam. Justeru, kedatangan Ramadhan adalah proses untuk menundukkan hawa nafsu yang sentiasa bergelodak dalam jiwa untuk mengabadikan jihad dan perjuangan.
Andainya hawa nafsu boleh ditundukkan dengan jalan lain (bukan berpuasa) nescaya Allah akan mewajibkannya. Namun bilamana Allah mewajibkan puasa kepada umat dahulu dan sekarang, bermakna hawa nafsu hanya dapat dikawal melalui ibadat puasa.
Sejarah jatuh bangun umat dahulu memperlihatkan betapa banyaknya tekanan musuh dan serangan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan kerana musuh menganggap umat Islam akan lemah kerana berpuasa. Lihatlah di zaman kita serangan ke atas Iraq, Afghanistan, Bosnia dan lainnya banyak dimulakan dalam bulan Ramadhan.
Bahkan kalau kita buka lipatan sejarah lampau, sejak zaman Rasulullah hingga zaman tabieen, serangan musuh banyak tertumpu dalam bulan Ramadhan.Kerana itu, Ramadhan janganlah dijadikan alasan untuk mengabaikan jihad; kerana tarbiah Ramdhan adalah tarbiyah langsung dari Allah, sehingga Allah menyatakan dalam hadis Qudsi yang bermaksud: Puasa kamu untuk Ku, maka Akulah yang akan memberi balasannya.
Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi dengan penuh rahmat dan keberkatan. Marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur sehingga kita bertemu semula Ramadhan.
Rasulullah s.a.w. sering kali berdoa yang bermaksudnya: Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Syaaban, dan (panjangkan umur kami) sehingga bertemu dengan Ramadhan.
Betapa besarnya rahmat Ilahi bilamana kita dipanjangkan umur sehingga bertemu dengan Ramadhan kerana sabda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Antara Ramadhan ke Ramadhan adalah pengampunan Allah.
Maksudnya, jelasnya sesiapa yang dipanjangkan umur sehingga dapat bertemu dengan Ramadhan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yakni dosa kecil. Panjang umur bukan kerja kita, ia benar-benar hak mutlak Allah; lantaran itu marilah kita mensyukurinya.
Seluruh pendukung dan penyokong PMRAM serta seluruh mahasiswa Islam agar menjadikan Ramadhan ini sebagai bulan menambahkan amalan seharian, hidupkan tadarus al-Quran di kalangan ahli usrah.
Marilah sama-sama kita menghidupkan majlis berbuka, tarawih dan tazkirah di mana-mana ruang yang ada dan ambillah kesempatan menderma terutamanya memberi makan kepada orang yang berpuasa. Ini selari dan sejajar dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa iaitu menyediakan makanan berbuka puasa, maka dia memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, dan tidak kurang sedikitpun pahala puasanya.
Namun, perlu diingatkan bahawa, orang yang berpuasa supaya hendaklah memendekkan masa dalam memikirkan soal makanan dan jangan membeli juadah untuk berbuka dari tangan-tangan yang fasiq, tangan yang tidak mengerjakan sembahyang, dan tangan yang tidak takutkan Allah.
Peliharalah setiap suap makanan kerana ia menjadi darah daging, dan darinya menjadi air mani yang melahirkan zuriat kamu.Kutiplah mutiara keberkatan Ramadhan pada siangnya dan hidupkanlah ibadahmu pada malamnya, kerana persoalan utama bukan Ramadhan yang penuh keberkatan dan rahmat, tetapi apakah kita memperolehi keberkatan dan rahmat itu.
0 comments:
Post a Comment