Friday, March 2, 2012

YALLA SYABAB : Pemuda Kebanggan Rasulullah


Nabi saw pernah bersabda :

“Aku didokong oleh para pemuda sementara Aku sering dicanggah oleh orang - orang tua”.

Ungkapan Baginda saw jelas mengiktiraf fungsi pemuda dalam mendokong perjuangan yang diasaskan oleh Baginda saw.

Pemuda yang dimaksudkan pastinya pemuda yang beriman , bertaqwa dan berjihad untuk menegakkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah swt. Pemuda yang mewaqafkan diri dan bersedia untuk mengorbankan segala kepentingan diri dan duniawi demi memastikan syariat dan sunnah berjaya di daulatkan di atas tanahair ini khasnya dan di atas muka bumi ini amnya .

Pemuda yang berjiwa besar , mampu dan sanggup menggalas beban amanah pula mendepani mehnah guna melunaskan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah . Pemuda yang memiliki aqidah yang benar , fikrah yang jelas dan menghiaskan diri dengan akhlak Islami yang indah .

Pemuda yang tentu tidak pernah mengaku kalah dengan segala ancaman atau tahaddiyat yang digerakkan oleh musuh untuk menghalang hasrat dan perjuangan murni mendaulatkan syariat dan sunnah .

Inilah pemuda harapan dan sandaran ummah bagi mengembalikan semula kegemilangan agama suci ini setelah sekian lama ia diinjak oleh musuh dan lebih malang ianya kini dipersiakan oleh penganutnya sendiri .

Inilah pemuda kebanggaan Rasulullah saw yang berani mencagarkan kebebasan hidup semata - mata ingin mengabadikan diri kepada perjuangan suci memartabatkan kembali izzah ummah setelah sekian lama ianya tercalar angkara kejahilan.

Ringkasnya , pemuda seperti inilah yang diperlukan untuk memacu perjuangan di bumi bertuah ini agar Islam kembali bertapak dan cahaya keadilannya kembali menerangi ummah setelah berlalu tempoh kegelapan yang panjang menyelubungi kehidupan ummah.

Era yang kita hadapi hari ini memerlukan kita selangkah lebih jauh ke depan berbanding kelicikan musuh yang tidak pernah rehat mengatur strategi dan konspirasi untuk memadam cahaya hidayah Allah swt . Malah kita mestilah selangkah lebih cepat bertindak berbanding musuh yang pintar dan menguasai pelbagai sarana penerangan bagi mengelirukan minda masyarakat.

Kesimpulannya , pemuda mestilah senantiasa dalam keadaan bersiap siaga . Bersedia bila diperlukan , hadhir bila dipanggil , bertindak bila diarah dan responsif terhadap situasi sekeliling terutama berhubung dengan keperluan parti [ jamaah ] dan tuntutan ummah tanpa lengah dan alasan yang tidak wajar dan layak.

0 comments: