Wednesday, May 4, 2011

Sistem Pesanan Ringkas (SMS) Merosakkan Penggunaan Bahasa Melayu

Sistem Pesanan Ringkas (SMS), alat yang menjadi penghubung
di antara dua individu dengan kaedah cepat dan menjimatkan, dikatakan
merosakkan bahasa.Penggunaan simbol, kod dan perkataan singkatan tertentu secara meluas itu dikatakan punca kemerosotan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat dan pelajar sekolah. Malah, antara sebab kemerosotan pencapaian kelulusan Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2003 juga dikatakan berpunca daripada budaya perkhidmatan SMS dan sembang Internet di kalangan pelajar. Ramai calon menggunakan singkatan perkataan dalam esei mereka seperti yang dilakukan ketika bersembang atau SMS.
Setiap hari kita dapat melihat iklan SMS yang memaparkan penggunaan kata
singkatan, kod atau simbol disiarkan di media elektronik dan media cetak. Mengulas mengenai perkembangan bahasa SMS, Pengarah Jabatan Bahasa Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan, berkata langkah meminimumkan
bahasa ketika berhubung dengan SMS sememangnya tidak dapat ditolak kerana
ruang yang disediakan terhad.


Menurutnya, singkatan perkataan, lambang, angka atau kod tertentu banyak
digunakan untuk menggantikan maksud sebenar. Kadang-kala ayat yang ditulis bercampur aduk antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, bergantung kepada perkataan mana lebih pendek supaya maksud yang hendak disampaikan difahami oleh penerimanya dalam ruang terhad itu. Beliau berkata, penggunaan bahasa yang minimum itu tidak salah jika hanya digunakan ketika berhubung melalui SMS, seperti juga menulis dengan trengkas. Bagaimanapun, masalah yang timbul sekarang ialah bahasa SMS terbawa-bawa kepada penggunaan rasmi hingga merosakkan bahasa.
Pencemaran "Jika pengguna tidak dapat membezakan ragam bahasa rasmi dengan ragam bahasa basahan, pencemaran bahasa akan berlaku. Oleh itu, seseorang itu
tidak sepatutnya terikut-ikut dengan ragam bahasa basahan hingga
menggunakannya ketika melakukan urusan rasmi seperti karangan, surat rasmi
dan memo," katanya. Antara contoh penyampaian dalam SMS ialah `x' bagi maksud tak atau tidak, `4' (untuk atau for), `cnma' (macam mana), `yg' (yang), `u' (awak),
`tq' (terima kasih), `ok' (okey), `lg' (lagi), `g' (pergi) dan `p'kdmtn'
(perkhidmatan). Menurut Dr Awang, walaupun perhubungan bersifat peribadi melalui SMS tidak dapat dielakkan, tidak sepatutnya bentuk gaya bahasa itu diketengahkan.

"Saya yakin semua pemilik telefon bimbit menggunakan bahasa ringkas ketika berhubung melalui SMS kerana ruangnya terhad. "Penggunaan bahasa ringkas itu tidak salah, tetapi bahasa akan jadi rosak jika terbawa-bawa dalam penggunaan bahasa rasmi. Ini berlaku jika pengguna tidak dapat membezakan ragam bahasa rasmi dan tidak rasmi,"katanya. Menurutnya, pengaruh bahasa SMS tidak meluas jika pengguna tidak menggunakan bahasa ringkas itu ketika berurusan rasmi, tulisan, memo, nota dan surat. Bagaimanapun, katanya, DBP tidak dipertanggungjawabkan dalam mengawal penggunaan bahasa ketika berhubung dalam bentuk peribadi seperti melalui SMS, seperti juga dengan penggunaan bahasa dalam perbualan harian dikalangan masyarakat. "Tanggungjawab DBP ialah memajukan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi seperti dalam bidang pendidikan, pentadbiran, media massa, bahasa di tempat awam dan undang-undang."DBP tidak memberi perhatian terhadap bahasa yang diguna pakai dalam
SMS, tetapi jika ragam bahasa itu digunakan dalam urusan rasmi yang
mempengaruhi masyarakat, DBP akan memberi perhatian bagi mengelakkannya
merosakkan bahasa," katanya. Beliau berkata, bagi mengelakkan bahasa rasmi tercemar akibat penggunaan bahasa SMS, guru mesti memberi penekanan kepada pelajar supaya tahu membezakan antara bahasa untuk urusan rasmi dan tidak rasmi. Menurutnya, penggunaan singkatan perkataan berlaku terhadap semua bahasa di dunia, tetapi tidak menjadi masalah jika mereka dapat membezakan
pengunaannya untuk tujuan rasmi atau tidak. "Dalam semua bahasa, ada bahasa tinggi dan bahasa basahan atau percakapan seharian. Masalahnya, dalam masyarakat kita, orang selalu tidak peka terhadap wujudnya sistem bahasa rasmi hingga berlaku kejadian mencampuradukkan bahasa," katanya. Menurutnya, usaha mengelakkan bahasa rasmi tercemar oleh bahasa SMS patut dipikul oleh semua pihak, misalnya DBP turut memberi khidmat nasihat bahasa, kursus, ceramah dan kempen kesedaran. "Pihak berkuasa tempatan dan jabatan kerajaan perlu bekerjasama dalam hal ini kerana mereka bertanggungjawab mengawal selia papan tanda dan memastikan pihak yang mengeluarkan iklan menggunakan bahasa betul.
"Selain itu, penerbitan bahan bacaan yang menggunakan bahasa rojak atau pasar perlu dihentikan kerana dikhuatiri mempengaruhi remaja," katanya. Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sharifuddin Ibrahim, berkata DBKL sentiasa memantau bagi memastikan Bahasa Melayu dimartabatkan.
Katanya, semua pihak di bawah bidang kuasa DBKL terikat dengan Undang-
undang Kecil Wilayah Persekutuan 1982 pindaan 1985 yang mensyaratkan
mereka meletakkan Bahasa Melayu lebih jelas dan terang di papan tanda atau
papan iklan, sekali pun jika ada bahasa lain bersamanya.

0 comments: