Friday, November 5, 2010

Kalam NYDP PERKEMAT DQ 09/10

Alhamdulillah, pujian bagi Allah dan setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan ke atasNya, selawat ke atas nabi junjungan Muhammad s.a.w. Semoga kita berada di landasan rahmat Allah sentiasa, insyaAllah.

Sahabat dan sahabiah sekalian,

Melihat kepada beberapa isu semasa yang menimpa masyarakat Islam Malaysia pada bulan lepas sudah menunjukkan kondisi Islam yang semakin berada di penghujung zaman. Zaman dimana maksiat semakin berleluasa dan kebatilan berada di zon selesa.

Kejutan berkenaan kehadiran konsert Adam Lambert ke Malaysia yang mendapat kelulusan oleh Jawatankuasa Agensi Pusat (JK-PUSPAL) yang dipengerusikan oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), juga kehadiran Festival Fesyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) 2010 yang dianjurkan oleh Datin Paduka Seri Rosmah Mansor benar-benar mengundang kemarahan bagi mereka yang mempunyai sensitiviti terhadap maruah Islam.

Realiti yang masih dianggap fantasi, dalam sedar atau pun tidak, maruah Islam semakin dicalar-calarkan. Penularan unsur sekularisme secara halus oleh golongan bukan Islam masih dipandang sebelah mata seolah-olah tiada ancaman oleh sesetengah pihak yang berkuasa.

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustakan?

Setiap hari kita diberi nyawa dan peluang untuk meraih nikmat Islam dan Iman. Namun, mengapakah pihak-pihak yang berkenaan tidak jemu dan merasa rugi kerana bertindak merencatkan perkembangan Islam dengan membenarkan unsur-unsur sedemikian menjalar dalam kalangan masyarakat? Apakah tiada nikmat penglihatan untuk melihat yang baik-baik? Atau tiada nikmat telinga untuk mendengar kebenaran? Ataukah tiada nikmat mulut untuk melaungkan yang hak?

Saya mengajak diri saya dan sahabat sekalian agar mengambil setiap langkah kehidupan ini dengan langkah yang lebih matang dan maju terkehadapan. Mempersiapkan diri dengan sebarang kemungkinan diluar jangkaan. Sebagai golongan huffaz yang menghafaz Al-Quran maka sewajarnya juga kita menjadi penghafaz (pemelihara) hukum-hukum yang terkandung di dalamnya.

Dalam konteks pelajar Darul Quran, seharusnya kita tidak tenggelam dengan suasana kondusif Darul Quran. Walaupun hakikatnya tiada maksiat berleluasa yang berlaku di depan mata, tiada kekecohan yang menyusahkan pergerakan kita di DQ, sedangkan dunia luar DQ menggamit kita menghulurkan bantuan dari sudut ilmu dan kebijaksanaan dalam gerakan dakwah (Wisdom Of Harakiah). Tidak dapat ditolak lagi bahawasanya kitalah golongan yang dinantikan oleh masyarakat luar. Maka sudah bersediakah anda untuk menggalas tuntutan yang dinantikan ini?

Sahabat dan sahabiah yang dihormati,

Kita sedang berada dalam fatrah Pilihan Raya Kampus DQ (PRK DQ) dan tidak lama lagi kepimpinan PERKEMAT 09/10 akan menutup tirai. Harapan saya agar pemilihan calon barisan kepimpinan PERKEMAT 10/11 dapat berjalan dengan lancar dan dilaksankan secara telus oleh Penyelaras Pemilihan Calon (PPC) yang baru terlantik. Semoga urusan PPC dimudahkan dengan perlantikan awal ini dan dapat menilai kembali sistem PRK DQ yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung tahniah dan takziah atas keputusan peperiksaan pelajar diploma yang baru keluar beberapa hari yang lalu. Kejayaan yang dikecapi bukan mudah untuk dikekalkan tapi tidak mustahil untuk berbuat demikian. Manakala kegagalan yang tercipta tanpa disangka anggaplah ia suatu ujian yang menyinggah sebentar kehidupan kita golongan huffaz sebagai orang yang taqarrub ilallah. Setiap apa yang berlaku, ada hikmahnya dan apa yang penting, kita mengambil ibrah daripada hikmah yang terjadi.

“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir, apabila ditimpa kesusahan, dia berkeluh kesah, dan apabila dia mendapat kebaikan, dia amat kikir...”

Al-Ma’aarij : 19-21

Akhir kalam, tiada yang lebih mulia melainkan sifat pemaaf, maka saya mengundur diri dengan merasa rendah hati. Seinfiniti kemaafan dari saya selaku Naib Yang Dipertua PERKEMAT 09/10 atas keperibadian, tingkah laku dan sikap yang tidak mampu serta amat jauh sekali untuk dijadikan qudwah hasanah, atas kata-kata yang tidak bijak diatur, atas ilmu yang sangat cetek untuk dikongsi. Tiada yang lebih menggembirakan hati saya melainkan melihat kejayaan ahli-ahli PERKEMAT dalam pelajaran dan cantik akhlak sebagai huffazul Quran. Apatah lagi jika kalian berlumba-lumba untuk menyebarkannya. Siiru Fil Ardhi Jami’a.

Wallahu’alam.

Nur Afifah Binti Muhamad

Naib Yang Dipertua

Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran

PERKEMAT DQ 09/10.

0 comments: