Edisi Ramadhan
Assalamualaikum w.b.t,
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam, selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar baginda Rasullullah s.a.w, ahlul bait baginda, para sahabat, tabi’ tabi’in serta kaum muslimin muslimat yang dirahmati Allah sekalian.
Dalam suatu hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka terampunlah bagi mereka dosa-dosa yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Bulan berganti bulan, hari berganti hari, siang berganti malam, detik beransur ke detik dan kini kita telah pun berada dalam fatrah awal Ramadhan yang disebutkan dalam sabdaan Baginda s.a.w sebagai fatrah rahmat. Kehadiran Ramadhan seringkali dinanti-nantikan oleh seluruh umat Muslimin seantro dunia demi menyempurnakan rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadhan. Sedangkan pemergian Ramadhan ditangisi oleh para ulama salafus soleh yang sering merindui Ramadhan sebagai bulan suci lagi diberkati bagi seluruh umat Islam.
Namun realiti kini tidak seindah dahulu, bila mana manusia sanggup berbelanja lebih semata-mata untuk menambah perhiasan rumah mereka menjelang raya. Ada pula dikalangan masyarakat kini yang gemar berboros ketika membeli juadah berbuka puasa di bazar-bazar Ramadhan yang berdekatan. Adakah mereka menilai daripada sudut keperluan atau kehendak atau menuruti kehendak nafsu semata-mata? Tepuk dada tanyalah iman!
Bersempena dengan ketibaan Ramadhan yang menjanjikan 1001 ganjaran bagi seluruh umat Islam, marilah kita menyingkap tabir masa melontar diri ke suatu zaman kegemilangan Islam yang digagaskan oleh Penghulu segala nabi iaitulah Nabi Muhammad s.a.w. Peperangan Badar merupakan peperangan akbar pertama yang berlaku dalam sejarah Islam di zaman Rasulullah s.a.w. Peperangan yang tercetus daripada perasaan hasad dengki dan dendam puak kafir Quraisy dalam usaha menghalang dakwah Rasulullah s.a.w telah mempertemukan mereka di gelanggang pertempuran Badar. Sungguhpun bilangan tentera Islam hanyalah berjumlah 313 orang tentera dibandingkan 1000 tentera kafir Quraisy yang lengkap bersenjata, namun atas dasar kekuatan jihad yang membara dan keimanan serta kepercayaan yang tinggi kepada Allah dan RasulNya maka kemenangan akhirnya berpihak kepada tentera Islam.
Apa yang ingin ana fokuskan di sini adalah bagaimana tentera Islam mampu menewaskan tentera kafir Quraisy yang berjumlah lebih 3 kali ganda serta lengkap bersenjata di bulan Ramadahan? Pernahkah antum semua memikirkan hal ini? Ketahuilah bahawa dalam jiwa tentera Islam ketika itu tertanamnya ruh jihad yang memaksa mereka berkorban segala-galanya demi membela Islam walau terpaksa menahan lapar dan dahaga dalam peperangan Badar. Berbekalkan semangat kental dan sabar menempuh ujian dan halangan, akhirnya tentera Islam mampu mempertahankan kegemilangan Islam walau mehnah dan tribulasi sering menghimpit dari segenap penjuru.
Berkenaan isu Peperangan Badar, Allah S.W.T telah menurunkan surah al-Anfal dalam ayat ke 26 sebagai mengulas lanjut berhubung ketuhanan. Pertama sekali, Allah mengalihkan perhatian umat Islam supaya merenung kepada kelemahan dan kealpaan mereka dari sudut akhlak yang masih ada saki bakinya pada diri mereka. Sebahagian kelemahan akhlak itu telah dapat dibuang daripada mereka agar dengan itu mereka akan berusaha gigih untuk menyempurnakan jiwa mereka serta membersihkannya daripada kelemahan-kelemahan ini.
Yang keduanya, Allah menjelaskan bahawa kemenangan yang diperolehi itu adalah kerana bantuan dan pertolongan Allah secara ghaib kepada umat Islam. Allah menyebutkan hal tersebut supaya mereka tidak terpesona dan tertipu dengan keberanian mereka yang akan menjebakkan mereka dalam perasaan angkuh dan sombong.
Secara ringkasnya, pada tahun kedua hijrah Allah memfardhukan puasa ke atas orang Islam. Begitu juga zakat fitrah dan diterangkan kadar nisab zakat tersebut. Dengan memfardukan zakat fitrah dan menjelaskan kadar nisab zakat yang lain dapat meringankan bebanan yang dideritai oleh ramai orang Muhajirin yang menjadi pelarian di mana mereka itu adalah orang-orang fakir yang tidak mempunyai daya upaya untuk mendapatkan mata pencarian di muka bumi.
Tuntasnya, Ramadhan merupakan bulan rahmat bagi umat Islam untuk mengerjakan ibadah sebanyak-banyaknya kerana ganjaran pahala yang berlipat ganda sepertimana yang telah dijanjikan Allah S.W.T. Manfaatkanlah fatrah Ramadhan sebagai usaha untuk mengislahkan diri dan menambah amalan sunat seperti bertadarus Al-Quran, solat sunat tarawih, berzikir, qiamullail dan bersedekah. Hubungkanlah silaturrahim yang baik di antara sesama muslim dan jauhilah hasad dengki dan permusuhan kerana ia merupakan bisikan syaitan yang ingin menghancurkan dirimu.
Akhir kalam, saya mengambil kesempatan ini mewakili seluruh jawatankuasa LATERINFO@artcrewz 09/10 untuk memohon jutaan keampunan dan kemaafan di atas segala kesilapan dan kekhilafan yang berlaku sepanjang sesi ini. Salam ramadhan al-mubarak buat semua warga Darul Quran. Semoga Ramadhan kali ini adalah yang lebih baik berbanding sebelumnya. Renung-renungkan dan selamat beramal.
Wassalam.
Disediakan oleh,
Exco Lajnah Penerbitan Dan Informasi(LATERINFO)
PERKEMAT 09/10
umarmujahid90.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment