Sunday, July 5, 2009

Puisi : Aku Mahu Menangis

Rintik hujan jatuh ke bumi
Menitis ribuan memori
Kuteringat rembunan kesilapan
Dosa dan noda sepanjang bergelar insan
Dilakukan tanpa rasa bimbang, diinsafi dengan penuh penyesalan
Dia Tuhan, Dia Tuan
Aku hamba, pemikul bebanan dosa
Dia memberi kurnia, memberi makan
Aku membalas dengan sepinggan kelalaian berulamkan ketaatan
Dia terus membelai, menegurku dengan rasa keinsafan
Dia mengurniakanku ilmu kefahaman
Juga keluarga dan rakan
Ibnu Mas’ud pernah berkata
Orang beriman melihat dosa umpama gunung yang bisa menghempap mereka
Adapun si ingkar melihatnya laksana nyamuk, bisa dibunuh begitu sahaja
Berimankah aku, atau ingkarkah aku?
Paradigma negatif berlegar di minda
Dia sentiasa mengajakku kembali kepada-Nya
Aku, seakan-akan mahu mengelak diri
Mencari kepuasan hati, bertopengkan dini
Kuterkenang akan Adam dan Hawa
Sesalnya mereka sehingga malu mengangkat muka
Tangisan nasuha memohon keampunan
Meski hanya sekali mereka menderhaka
Aku, bukan sekali
Lagilah mustahil hanya seratus kali
Wajah diangkat tanpa sesalan
Kolam mata bertambah gersang
Nabi saw menangis terkenangkan umatnya
Sampai mati, umat tetap di hati
Aku, masih begini
Ke sana sini, melangkah kaki
Walhal hati makin berdaki
Izrail pula kian menghampiri
Astaghfirullah, aku mahu menangis
Langit sentiasa menangis
Sedari fajar sehingga pekat laila
Bilakah lagi aku akan menangis?
Duhai air mata suci
Mengalirlah dirimu dari kolam tazkiah
Jika dirimu masih belum menangis
Maka tangisilah akan halmu yang belum menangis!


22:51, 15 April 2009 (Rabu)

0 comments: