Friday, August 2, 2013

Aku Masih Sama !


Ramadhan bakal berlalu, lalu apa yang kita rasa? Ibadah meningkat? Dah layak dapat status soleh atau solehah? Dakwah jangan cerita la, tiap-tiap hari aku post, aku tweet. Rasanya ramadhan kali ni paling bagus, aku tak tinggal solat terawikh. Sedekah? Sedekah jangan cakap la, tiap kali jumpa tabung, aku hulur. Hati berprasangka. Namun ramai antara kita yang lupa dimana sebenarnya diri kita. Diri aku yang dulu dan diri aku yang kini, masih sama atau sebaliknya?

Kini pasti ramai yang sedang memburu seorang makcik yang bernama Laila, atau nama penuhnya Lailatul Qadar. Namun, dalam kesibukan mengejar lailatul qadar, yang difirmankan oleh Allah sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan, kita terlupa akan keutamaan. Kita lebih banyak melakukan amalan-amalan sunat seperti tadarus, zikir, solat terawih, solat tahajjud, solat hajat, solat witir dan banyak lagi, tetapi pada masa yang sama, kita masih lagi melakukan perkara-perkara yang
dilarang oleh Allah.

Antaranya bercakap bohong, mengumpat, sembang perkara-perkara yang tidak berfaedah sehingga menyebabkan banyaknya ketawa, menonton cerita-cerita yang tidak sepatutnya, hatta kadang-kadang terjerumus dalam dosa besar. Tidak dinafikan. Nauzubillah.

Oleh yang demikian, saya ingin perkenalkan kepada anda semua tentang dua perkara. Sebutannya hampir serupa, tapi maksudnya sangat jauh berbeza seperti adik kembar tak seiras anak jiran belakang rumah anda, iaitu Siyam dan Qiyam. Mungkin ada tertanya-tanya apakah maksud kedua kalimah ini?

Secara mudahnya, Siyam itu adalah satu proses menahan diri daripada melakukan maksiat pada bulan Ramadan. Manakala Qiyam pula adalah satu proses untuk membangunkan bulan Ramadan dengan amalan-amalan kebaikan. Saya teringatkan akan nasihat yang disampaikan oleh al-fadhil ustaz Mohd Hazri bin Hasyim bin Yunus bin Hassan al-Bindany tentang bulan Ramadan, beliau berkata: “Ramai orang sekarang lebih mengutamakan qiyam berbanding siyam”.

Secara realitinya, fenomena ini memang benar-benar  berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini. Kalau kita mengikuti perjalanan media massa sama ada media elektronik ataupun media cetak di akhir-akhir bulan Ramadan, memang rancak promosi ‘qiyam’nya seperti jualan murah, promosi habib jewel, kuih raya beraneka jenis dan banyak lagi. Sedangkan proses siyam yang sebenar itu yang lebih dituntut berbanding proses qiyam. Apa ertinya ibadah puasa yang kita kerjakan dihiasi dengan amalan-amalan fardhu dan sunat jika pada waktu yang sama juga kita masih melakukan perkara yang Allah larang. *Menangis*

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“ Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, dan
janganlah kamu merosakkan segala amalmu”.

Memang benar, sama sekali tidak salah memperbanyakkan amalan-amalan kebaikan,lagi-lagi di sepuluh malam terakhir ini. Jauh sekali saya ingin membunuh semangat anda semua untuk terus beristiqamah. Teruskan beramal sahabatku! (pegang bahu). Mahunya saya mengucapkan tahniah bagi yang masih istiqamah solat fardhu di masjid, dan sudah berjinak-jinak dengan masjid, beriktikaf dan sebagainya. Namun wajarkah kita seiringkan kebaikan ini dengan perkara yang Allah larang, perkara yang Allah tak suka? 

Sedangkan perkara yang paling baik bagi kamu bukan dengan banyaknya amalan-amalan baik. Bukan, sama sekali bukan. Tetapi perkara yang paling baik bagi kamu adalah kerapnya meninggalkan dosa.
Walaupun kita tidak dapat meninggalkan sepenuhnya tabiat yang sering kali kita lakukan pada bulan-bulan sebelum ini, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkannya. Sebagai contoh, jika sebelum ini kita menghabiskan masa untuk menonton cerita selama 2 jam tetapi dalam bulan Ramadan, kalau boleh kurangkanlah jadi sejam. Kalau sebelum ini kita main cs mahupun dota selama berjam-jam tetapi bulan ramadan ini, kurangkanlah jadi sejam. Begitulah juga dengan perkara-perkara lain, tabiat yang kurang baik, kita kurangkan dan yang baik kita ‘topup’kan. Betul tak?

Mana mungkin kita ingin bertemu dengan lailatul qadar kalau sikap kita masih lagi seperti sikap pada bulan-bulan sebelum datangnya Ramadan lagi. Oleh itu, saya rasa masih belum terlambat lagi untuk kita sama-sama ‘check and balance’ balik apa-apa yang terlebih dan terkurang dalam bulan Ramadan yang masih lagi berbaki beberapa hari lagi.


Ingatlah pesan Nabi Muhammad SAW, jika kita ada benih dalam tangan, tanamlah benih itu walaupun kita tahu esoknya kiamat. Sekian sahaja celoteh saya sempena Ramadan 1434 hijrah ini. Moga-moga ini bukan lagi Ramadan yang terakhir buat kita semua. Amin.

*Alfaqir ilallah~

1 comments:

Siyam itu adalah satu proses menahan diri daripada melakukan maksiat pada bulan Ramadan. Manakala Qiyam pula adalah satu proses untuk membangunkan bulan Ramadan dengan amalan-amalan kebaikan

... smart ...