Sunday, August 11, 2013

Aku & Dia ...

Ya! Ini kisah tentang aku & dia. Aku harap sesiapa yang membaca tidak berasa loya atau nak muntahlah memandangkan ini realiti yang berlaku…



Subuh hari itu tiada banyak bezanya seperti Subuh pada hari-hari yang lain. Sepi, tenang, mendamaikan; itulah suasana yang biasa dirasai setiap kali Subuh menjelma. Tambahan pula, ibadah Qiamullail menambah ketenangan saat itu. Alhamdulillah Ya Allah! Syukur atas kesempatan Qiamullail yang Engkau berikan pada hari ini setelah sekian lama aku tewas hanya kepada sehelai selimut. Alhamdulillah…
Allah~, hanya itu yang hatiku bisa monologkan...

Alangkah indahnya perasaan tatkala Subuh menyapa, mendamaikan setiap jiwa yang menghayatinya.  Suara azan berkumandang kedengaran sayup-sayup memecahkan keheningan tika dinihari. Pantas diri ini bangkit melipat sejadah yang terhampar, tangan pula segera mencapai botol kecil tertulis ‘Al-Maqam’, kubuka penutupnya dan kusapukan sedikit pada telapak tanganku sebelum kusapukannya ke seluruh pakaianku.  Teringat isi hadis Nabi Muhammad S.A.W. yang menyebut tentang kelebihan solat Subuh berjemaah di masjid:
  
 Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." 
(Hadis riwayat Muslim)


Allah SWT juga telah bersumpah dengan waktu Subuh menunjukkan betapa penting dan berharganya waktu Subuh itu seperti firmanNya dalam Surah At-Takwir ayat 18,


Ëxö6Á9$#ur #sŒÎ) }§¤ÿuZs? ÇÊÑÈ

18. dan demi Subuh, apabila ia mulai terang;


Namun, bukan kepentingan Subuh ini yang menggangguku. Perkara yang sangat mengganggu mindaku ialah dia! Mungkin ramai memandangnya biasa, mungkin juga ramai memandangnya lemah namun aku memandangnya mulia. Setiap kali aku melihatnya, aku berasa hina; hina dengan amalan diri sendiri, hina dengan semangatku yang mengikut ‘mood’.

SEMPURNA VS ISTIMEWA

Jika dibandingkan denganku, dia jauh lebih ‘patut’ untuk duduk di bilik dan tidak pergi ke masjid. Dia sepatutnya lebih berhak untuk mengungkapkan malas daripada diriku. Dia lebih layak daripada diriku untuk mengeluh dengan kesusahan. Kerana apa?! Kerana keadaan kami yang jauh berbeza! Secara zahirnya, kami tidak terlalu banyak berbeza. Dia juga seperti insan biasa yang lain yang mempunyai mata, hidung, telinga, tangan, kaki dan  anggota-anggota yang lain tapi yang berbezanya dia daripadaku dan kamu semua ialah DIA TIADA PENGLIHATAN!!! HAA??? DIA BUTA KE??? YA, TEPAT SEKALI! DIA BUTA!!!

Mungkin ramai memandang dia sebagai orang biasa, mungkin juga ramai memandangya lemah, dan aku pasti ramai akan menganggapnya ‘Orang KURANG Upaya’, atau mungkin yang bersopan sikit akan menganggapnya ‘Orang KELAINAN Upaya’ namun bukan bagiku! Aku menganggapnya Insan Istimewa! Istimewa kerana mampu bersabar dan meneruskan hidup dalam keadaannya yang begitu dan lebih membuatkan dia istimewa ialah amalannya! 

Seringkali mata ini menjadi saksi, dia melangkah ke masjid sambil tangannya menggenggam erat sebatang tongkat berwarna putih yang setia menemaninya ke mana-mana sahaja kakinya melangkah. Kadangkala, hampir sahaja dirinya terjerumus ke dalam longkang dan kadangkala, dia terlanggar basikal-basikal mahupun benda-benda di tepi jalan namun tidak pernah walaupun sekali aku melihat dia berundur dan berpatah balik! Pasti dia meneruskan sahaja kakinya melangkah menuju ke masjid untuk sama-sama merebut pahala berjemaah. Allah~, malunya aku padamu, malunya aku padaMU!

“TAK PE LAH, ASALKAN BERJEMAAH”

Namun, seandainya aku melihat diriku mahupun sahabat-sahabatku yang berada di Darul Quran ini, seringkali ayat di atas dijadikan alasan untuk bersolat di bilik. “Tak pe lah, asalkan kita berjemaah”, satu ayat yang kurasakan virus yang sangat berbisa dalam membunuh semangat berjemaah sedikit demi sedikit. Mula-mula, mungkin mereka masih akan berjemaah, tapi sepanjang pemerhatianku, lama-lama mereka akan mula bersolat sendirian dan akhirnya tiada lagi rasa kepentingan berjemaah. Inilah sebabnya, umat Islam hari ini amat mementingkan diri sendiri termasuklah golongan Ustaz dan Ustazah!

Lupakah kita pada 7 golongan yang bakal mendapatkan naungan Allah SWT pada hari kiamat kelak yang salah satu daripada golongan tersebut ialah‘PEMUDA YANG HATINYA TERTAUT DENGAN MASJID’. Ya! Golongan PEMUDA! Kitalah! Namun bukan sebarang pemuda tetapi pemuda yang sentiasa merindukan masjid setiap kali ingin bertemu Tuhannya! Kita?

“Tak pe lah, asalkan kita berjemaah”

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya :

Pertama : Imam (pemimpin) yang adil.

Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.

Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan masjid.

Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.

Kelima : Insan yang di ajak (di goda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata :
‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’

Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya.

Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya."

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


KEBENARAN BUKAN REKAAN

Ingatlah kembali kisah si buta yang rajin pergi ke masjid di atas untuk dijadikan motivasi; sebuah realiti yang berlaku di hadapan mata ini bukannya fantasi nukilan angan-angan.

...................................................................

Malulah aku…
Sering sahaja malas ke masjid namun dia tidak pernah terlepas untuk ke masjid…

Malulah aku…
Sering sahaja marah dikejutkan Subuh namun saat aku begitu, dia sudah pun melangkah ke masjid tanpa perlu dikejut…

Malulah aku…
Hebat berbicara soal dakwah namun ternyata dia lebih hebat dalam dakwah ‘uswah hasanah’nya…

Malulah aku…
Mampukah aku menghadapMu ya Rabbi?
Mampukah aku seikhlas begitu dalam kehidupanku?

Alangkah menyedihkan diriku ini…
*kredit / sumber : http://generasiprotaz.blogspot.com/2013/08/aku-dia.html
*moga Ramadhan yang baru berlalu, menjadikan kita seorang hamba yang lebih bertaqwa dan beriman kepadaNya...ameen~

0 comments: