Salam ukhuwah dan mahabbah buat siswa-siswi Darul Quran sekalian...
Pertama sekali, mari kita memuji Allah SWT yang telah memberikan kita terlalu banyak nikmat dan rezeki dalam kehidupan di dunia ini. Hitunglah! Nescaya kita gagal menyebut dan mengiranya satu persatu. Masya-Allah, Allah benar-benar Ar-Razzak. Syukur sekali lagi kepada Ilahi kerana kita masih lagi dalam keadaan beriman. Digolongkan dalam kelompok muslim yang dipelihara aqidah dan sahsiah. Selawat ke atas junjungan tercinta Nabi Muhammad S.A.W., kerabat baginda, para sahabat seterusnya orang-orang beriman kepada Allah dan sunnah baginda SAW.
Sahabat-sahabat yang dihormati sekalian,
Kehidupan seorang insan di dunia ini boleh digambarkan seperti kehidupan seorang pengembara menuju ke suatu destinasi. Dalam pengembaraan yang panjang, seorang pengembara memerlukan segala bentuk persiapan, peralatan dan persediaan agar beliau dapat tiba ke destinasi tersebut dengan jayanya. Segala persiapan dan persediaan amat penting bagi seorang pengembara. Di samping itu, satu perkara lagi yang sangat penting yang perlu dihayati dan difahami oleh seseorang pengembara ialah tujuan dan matlamat pengembaraan serta arah tujuan pengembaraan.
Sahabat-sahabat yang ana kasihi sekalian,
Sedar tidak sedar, pelajar-pelajar semester enam akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Manakala semester empat dan dua tidak sampai sebulan sahaja lagi. Ingatlah para sahabat, peperiksaan itu adalah amanah. Hal ini kerana, kita bukan hanya membawa diri kita semata-mata, tetapi kita sedang memikulnya dengan membawa sekali imej keluarga, agama dan mereka yang berkaitan dengan kita. Maka, apakah anda masih hendak memandang enteng pada peperiksaan ?
Sedikit kata-kata yang boleh dikongsikan dari guru ana, “Kita mesti target tinggi, jangan target sekadar lulus. Sebab, apabila kita target tinggi, kita akan usaha lebih untuk mendapatkan target tersebut. Jadi, walaupun kita tidak dapat capai target kita, sekurang-kurangnya ada usaha ke arah itu.”
Sahabat-sahabat,
Sebagai manusia, kita diberikan satu senjata yang amat berharga oleh Allah iaitu usaha. Cuma kadangkala kita tidak dapat apa yang kita mahu. Itu semua penyusunan Allah yang kita tidak tahu. Tugas kita adalah menggunakan segala peluang yang tersedia dengan sebaik-baiknya. Usaha adalah asbab untuk Allah memberikan kita natijah.
“ Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”
(Ar-Ra’’d 13:11 )
“....apabila kamu telah berazam ( sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu ) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakal kepada Nya,”
( Ali Imran 3:159 )
Akhir kalam, bersama-samalah kita menuju kejayaan demi menjulang Islam di mata dunia. Andai rebah sekali, bukan bermakna kita gagal selama-lamanya. Bulatkan tekad kuatkan azam. Semoga dengan peperiksan ini kita capai mardhatillah yang diinginkan. Salam juang dalam menghadapi imtihan.
0 comments:
Post a Comment