Menelusuri sejarah Sambutan Valentines Day, tiada bukti atau peristiwa yang khusus yang menjadikan
sambutan ini perlu diperingati dan diikuti. Ia berdasarkan kepada teori yang dikemukakan oleh barat
yang semata-mata bagi menyesatkan umat Islam.
Asal-usul tempat dan sejarahnya bukanlah persoalan pokok yang ingin dibincangkan namun
ritual sambutan tersebut yang perlu kita jauhi yang jelas membuatkan manusia leka dan diakhiri
dengan perbuatan maksiat yang sangat jelas bertentangan dengan prinsip syarak.
Namun, umat Islam seolah-olah tidak menyedari akan kesesatan yang dibawa oleh barat.
Malah turut sama menanti dan meraikan tarikh ini.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-71
yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan
Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur Kristian
dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Oleh itu amalan meraikan Hari Valentine dilarang oleh agama Islam.
Hakikatnya umat Islam dilarang mencampurkan akidahnya dengan agama lain.
Hal ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud,
"Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah
dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara
kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu
dan bagi aku agamaku." (Surah Al-Kafirun ayat 1-6)
Nabi SAW dengan tegas melarang kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani
dalam hadith yang bermaksud,
"Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal,
sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam
lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?
Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka."
Sesungguhnya, sambutan ini sekaligus menggalakkan aktiviti zina khususnya mereka yang bukan muhrim.
Jika tidak percaya dalam tempoh sembilan atau sepuluh bulan akan datang, kita akan dengar
peningkatan kes kelahiran bayi tidak sah taraf dan kes pembuangan bayi, sekiranya sambutan
Valentine Day tidak disekat. Ini juga diakui sendiri oleh rumah Perlindungan Raudhah Sakinah
yang menerima ramai anak kelahiran Valentine ini.
Kita juga tidak mahu generasi akan datang iaitu anak cucu kita tahu akan kewujudan sambutan ini.
Oleh yang demikian wajarlah bagi kita menyekat dan terus menguburkan sambutan ini supaya
masayarakat akan datang tidak lagi mendengar mengenai Valentine.
Fikirkan untuk generasi kita, sekalipun masih sukar memikirkan untuk ummah.
Buka mata, buka minda, cakna isu semasa. Kita mampu mengubahnya!
0 comments:
Post a Comment