Sabtu : 2 mei 2009
Sejak 7.45 pagi lagi, perkarangan Darul Quran telah dipenuhi oleh para mahasiswa baru dan ahli keluarga mereka yang telah ditawarkan menyambung pengajian diploma ke Darul Quran JAKIM. Selesai acara dewan yang diadakan bagi menyambut kedatangan mereka kira-kira jam 12.00 tengahari, mereka mula bergerak ke Dewan Makan untuk menjamu selera dan seterusnya mendaftarkan diri di asrama.
Usai pendaftaran asrama pada jam 4 petang, mereka dimaklumkan untuk berkumpul pada jam 5 petang. Maka, bermulalah program Haluan Siswa anjuran Jabatan hal Ehwal Pelajar Darul Quran bagi siswa Diploma 09/12 iaitu bermula 2 Mei sehingga 7 Mei. Untuk program Haluan Siswa kali ini, sebanyak 11 LDK telah disusun. Bagi LDK 1 mereka, mereka diminta berkumpul di Dewan Muktamar selepas menunaikan solat Isya’ berjemaah di masjid. LDK 1 merupakan sesi ta’aruf bersama urusetia dan fasilitator diikuti pembahagian kumpulan yang terdiri daripada 9 kumpulan banin dan 6 kumpulan banat. Setelah itu, mereka dibenarkan pulang dan diminta berkumpul pada jam 5 pagi keesokan harinya di dataran masjid untuk qiyamullail.
Ahad : 3 Mei 2009
Selesai qiyamulllail, solat subuh berjemaah dan khidmat diri, mereka beriadah yang dikelolakan oleh wakil daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar.dan seterusnya menikmati sarapan pagi di perkarangan bawah Maktabah Darul Quran. Ini adalah rutin mereka setiap pagi sepanjang berlangsungnya program Haluan Ssiwa.
LDK seterusnya dan LDK 3 dimulakan pada jam 8.30 pagi yang mengehendaki mereka untuk saling berta’aruf antara satu sama lain. Caranya yang pelbagai sememangnya mencabar ingatan peserta. Antaranya mereka diminta untuk mengingati tempat asal, tarikh lahir, makanan kegemaran,berat badan,saiz kasut dan pelbagai lagi. Di sebalik mengenali sahabat-sahabat dengan lebih dekat, aktiviti ini sebenarnya secara tidak langsung berperanan melatih minda para peserta untuk lebih cekap dalam menghafaz yang merupakan satu kewajipan buat mereka sebagai bakal Huffazul Quran.
LDK 4 yang dijalankan selepas solat Zohor dan makan tengahari adalah aktiviti yang dinamakan ’Si Celik dan Si Buta’. Si celik memimpin si buta untuk membantu menongkah pelbagai gangguan yang dibuat oleh urusetia sekeliling. Sebenarnya aktiviti ini merupakan satu simbolik yang menuntut kepentingan ukhuwah iaitu saling bantu membantu antara satu sama lain dan saling melengkapi . Hidup ini juga sebenarnya mengkehendaki setiap manusia untuk sentiasa untuk hidup bermasyarakat dan bekerjasama. Tidak siapa pun mampu untuk menghadapi hidup bersendirian kerana apabila bersendirian, kita seakan biri-biri yang mendedahkan diri kepada serigala yang ingin membaham iman kita. Namun begitu dalam mencari kebenaran, kita mesti pandai memilih apakah jenis masyarakat atau kumpulan atau jema’ah agar tidak tersilap memilih kepada yang membawa kerosakan. Maka si celik adalah simbolik orang yang berilmu atau berpengetahuan lebih dalam pengalaman hidup menghadapi pelbagai mehnah. Oleh itu si buta mestilah mencari orang atau kumpulan masyarakat yang tepat untuk membimbing mereka.
Usai riadah, makan petang,kendiri, dan solat maghrib berjemaah di masjid, kuliah maghrib diadakan yang bertajuk ”Kelebihan dan Adab Menghafaz al-Quran” oleh ustaz Shuib bin Abu al-Hafiz. Ceramah tersebut seperti tajuknya, memberi motivasi kepada para peserta yang bakal menghafaz al Quran. Tidak dapat disangkal bahawa tazkirah ini amat penting sebagai pembakar semangat dan matlamat para peserta selepas ini agar tidak tersasar arah tujuan mereka dalam menjadi pemelihara satu-satunya mukjizat kekal. Adab juga sangatlah penting untuk ditekankan supaya bakal huffaz sentiasa mendapat barakah al Quran, bukan laknatnya.
Seterusnya, para peserta ke Dewan Muktamar untuk LDK 5 yang merupakan antara LDK paling menarik sepanjang program ini iaitu Hayya Bil A’rabiah. Slot ini mengehendaki para peserta untuk menonjolkan bakat mereka dalam berbahasa Arab. Mereka diberi tugasan yang berlainan. Ada di antara mereka yang diminta untuk berbual dalam Bahasa Arab, ada juga bernasyid (banin sahaja) mahupun berlakon! Objektifnya sudah tentulah membiasakan para peserta dengan Bahasa Arab kerana sememangnya hampir semua subjek yang bakal dipelajari adalah dalam Bahasa Arab.
Isnin : 4 Mei
Setelah menjalani rutin biasa yang dilakukan setiap pagi, para peserta bergerak ke Dewan Muktamar untuk mendengar taklimat 1 oleh pegawai daripada Jabatan Hal Ehwal Dalaman (HEP)berkenaan dengan peraturan Darul Quran dan prosuder berurusan dengan HEP. Setelah kudapan, taklimat diteruskan oleh pihak pentadbiran Darul Quran dan kemudian oleh pengurusan asrama. Bagi taklimat 4 selepas solat zohor, ianya disampaikan oleh Jabatan Peperiksaan manakala Jabatan Akademik pula setelah itu. Pada taklimat inilah pemilihan syukbah di buka. Untuk tahun ini, satu lagi syukbah telah ditambah iaitu Hadith daripada 3 syukbah sedia ada iaitu Qiraat, Dakwah dan Syariah.
Pada sebelah malamnya pula, kuliah maghrib bertajuk ”Disiplin dalam Menuntut Ilmu” disampaikan oleh Ustaz Lukman Hakim A. Ghani. Objektifnya adalah bagi mendedahkan kepada para peserta yang tidak lama lagi akan meneruskan pengajian mereka sebagai mahasiswa agar sentiasa berdisplin dalam menuntut ilmu seperti beradab dengan pensyarah.
Hari ini, pelajar diuji mental mereka untuk melihat sejauh mana wawasan mereka terhadap negara. LDK 6 ini adalah pembentangan setiap kumpulan dalam slot Bina Negara. Dalam slot ini, mereka dikehendaki membentangkan apa yang telah mereka rancangkan untuk sebuah negara yang telah mereka bina. Disamping objektif yang telah dinyatakan, mereka sebenarnya diuji ketahanan mereka dalam mempertahankan negara mereka, mempertahankan maruah, keselamatan, dan nama baik negara daripada ancaman luar. Jika diterjemahkan ke dalam kehidupan mereka sebagai seorang pelajar, mereka pada hakikatnya ingin dilatih agar sentiasa ada semangat cintakan kampus mereka, Darul Quran dan akan menjaga nama baik dan maruah Darul Quran.
Selasa : 5 Mei
Tepat pukul 8.30 pagi, mereka mendengar taklimat yang disampaikan pula oleh Jabatan Bahasa, Jabatan pengajian Islam dan Unit Rekod. Setelah menjamu selera, taklimat disambung oleh Pegawai dari Maktabah Darul Quran dan seterusnya dari Unit ICT.
Pada sebelah petang, mereka menyambung kembali pembentangan yang belum diselesaikan oleh beberepa kumpulan pada malam semalam.
Kali ini, kuliah maghrib bertajuk ”Huffaz Pemangkin Khaira Ummah”. Kuliah ini bermatlamatkan memberikan penjelasan kepada para peserta tentang peranan mereka selaku orang yang menghafaz al Quran, kalamullah yang mengandungi panduan hidup yang lengkap. Oleh hal yang demikian, merekalah orang yang bertanggungjawab menyampaikan kandungannya kepada ummat Islam agar menjadi apa yang disebut dalam al Quran sebagai khaira ummah.
Setelah itu, di Dewan Muktamar sekali lagi mereka menyambung kembali pembentangan bina negara yang masih lagi belum selesai. Walaubagaimanapun, LDK 8 merupakan LDK yang terakhir bagi slot ini.
Rabu : 6 Mei
Hari ini merupakan hari kemuncak bagi program Haluan Siswa. Sememangnya setiap tahun, slot inilah yang memahat memori paling mendalam bagi para peserta Haluan Siswa. Slot ini dikenali sebagai Aktiviti Kembara. Mereka telah mengembara ke dalam hutan dan mendaki bukit yang terletak berdekatan Darul Quran. Kembara ini bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 6 petang. Para peserta dengan berpakaian sukan telah melalui 5 check point dan mereka dikehendaki menjaga barang amanah tanpa sebarang kerosakan iaitu bendera kumpulan, biskut, dan kertas majong yang digunakan sepanjang pembentangan program. Selain meredah hutan dan mendaki bukit, mereka juga meredah sungai yang deras pada permulaan pengembaraan mereka lagi. Secara keseluruhannya, slot ini mengajar para peserta untuk sentiasa bersabar dalam menghadapi mehnah dan tribulasi sebagai huffaz apabila mereka rata-ratanya di ’provok’ oleh pensyarah kerana pada realitinya, cabaran yang dihadapi para huffaz adalah sangat mencabar. Selain melihat kebesaran Allah, bagi sesetengah mereka, ada yang mendapat pengalaman menunaikan solat fardhu dalam hutan tanpa kemudahan yang selesa atau sesuai.
Walaupun kepenatan setelah seharian memerah tenaga, mereka tetap meneruskan rutin harian Minggu Haluan Siswa seperti biasa. Kuliah maghrib pada malam itu diteruskan dengan tajuk ”Ihtiram Murabbi: Kaitannya dengan Keberkatan Ilmu ” yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Zuhdi bin Ismail. Tazkirah ini merupakan ceramah khusus bagi mengingatkan para peserta tentang kepentingan menghormati pensyarah dalam menuntut ilmu. Selesai solat isya’ berjemaah, mereka menjalani slot muhasabah sebagai kesinambungan pengambaraan mereka pada siang hari bersama urusetia. Pelbagai lontaran idea dan cetusan pendapat diberikan para peserta namun suara majoritinya melahirkan rasa gembira sepanjang menjalani Minggu Haluan Siswa.
Khamis : 7 Mei
Inilah hari terakhir Minggu Haluan Siswa bagi mahasiswa diploma 09/12. Minggu Haluan Siswa ini menutup tirainya dengan persembahan nasyid oleh banin dan choral speaking oleh banat. Program ini berakhir dengan ucapan perasmian penutup oleh Pendaftar Darul Quran, Ustaz Abdul Kadir bin Sallah.
Para jemputan, para urusetia, dan para peserta kemudian dihidangkan dengan hidangan istimewa oleh Zizwa Cafe. Pada jam 3 petang, Dewan Muktamar yang begitu meriah selama seminggu tersebut telah bertukar sepi meninggalkan bersamanya kenangan yang pastinya tidak akan dapat dilupakan selamanya oleh para peserta...
0 comments:
Post a Comment